Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 51 >> 

Hukuman Lain atas Babilonia

1TUHAN berfirman, "Aku sedang mendatangkan angin yang memusnahkan ke arah Babilonia dan penduduknya.

2Aku akan mengirim orang bangsa asing untuk memusnahkan Babilonia seperti angin yang meniupkan jerami. Apabila hari kemusnahan itu tiba, mereka akan menyerang dari segala arah, lalu menjadikan negeri itu kosong.

3Jangan berikan peluang kepada askarnya untuk memanah atau mengenakan baju zirah. Jangan biarkan kaum pemudanya hidup! Binasakanlah seluruh angkatan tenteranya!

4Mereka akan cedera dan mati di jalan-jalan kota mereka.

5Aku TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, belum meninggalkan Israel dan Yehuda, walaupun mereka telah berdosa terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel.

6Larilah dari Babilonia! Selamatkanlah diri kamu! Jangan terbunuh kerana dosa orang Babilonia. Sekarang Aku sedang membalas dendam-Ku dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.

7Dahulu Babilonia seperti cawan emas dalam tangan-Ku, dan menyebabkan semua bangsa di bumi mabuk. Bangsa-bangsa minum wain dari cawan itu sehingga mereka menjadi gila.

8Tiba-tiba Babilonia jatuh dan musnah! Berkabunglah kerana kejatuhannya! Ubatilah luka-lukanya, dan mungkin Babilonia akan sembuh.

9Orang bangsa asing yang tinggal di situ berkata, ‘Kami cuba menolong Babilonia, tetapi sudah terlambat. Tinggalkanlah Babilonia dan marilah pulang. Allah telah menghukum Babilonia dengan berat dan memusnahkannya sama sekali.’"

10TUHAN berfirman, "Umat-Ku berseru, ‘TUHAN telah menunjukkan bahawa kita benar. Marilah kita beritahu penduduk Yerusalem apa yang telah dilakukan oleh TUHAN, Allah kita.’"

11TUHAN telah menggerakkan hati raja-raja Media kerana Dia hendak memusnahkan Babilonia. Demikianlah caranya Dia membalas dendam kerana Rumah-Nya telah dimusnahkan. TUHAN memberikan perintah, "Tajamkanlah panah! Siapkanlah perisai!

12Berikanlah isyarat untuk menyerang tembok kota Babel. Kuatkanlah pengawalan! Tugaskanlah askar-askar di tempat masing-masing! Adanglah musuh!" TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya tentang orang Babilonia.

13Negeri itu sangat kaya dan sungainya banyak, tetapi kesudahannya sudah tiba dan masa hidupnya sudah habis.

14TUHAN Yang Maha Kuasa telah bersumpah demi diri-Nya sendiri bahawa Dia akan mendatangkan orang sebanyak sekawanan belalang untuk menyerang Babilonia, dan mereka akan meneriakkan sorak kemenangan.

Lagu Pujian kepada Allah

15TUHAN menciptakan bumi dengan kuasa-Nya; Dia menciptakan dunia dengan hikmat-Nya, dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya.

16Atas perintah-Nya air di atas langit menderu; Dia mendatangkan awan dari hujung bumi. Dia menyebabkan kilat memancar di dalam hujan, dan mengeluarkan angin dari tempat penyimpanan.

17Melihat semua itu, manusia tertegun dan berasa bodoh; orang yang membuat berhala kecewa kerana dewa-dewa itu palsu dan tidak bernyawa.

18Dewa-dewa itu tidak berguna dan harus dihina; semua itu akan dimusnahkan apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman.

19Allah Yakub tidak seperti dewa-dewa itu; Dialah pencipta segala sesuatu, dan Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya sendiri. Nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa.

Babilonia Bagaikan Tukul

20TUHAN berfirman, "Hai Babilonia, engkau bagaikan tukul-Ku dan senjata perang-Ku. Aku menggunakan engkau untuk menghancurkan bangsa-bangsa,

21untuk menghancurkan kuda dan penunggangnya, untuk menghancurkan kereta kuda dan pengenderanya,

22untuk membunuh lelaki dan wanita, untuk membinasakan orang tua dan orang muda, untuk membunuh anak lelaki dan anak perempuan,

23untuk menyembelih gembala dan kawanan domba, untuk menyembelih pembajak dan kuda mereka, untuk meremukkan para penguasa dan pegawai mereka."

Hukuman terhadap Babilonia

24TUHAN berfirman, "Engkau akan melihat Aku membalas Babilonia dan penduduknya bagi segala kejahatan yang dilakukan mereka terhadap Yerusalem.

25Hai Babilonia, engkau bagaikan gunung yang memusnahkan seluruh dunia, tetapi Aku, TUHAN ialah musuhmu. Aku akan mengacungkan tangan untuk meratakan engkau dan membiarkan engkau terbakar sehingga menjadi abu.

26Tiada satu batu pun daripada runtuhanmu akan digunakan semula sebagai bahan binaan. Engkau akan menjadi seperti gurun selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman."

27"Berikanlah tanda untuk berperang! Tiuplah trompet supaya didengar oleh bangsa-bangsa! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia! Suruhlah kerajaan Ararat, Mini, dan Askenas berperang. Lantiklah seorang pegawai tentera untuk memimpin serangan itu. Kerahkanlah kuda yang sebanyak kawanan belalang!

28Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka.

29Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia.

30Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar.

31Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru.

32Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas.

33Tidak lama lagi musuh akan mengalahkan mereka dan memijak-mijak mereka seperti orang memijak-mijak gandum di tempat mengirik gandum. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman."

34Raja Babilonia telah memotong-motong Yerusalem dan memakannya. Dia mengosongkan kota itu seperti orang mengosongkan tempayan. Seperti raksasa, dia menelan kota itu. Dia mengambil apa yang disukainya, dan yang lain dibuangnya.

35Hendaklah penduduk Sion berkata, "Biarlah Babilonia ditimpa keganasan yang dilakukannya terhadap kita!" Hendaklah penduduk Yerusalem berkata, "Biarlah Babilonia ditimpa penderitaan yang ditimpakannya kepada kita!"

TUHAN akan Menolong Israel

36Oleh itu TUHAN berfirman kepada penduduk Yerusalem, "Aku akan membela perkaramu dan membalas musuh kamu atas perbuatan mereka terhadap kamu. Aku akan mengeringkan sumber-sumber air di Babilonia dan mengeringkan sungai-sungainya.

37Negeri itu akan menjadi timbunan runtuhan yang didiami binatang liar. Keadaannya akan mengerikan; orang tidak akan tinggal di situ, dan semua orang ngeri melihatnya.

38Penduduk Babilonia mengaum seperti singa, dan menggeram seperti anak singa.

39Sementara nafsu makan mereka memuncak, Aku akan menjamu mereka, dan menjadikan mereka mabuk dan pening. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.

40Aku akan membawa mereka supaya disembelih seperti anak domba, domba jantan, dan kambing. Aku, TUHAN, telah berfirman."

Kesudahan Babel

41TUHAN berfirman, "Kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan! Babel sudah menjadi tempat yang menggerunkan bagi bangsa-bangsa!

42Laut telah meluap ke Babel dan meliputinya dengan ombak yang bergemuruh.

43Kota-kota di negeri itu menggerunkan; keadaannya seperti gurun yang tidak berair, yang tidak didiami atau dilalui oleh sesiapa pun.

44Aku akan menghukum Bel, dewa negeri Babilonia, dan membuatnya menyerahkan barang-barang curiannya. Bangsa-bangsa tidak akan menyembahnya lagi. Tembok kota Babel sudah roboh.

45Hai umat Israel, larilah dari situ! Selamatkanlah diri daripada kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar.

46Jangan takut atau hilang keberanian kerana mendengar khabar angin. Setiap tahun ada sahaja khabar angin -- khabar angin tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang.

47Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala Babilonia. Seluruh negeri itu akan dipermalukan, dan semua rakyatnya dibunuh.

48Segala sesuatu di bumi dan di langit akan bersorak apabila negeri Babilonia jatuh ke tangan bangsa dari utara yang datang untuk memusnahkannya.

49Babilonia telah menyebabkan kematian orang dari seluruh dunia; tetapi sekarang Babilonia akan jatuh, kerana menyebabkan kematian banyak sekali orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman."

Perkhabaran Allah kepada Umat Israel di Babilonia

50TUHAN berfirman kepada umat-Nya di Babilonia, "Kamu telah terlepas daripada maut. Sekarang larilah! Jangan tunggu lagi! Walaupun kamu jauh dari rumah, ingatlah Aku, TUHAN kamu, dan kenangilah Yerusalem.

51Kamu berkata, ‘Kami telah dihina dan dipermalukan; kami tidak berdaya sama sekali kerana orang bangsa asing telah menduduki bilik-bilik suci di Rumah TUHAN.’

52Oleh itu perhatikanlah firman-Ku ini. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala kota Babel. Semua orang yang cedera akan mengerang di seluruh negeri.

53Walaupun Babel dapat naik ke langit dan membina sebuah kubu yang kuat di situ, Aku masih akan menyuruh orang menghancurkannya. Aku, TUHAN, telah berfirman."

Lanjutan Penghancuran Babel

54TUHAN berfirman, "Dengarlah tangisan di Babel, orang meratap kerana kemusnahan di negeri itu.

55Aku sedang memusnahkan Babel, dan menjadikannya lengang. Tentera musuh meluru seperti gelombang yang menderu, dan dengan bertempik mereka menyerbu.

56Musuh datang untuk memusnahkan Babel; askar-askarnya telah ditangkap, busur mereka telah dipatahkan. Aku, Allah yang menghukum kejahatan; Aku akan memperlakukan Babel setimpal dengan perbuatannya.

57Aku akan menyebabkan penguasa-penguasanya mabuk -- orangnya yang bijaksana, para pemimpinnya, dan askar-askarnya. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi. Aku, Raja telah berfirman; Akulah TUHAN Yang Maha Kuasa.

58Tembok kota Babel yang kuat itu akan runtuh ke tanah, pintu-pintu gerbangnya yang tinggi akan dibakar. Usaha bangsa-bangsa semuanya sia-sia, semua itu akhirnya habis terbakar juga. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman."

Perkhabaran Yeremia Dikirim ke Babilonia

59Pembantu peribadi kepada Raja Zedekia ialah Seraya anak Neria, cucu Mahseya. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Seraya mengikut raja ke Babilonia. Aku menyuruh dia membawa beberapa pesan.

60Di dalam sebuah kitab aku mencatat semua kemusnahan yang akan menimpa Babilonia, dan juga semua hal lain tentang negeri itu.

61Aku berkata kepada Seraya, "Apabila kamu sampai di Babel, usahakanlah supaya semua yang tercatat di dalam kitab ini kamu bacakan kepada orang di sana.

62Selepas itu berdoalah begini, ‘Ya TUHAN, Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan memusnahkan negeri ini, sehingga tiada makhluk apa pun tinggal di sini -- tiada manusia dan tiada binatang. Tempat ini akan menjadi seperti gurun selama-lamanya.’

63Hai Seraya, setelah kamu selesai membacakan isi kitab ini kepada mereka, ikatkanlah kitab ini pada sebuah batu lalu lemparkanlah kedua-duanya ke dalam Sungai Efrat.

64Beritahulah mereka bahawa demikianlah kesudahan Babilonia. Babilonia akan tenggelam dan tidak sekali-kali akan timbul lagi, kerana kemusnahan yang akan didatangkan TUHAN atasnya." Kata-kata Yeremia berakhir di sini.



 <<  Yeremia 51 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel