Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 19 >> 

Elia ke Gunung Horeb

1Disampaikanlah oleh Ahab kepada Izebel perihal semua yang dilakukan Elia dan bagaimana dia membunuh semua nabi itu dengan pedang.

2Lalu Izebel mengutus seorang pesuruh kepada Elia dengan pesan, “Biarlah tuhan mengazabkan aku bahkan lebih lagi, jika esok pada waktu seperti ini aku tidak membuat nyawamu sama dengan nyawa seorang daripada kalangan mereka.”

3Apabila diketahuinya hal itu, Elia bergegas pergi menyelamatkan diri. Sesampainya di Bersyeba, wilayah Yehuda, ditinggalkannya pelayannya di sana

4sementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, “Cukuplah! Sekarang, ya TUHAN, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku.”

5Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, “Bangunlah, makanlah.”

6Ketika dia memandang sekelilingnya, tampaklah yang berdekatan dengan kepalanya ada sepotong roti bundar terpanggang di atas bara api dan sebuah buyung berisi air. Dia pun makan dan minum, lalu berbaring lagi.

7Lalu untuk kali keduanya malaikat TUHAN datang lagi dan menjamah dia serta bersabda, “Bangunlah, makanlah, kerana perjalanan kelak terlalu jauh bagimu.”

8Maka Elia bangun lalu makan dan minum. Kemudian dengan kekuatan daripada makanan itu, dia berjalan selama empat puluh hari empat puluh malam sampai ke gunung Allah, iaitu Gunung Horeb.

Allah menyatakan diri di Gunung Horeb

9Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?”

10Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.”

11Firman-Nya, “Keluarlah dan berdirilah di atas gunung itu, di hadapan TUHAN.” Kemudian TUHAN berlalu. Mendahului TUHAN ada angin yang besar dan kuat membelah gunung itu serta memecahkan bukit-bukit batu, tetapi TUHAN tidak ada di dalam angin itu. Sesudah angin itu ada gempa, tetapi TUHAN tidak ada di dalam gempa itu.

12Sesudah gempa itu ada api, tetapi TUHAN tidak juga ada di dalam api itu. Sesudah api itu ada suara yang lembut.

13Apabila Elia mendengar suara itu, diselubunginya mukanya dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di pintu gua itu. Tiba-tiba terdengarlah suara menyapanya demikian, “Apa yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?”

14Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.”

15Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah, kembalilah ke jalanmu menuju Gurun Damsyik. Sesampainya di sana, lantiklah Hazael untuk menjadi raja atas Aram.

16Lantiklah juga Yehu, cucu Nimsi, menjadi raja atas Israel, dan Elisa anak Safat dari Abel-Mehola menjadi nabi untuk menggantikan engkau.

17Nanti, sesiapa yang terselamat daripada pedang Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan sesiapa yang terselamat daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa.

18Namun demikian, Aku akan membiarkan terselamat tujuh ribu orang di Israel, iaitu semua orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal dan semua orang yang tidak menciumnya.”

Elisa terpanggil

19Maka pergilah Elia dari sana, lalu didapatinya Elisa anak Safat yang sedang membajak. Ada dua belas pasangan lembu di hadapannya, sementara dia sendiri membajak dengan pasangan lembu yang kedua belas itu. Elia berjalan melalui dia seraya melemparkan jubahnya kepadanya.

20Lalu Elisa meninggalkan lembu-lembu itu dan berlari menyusul Elia, katanya, “Izinkanlah hamba mencium ayah dan ibu hamba dahulu, barulah hamba akan mengikuti tuan.” Kata Elia kepadanya, “Pulanglah. Adakah aku menghalang kamu?”

21Lalu dia berhenti mengikuti Elia. Kemudian diambilnya dua ekor lembu dan disembelihnya. Dimasaknya daging itu dengan kayu api daripada kuk lembu itu, diberikannya kepada orang ramai, lalu makanlah mereka. Setelah itu, dia segera mengikuti Elia dan menjadi pelayannya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran