Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 4 >> 

Petrus dan Yohanes di hadapan Majlis Agama

1Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang.

2Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan.

3Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang.

4Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang.

5Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem.

6Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu.

7Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, "Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?"

8Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, "Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi!

9Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan.

10Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian.

11Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’

12Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita."

13Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus.

14Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes.

15Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding.

16Mereka bertanya, "Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya.

17Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus."

18Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya.

19Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, "Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah?

20Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar."

21Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu.

22Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.

Pengikut Yesus Berdoa Minta Keberanian

23Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi.

24Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, "Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya.

25Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, ‘Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia?

26Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’

27Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat.

28Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu.

29Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian.

30Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci."

31Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian.

Pengikut Yesus Berkongsi Milik

32Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik.

33Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka.

34Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul.

35Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya.

36Begitu juga halnya dengan Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak.)

37Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu.



Download Audio MP3 (Kisah Para Rasul 4):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Kisah Para Rasul 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel