Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 11 >> 

Nubuat Semaya

1Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Benyamin dan Yehuda. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara.

2Tetapi TUHAN menyuruh Nabi Semaya

3menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan semua orang suku Yehuda dan Benyamin,

4"Jangan serang sesama orang Israel. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku." Mereka semua taat kepada perintah TUHAN dan tidak pergi memerangi Yerobeam.

Raja Rehabeam Membina Kubu di Kota-Kota

5Raja Rehabeam tinggal di Yerusalem lalu membina kubu bagi kota-kota berikut di Yehuda dan Benyamin:

6Betlehem, Etam, Tekoa,

7Bet-Zur, Sokho, Adulam,

8Gat, Mares, Zif,

9Adoraim, Lakhis, Azeka,

10Zora, Ayalon, dan Hebron.

11Baginda membina kubu-kubu yang kuat dan melantik seorang panglima bagi tiap-tiap kota itu. Baginda melengkapi setiap kota itu dengan persediaan makanan, minyak zaitun dan wain,

12serta perisai dan tombak. Dengan cara itu baginda menguasai wilayah Yehuda dan Benyamin.

Imam dan Orang Lewi Datang ke Yehuda

13Dari seluruh kawasan negeri Israel, para imam dan orang Lewi pergi ke selatan, ke negeri Yehuda.

14Orang Lewi meninggalkan padang rumput mereka dan tanah yang lain, lalu mereka pindah ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Raja Yerobeam yang memerintah Israel dan raja-raja yang menggantikan baginda tidak membenarkan mereka bertugas sebagai imam TUHAN.

15Raja Yerobeam melantik imam-imamnya sendiri untuk bertugas di mazbah-mazbah penyembahan berhala dan syaitan, serta patung-patung berupa anak lembu jantan yang dibuatnya.

16Daripada semua suku Israel, orang yang benar-benar hendak menyembah TUHAN, Allah Israel, mengikut orang Lewi ke Yerusalem, supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.

17Dengan demikian kerajaan Yehuda dikuatkan. Selama tiga tahun mereka menyokong Raja Rehabeam putera Raja Salomo. Mereka hidup seperti pada zaman dahulu, di bawah pemerintahan Raja Daud dan Raja Salomo.

Keluarga Raja Rehabeam

18Raja Rehabeam berkahwin dengan Mahalat. Bapa Mahalat ialah Yerimot, putera Raja Daud. Ibu Mahalat ialah Abihail anak Eliab, dan cucu Isai.

19Raja Rehabeam dan Mahalat mempunyai tiga orang putera: Yeus, Semarya, dan Zaham.

20Kemudian Raja Rehabeam berkahwin dengan Maakha anak Absalom, dan mendapat empat orang putera: Abia, Atai, Ziza, dan Selomit.

21Raja Rehabeam mempunyai 18 orang isteri dan 60 orang gundik. Baginda mempunyai 28 orang putera dan 60 orang puteri. Antara semua isteri dan gundiknya, Maakha yang paling dikasihinya.

22Antara semua putera dan puterinya, Abia putera Maakha, yang paling dikasihinya. Raja Rehabeam memilih Abia untuk menggantikan baginda sebagai raja kelak.

23Dengan bijaksana Raja Rehabeam memberikan tugas kepada putera-puteranya dan menempatkan mereka di seluruh Yehuda dan Benyamin, di kota-kota yang berkubu. Baginda memberi mereka makanan yang berlimpah-limpah, dan juga mendapatkan banyak isteri untuk mereka.



 <<  2 Tawarikh 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel