Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 8 >> 

Pencapaian Raja Salomo

1Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya.

2Baginda juga membina semula kota-kota yang diberikan oleh Raja Hiram kepadanya dan menyuruh umat Israel tinggal di situ.

3Raja Salomo merebut daerah Hamat dan Zoba,

4lalu mengukuhkan kota Tadmor di padang gurun. Baginda membina semula semua kota di Hamat yang dahulunya pusat penyimpanan perbekalan.

5Raja Salomo juga membina semula kota-kota berikut: Bet-Horon-Hulu dan Bet-Horon-Hilir (kota-kota berkubu dengan pintu-pintu gerbang yang berpalang),

6kota Baalat, semua kota tempat baginda menyimpan perbekalan, dan kota-kota pangkalan kuda dan kereta kudanya. Demikianlah baginda membina bangunan-bangunan di Yerusalem, Lebanon, dan seluruh kawasan yang diperintahnya.

7Raja Salomo mengerah keturunan orang Kanaan untuk melakukan kerja paksa; mereka ialah orang Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merebut tanah itu dahulu. Keturunan semua orang itu masih menjadi abdi sehingga sekarang.

8(8:7)

9Tetapi orang Israel tidak disuruh melakukan kerja paksa. Mereka bekerja selaku askar, pegawai, panglima pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda.

10Sebanyak 250 orang pegawai mengetuai orang rodi yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan.

11Raja Salomo memindahkan isteri baginda, puteri raja Mesir, dari Kota Daud ke tempat kediaman yang dibinanya khas untuk isterinya itu. Raja Salomo bertitah, "Dia tidak boleh tinggal di istana Raja Daud, raja Israel, kerana di mana-mana Tabut Perjanjian pernah disimpan, tempat itu suci."

12Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di atas mazbah yang dibinanya di depan Rumah TUHAN.

13Baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN menurut peraturan Taurat Musa bagi tiap-tiap perayaan yang ditetapkan: hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan tiga lagi perayaan tahunan, iaitu Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun.

14Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Raja Daud, ayahandanya, Raja Salomo menentukan pekerjaan harian bagi para imam dan orang Lewi yang membantu imam menyanyikan lagu-lagu mazmur, serta membantu dalam pekerjaan imam. Raja Salomo juga menyusun kumpulan pengawal Rumah TUHAN bagi tugas harian mereka di setiap pintu gerbang, menurut perintah Raja Daud, hamba Allah itu.

15Perintah Raja Daud kepada para imam dan orang Lewi tentang stor-stor dan hal-hal lain, semuanya telah dilaksanakan dengan teliti.

16Sekarang semua projek pembinaan yang dirancangkan oleh Raja Salomo telah selesai. Sejak perletakan batu asas bagi Rumah TUHAN sehingga selesainya pembinaan itu, semuanya dilaksanakan dengan baik.

17Selepas itu Raja Salomo pergi ke Ezion-Geber dan Elot, kota-kota pelabuhan di pantai Teluk Akaba, di negeri Edom.

18Raja Hiram mengirim kapal-kapal yang dikemudi oleh para pegawainya sendiri dan juga anak-anak kapal yang berpengalaman, kepada Raja Salomo. Bersama dengan para pegawai Raja Salomo, mereka belayar ke tanah Ofir dan membawa lebih daripada 15,000 kilogram emas untuk Raja Salomo.



 <<  2 Tawarikh 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel