Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 11 >> 

Yesus Masuk ke Yerusalem

1Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu.

2Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini.

3Jika ada orang bertanya kepada kamu ‘Mengapa kamu melepaskan keldai ini?’ katakanlah, ‘Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.’"

4Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya.

5Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, "Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?"

6Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi.

7Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya.

8Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan.

9Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, "Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.

10Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang -- pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!"

11Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania.

Yesus Mengutuk Pokok Ara

12Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar.

13Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara.

14Yesus berkata kepada pokok ara itu, "Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!" Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu.

Yesus Masuk ke Rumah Tuhan

15Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.

16Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan.

17Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!"

18Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya.

19Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu.

Pelajaran daripada Pokok Ara

20Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya.

21Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, "Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!"

22Yesus menjawab, "Percayalah kepada Allah.

23Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu.

24Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu.

25Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu.

26[Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]"

Pertanyaan tentang Hak Yesus

27Mereka kembali lagi ke Yerusalem. Ketika Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya.

28Mereka bertanya, "Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?"

29Yesus menjawab, "Aku akan bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Jawablah dan Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.

30Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?"

31Mereka mula berbincang sesama sendiri, "Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’

32Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia...’" (Mereka takut akan orang ramai, kerana semua orang berpendapat bahawa Yohanes seorang nabi.)

33Oleh itu mereka menjawab, "Kami tidak tahu." Yesus berkata kepada mereka. "Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini."



Download Audio MP3 (Markus 11):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Markus 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel