Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yudas 1 >> 

1Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa, serta dilindungi oleh Yesus Kristus.

2Semoga Allah memberikan berkat, kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah kepada kamu.

Guru-Guru Palsu

3Saudara-saudara yang aku kasihi! Aku telah berusaha sebaik-baiknya untuk menulis surat kepada kamu tentang penyelamatan yang kita alami bersama. Tetapi hatiku tergerak untuk menggalakkan kamu melalui surat ini, supaya kamu terus berjuang untuk iman yang telah diberikan oleh Allah sekali sahaja kepada umat-Nya untuk selama-lamanya.

4Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka.

5Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhan menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya.

6Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum.

7Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang.

8Demikian juga semua orang derhaka itu berkhayal, dan khayalan itu menyebabkan mereka berdosa terhadap tubuh sendiri. Mereka menghina kuasa Allah dan mencaci makhluk-makhluk mulia di syurga.

9Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, "Tuhan menengking kamu!"

10Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka.

11Alangkah malangnya mereka! Mereka telah mengikut jalan yang ditempuh oleh Kain. Untuk mendapat wang, mereka telah membabitkan diri dengan kesesatan, seperti yang dilakukan oleh Bileam. Mereka dibinasakan kerana memberontak seperti Korah.

12Kehadiran mereka mencemarkan perjumpaan makan bersama dengan saudara-saudara seiman, kerana mereka makan dengan rakus dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka seperti awan yang ditiup angin, tetapi tidak membawa hujan. Mereka juga seperti pokok yang tidak menghasilkan buah walaupun pada musim buah. Mereka seperti pokok yang sudah dicabut dengan akarnya dan mati sama sekali.

13Mereka seperti ombak ganas di laut, yang membuihkan perbuatan memalukan. Mereka seperti bintang mengembara, yang tempatnya telah disediakan oleh Allah dalam kegelapan yang paling dahsyat untuk selama-lamanya.

14Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, "Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci.

15Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!"

16Semua orang itu sentiasa bersungut-sungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menuruti nafsu jahat. Mereka memuji-muji diri sendiri dan mengangkat-angkat orang lain untuk mendapat keuntungan.

Amaran dan Nasihat

17Tetapi saudara-saudaraku, ingatlah akan apa yang dikatakan dahulu oleh rasul-rasul Tuhan kita Yesus Kristus.

18Mereka berkata kepada kamu, "Apabila akhir zaman tiba, orang akan tampil dan memperolok-olokkan kamu. Mereka orang yang mengikuti keinginan berdosa."

19Merekalah orang yang memecah-belah jemaah. Mereka tidak dipimpin oleh Roh Allah, tetapi dikuasai oleh keinginan sendiri.

20Tetapi kamu, saudara-saudaraku, teruslah bina hidup yang berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Iman kamu sangat suci. Berdoalah dengan pimpinan Roh Allah.

21Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Allah sementara menantikan rahmat Tuhan kita Yesus Kristus, yang akan menganugerahi kamu hidup sejati dan kekal.

22Tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang kurang keyakinan.

23Tariklah orang keluar dari dalam api dan selamatkanlah mereka. Hendaklah kamu menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, tetapi berhati-hatilah supaya kamu tidak dicemari oleh keinginan mereka yang menyebabkan orang berdosa.

Doa Pujian

24Allah, yang dapat menjaga kamu supaya tetap beriman, dan yang dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan tanpa cela,

25Dialah satu-satunya Allah, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dialah Allah yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya! Amin.



Download Audio MP3 (Yudas 1):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Yudas 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel