Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 10 >> 

Dua Belas Orang Rasul

1Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit.

2Inilah nama dua belas orang rasul itu: Simon (yang disebut Petrus) dan saudaranya, Andreas; Yakobus dan saudaranya, Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus;

3Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus dan Tadius;

4Simon, Si Patriot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus.

Tugas Rasul-Rasul

5Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, "Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria.

6Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat.

7Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’

8Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran!

9Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga.

10Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.

11Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu.

12Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam.

13Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu.

14Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu.

15Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!"

Penganiayaan yang akan Datang

16"Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati.

17Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka.

18Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.

19Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan.

20Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu.

21Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh.

22Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.

23Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel.

24Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya.

25Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!"

Takutlah akan Allah

26"Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan.

27Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya!

28Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka.

29Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu.

30Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya.

31Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!"

Mengaku atau Menyangkal Kristus

32"Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.

33Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga."

Bukan Kedamaian, tetapi Pertentangan

34"Jangan menyangka bahawa Aku membawa kedamaian ke dunia ini. Aku tidak membawa kedamaian, tetapi pertentangan.

35Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka.

36Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri.

37Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Demikian juga sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

38Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

39Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati."

Pahala untuk Orang yang Menyambut Pengikut Yesus

40"Sesiapa yang menyambut kamu, menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku.

41Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima pahala seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang baik kerana orang itu baik, akan menerima pahala seorang baik.

42Ingatlah! Sesiapa yang memberikan minuman walaupun hanya air sejuk kepada salah seorang pengikut-Ku yang paling hina kerana dia pengikut-Ku, akan menerima pahalanya."



Download Audio MP3 (Matius 10):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel