Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 37 >> 

Kesudahan Orang Jahat dan Orang Baik

1Mazmur Daud. Jangan geram kerana orang jahat; jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah.

2Mereka segera lenyap seperti rumput, dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau.

3Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat.

4Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.

5Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau;

6Dia akan menyebabkan kebaikanmu bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari.

7Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak. Jangan geram kerana orang yang hidup makmur, atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat.

8Jangan marah atau panas hati; hal itu hanya mendatangkan kecelakaan.

9Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir.

10Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai.

11Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.

12Orang jahat berkomplot menentang orang baik dan memandang mereka dengan benci.

13Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat, kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat.

14Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur untuk membunuh orang yang miskin dan susah, untuk membantai orang yang baik;

15tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.

16Sedikit barang yang dimiliki orang baik lebih berharga daripada kekayaan semua orang jahat,

17kerana TUHAN akan mematahkan kuasa orang jahat dan melindungi orang baik.

18TUHAN memelihara mereka yang mentaati-Nya, dan negeri ini menjadi pusaka mereka selama-lamanya.

19Mereka tidak akan menderita pada masa kesusahan; mereka akan berkecukupan pada masa kelaparan.

20Tetapi orang jahat akan mati; musuh TUHAN akan hilang seperti bunga di padang; mereka akan lenyap seperti asap.

21Orang jahat meminjam dan tidak membayar balik, tetapi orang baik memberi dengan murah hati.

22Mereka yang diberkati TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi mereka yang dikutuk oleh-Nya akan diusir.

23TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya dan melindungi orang yang diperkenankan-Nya.

24Jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera, kerana TUHAN memegang tangannya.

25Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan TUHAN, ataupun anak mereka meminta-minta makanan.

26Mereka sentiasa memberi dan meminjamkan dengan murah hati, dan anak-anak mereka menjadi berkat bagi mereka.

27Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik, supaya keturunanmu hidup di negeri ini selama-lamanya;

28kerana TUHAN suka akan kebenaran, dan tidak meninggalkan umat-Nya yang setia. Dia melindungi mereka selama-lamanya, tetapi keturunan orang jahat akan diusir.

29Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.

30Kata-kata orang yang baik itu bijak, dan mereka sendiri pun adil.

31Mereka menyimpan Taurat Allah dalam hati dan tidak menyimpang daripadanya.

32Orang jahat mengawasi orang baik serta mencari kesempatan untuk membunuh mereka;

33tetapi TUHAN tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh ataupun membiarkan mereka dihukum ketika diadili.

34Berharaplah kepada TUHAN dan taatilah perintah-Nya; Dia akan memberi kamu negeri ini untuk menghormatimu, dan kamu akan melihat orang jahat dihalau.

35Aku pernah melihat orang jahat yang suka menindas orang lain; mereka tinggi seperti pokok sedar di Lebanon;

36kemudian aku lalu, tetapi mereka tiada lagi; aku mencari tetapi tidak menjumpai mereka.

37Perhatikanlah orang yang baik dan orang yang salih; orang yang suka akan perdamaian mempunyai keturunan;

38tetapi orang yang berdosa akan dibinasakan, dan keturunan mereka pun dihapuskan.

39Orang yang salih diselamatkan oleh TUHAN; Dia melindungi mereka pada masa kesusahan.

40Dia menolong dan menyelamatkan mereka; serta membebaskan mereka daripada orang jahat, kerana mereka minta perlindungan daripada-Nya.



 <<  Mazmur 37 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel