Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 44 >> 

Doa Minta Perlindungan

1Mazmur puak Korah. Sajak. Untuk pemimpin koir. (44-2) Ya Allah, kami sendiri telah mendengar kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami, tentang perbuatan besar yang Engkau lakukan pada zaman dahulu kala.

2(44-3) Engkau sendiri mengusir bangsa-bangsa supaya umat-Mu menetap di negeri mereka; Engkau mencelakakan bangsa-bangsa lain, tetapi menjadikan umat-Mu makmur.

3(44-4) Mereka tidak menakluki negeri ini dengan pedang; mereka tidak menang dengan kuasa mereka sendiri, tetapi dengan kuasa dan kekuatan serta hadirat-Mu, kerana Engkau berkenan kepada umat-Mu.

4(44-5) Engkaulah Rajaku dan Allahku; Engkau memberikan kemenangan kepada umat-Mu.

5(44-6) Dengan kuasa-Mu kami mengalahkan musuh kami, dan menakluki orang yang menyerang kami.

6(44-7) Aku tidak bergantung kepada busur, atau pedang untuk menyelamatkan diri,

7(44-8) kerana Engkaulah yang menyelamatkan kami, dan mengalahkan mereka yang membenci kami.

8(44-9) Kami akan sentiasa memuji Engkau dan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.

9(44-10) Tetapi sekarang, ya Allah, Engkau meninggalkan kami dan membiarkan kami dikalahkan; Engkau tidak lagi maju bersama dengan tentera kami.

10(44-11) Engkau membuat kami lari daripada musuh, dan mereka merampas segala harta kami.

11(44-12) Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba, Engkau mencerai-beraikan kami ke negeri asing.

12(44-13) Engkau menjual umat-Mu dengan harga yang murah, tanpa mendapat keuntungan apa-apa.

13(44-14) Engkau menjadikan kami ejekan jiran kami; mereka mengolok-olokkan dan mentertawakan kami.

14(44-15) Engkau menjadikan kami ejekan bangsa-bangsa; mereka menggelengkan kepala dan mengumpat kami.

15(44-16) Sepanjang hari aku dihina, dan diliputi perasaan malu,

16(44-17) kerana mendengar sindiran dan hinaan yang dilemparkan oleh musuh dan pendendam.

17(44-18) Semuanya menimpa kami walaupun kami tidak melupakan Engkau, ataupun memungkiri perjanjian-Mu dengan kami.

18(44-19) Kami tidak pernah melawan Engkau; kami tidak pernah melanggar perintah-Mu.

19(44-20) Tetapi Engkau meninggalkan kami yang lemah dengan binatang liar; Engkau meninggalkan kami dalam kegelapan yang gelita.

20(44-21) Jika kami berhenti menyembah Allah kami, lalu menyembah tuhan lain,

21(44-22) tentu Engkau akan mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui rahsia hati manusia.

22(44-23) Tetapi kerana Engkau, kami diancam maut setiap masa, kami diperlakukan seperti domba sembelihan.

23(44-24) Bangunlah, ya Tuhan! Mengapakah Engkau tidur? Bangkitlah! Jangan tolak kami selama-lamanya!

24(44-25) Mengapakah Engkau menyembunyikan diri? Jangan lupakan penderitaan dan kesusahan kami!

25(44-26) Kami jatuh hancur di tanah, dan terbaring di atas debu kerana kalah.

26(44-27) Bangkitlah dan tolonglah kami! Kerana kasih-Mu itu, selamatkanlah kami!



 <<  Mazmur 44 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel