Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 9 >> 

Ratu Negeri Syeba Mengunjungi Raja Salomo

1Ratu negeri Syeba mendengar tentang kemasyhuran Raja Salomo. Maka ratu itu berangkat ke Yerusalem untuk menguji Raja Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring, serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan semua pertanyaan yang dapat difikirkannya.

2Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo.

3Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo.

4Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan dan pakaian para pelayan yang melayani Raja Salomo ketika ada pesta; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona.

5Ratu itu bertitah kepada Raja Salomo, "Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku!

6Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku lebih besar daripada apa yang telah diberitakan kepada beta.

7Berbahagialah para pegawai yang sentiasa melayani tuanku, yang berpeluang mendengar ucapan-ucapan tuanku yang bijak!

8Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja untuk memerintah atas nama-Nya. Oleh sebab Dia mengasihi umat-Nya Israel dan mahu memelihara mereka selama-lamanya, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka, supaya tuanku dapat menegakkan hukum dan keadilan."

9Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Tidak pernah lagi Raja Salomo menerima rempah-rempah yang begitu baik mutunya seperti yang diberikan oleh ratu negeri Syeba.

10(Anak buah Raja Hiram dan anak buah Raja Salomo yang membawa emas dari Ofir juga membawa kayu cendana dan batu permata.

11Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat tangga bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi serta gambus bagi para pemuzik. Belum pernah barang-barang seperti itu dilihat di negeri Yehuda.)

12Raja Salomo memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Pemberian itu ialah tambahan kepada apa yang telah diberikannya untuk membalas hadiah ratu itu. Selepas itu ratu Syeba dan pengiring-pengiringnya pulang ke negeri Syeba.

Kekayaan Raja Salomo

13Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, tiap-tiap tahun Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas. Raja-raja negeri Arab dan gabenor-gabenor di wilayah Israel juga memberikan perak dan emas kepadanya.

14(9:13)

15Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 7 kilogram.

16Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 3 kilogram. Baginda meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.

17Raja Salomo juga membuat sebuah takhta besar daripada gading yang dilapis dengan emas tulen.

18Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan di bawahnya ada sebuah alas kaki yang juga dilapisi emas. Takhta itu mempunyai lengan dan pada setiap sisinya ada patung singa.

19Pada anak tangga takhta itu, ada dua belas patung singa; satu patung singa pada hujung kiri dan satu lagi pada hujung kanan setiap anak tangga. Tidak ada kerajaan mana pun yang pernah mempunyai takhta seperti itu.

20Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon itu dibuat daripada emas tulen. Pada zaman Raja Salomo perak tidak dianggap berharga.

21Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak.

22Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di bumi.

23Semua raja datang untuk mendengar kebijaksanaan yang diberikan Allah kepada Raja Salomo.

24Tiap-tiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah untuknya -- barangan daripada perak dan emas, serta pakaian, senjata, rempah, kuda, dan baghal. Perkara itu berlangsung tahun demi tahun.

25Raja Salomo juga mempunyai 4,000 buah kandang untuk kereta kuda dan kudanya. Baginda mempunyai 12,000 orang pasukan berkuda. Sebahagian daripada pasukan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkannya di berbagai-bagai kota lain.

26Raja Salomo menguasai raja-raja di wilayah yang terbentang dari Sungai Efrat sampai ke negeri orang Filistin dan sempadan Mesir.

27Pada masa pemerintahannya, perak merupakan barangan biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar banyak seperti kayu ara di kaki-kaki bukit di Yehuda.

28Raja Salomo mengimport kuda dari Musri dan dari setiap negeri lain.

Ringkasan Kisah Pemerintahan Raja Salomo

29Segala perbuatan Raja Salomo dari permulaan hingga akhir ada tercatat di dalam Kitab Sejarah Nabi Natan, Kitab Nubuat Ahia dari Silo, dan Kitab Wahyu Nabi Ido, yang juga mengandungi sejarah pemerintahan Raja Yerobeam di Israel.

30Raja Salomo menjadi raja di Yerusalem dan memerintah seluruh Israel selama empat puluh tahun.

31Baginda mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Puteranya, Rehabeam menggantikan baginda sebagai raja.



 <<  2 Tawarikh 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel