Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 6 >> 

Raja Salomo mendirikan Bait Allah

1Pada tahun keempat ratus lapan puluh setelah orang Israel keluar dari Tanah Mesir, tahun keempat pemerintahan Salomo atas orang Israel, Salomo memulai pembinaan Bait TUHAN pada bulan Ziw, iaitu bulan kedua.

2Bait yang dibangunkan oleh Raja Salomo bagi TUHAN itu sepanjang enam puluh hasta, selebar dua puluh hasta, dan setinggi tiga puluh hasta.

3Di hadapan ruang besar bait itu ada serambi sepanjang dua puluh hasta iaitu mengikut lebar bait itu, dan selebar sepuluh hasta menganjung ke sebelah hadapan bait itu.

4Pada bait itu dibuatnya jendela-jendela yang berbidai rapat.

5Kemudian dia membina beberapa tingkat bilik tambahan pada dinding bait itu secara berkeliling, mengitari ruang besar dan juga ruang belakang.

6Tingkat bawahnya selebar lima hasta, tingkat tengah selebar enam hasta, manakala tingkat ketiga selebar tujuh hasta. Di sekeliling dinding bait sebelah luar, dibuatnya birai-birai pengimbang supaya segala alang tidak perlu ditancap pada dinding bait itu.

7Batu-batu yang digunakan untuk pembinaan bait itu kesemuanya disiapkan di lombong supaya selama pembinaan itu, tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi apa-apa pun di bait itu.

8Pintu bilik tingkat bawah ditempatkan pada sisi kanan bait itu, dan untuk sampai ke tingkat tengah seseorang harus menaiki tangga berlingkar-lingkar, begitu jugalah dari tingkat tengah ke tingkat ketiga.

9Demikianlah dia membina bait itu dan menyiapkannya. Siling bait itu dibuatnya daripada alang dan papan kayu araz.

10Bilik-bilik tambahan yang dibinanya di sekeliling bait itu masing-masing setinggi lima hasta, dan semuanya terhubung pada bait itu dengan kayu araz.

11Kemudian datanglah firman TUHAN kepada Salomo demikian,

12“Mengenai bait yang sedang kaubina ini, jika engkau mengikuti segala ketetapan-Ku, mentaati segala peraturan-Ku, dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku serta kamu tetap hidup dalamnya, maka Aku akan menepati janji-Ku kepadamu, yang telah Kufirmankan kepada Daud, ayahmu.

13Aku akan bersemayam di tengah-tengah orang Israel dan tidak akan meninggalkan umat-Ku Israel.”

14Demikianlah Salomo membina dan menyempurnakan bait itu.

15Dia melapisi dinding sebelah di dalam bait itu dengan papan kayu araz, dari lantai bait sampai ke alang silingnya, manakala lantai bait itu dilapisinya dengan papan kayu sanubar.

16Kemudian di bahagian belakang bait itu dibuatnya ruang belakang sepanjang dua puluh hasta dengan disekat papan kayu araz dari lantai sampai ke gelegarnya untuk dijadikan Tempat Yang Maha Suci.

17Jadi, ruang besar tepat di hadapan ruang belakang itu sepanjang empat puluh hasta.

18Kayu araz pada bahagian dalam bait itu berukiran buah labu dan bunga yang mengembang. Semuanya daripada kayu araz dan tiada batu yang kelihatan.

19Disiapkannya bahagian dalam ruang dalaman bait itu agar tabut perjanjian TUHAN dapat disimpan di sana.

20Ruang dalaman itu sepanjang dua puluh hasta, selebar dua puluh hasta, dan setinggi dua puluh hasta. Disalutnya ruang itu dengan emas murni, lalu disalutnya juga mazbah, dengan kayu araz.

21Salomo menyalut bahagian dalam bait itu dengan emas murni. Direntangkannya rantai-rantai emas di hadapan ruang dalaman, lalu disalutnya ruang itu dengan emas.

22Dia menyalut seluruh bait itu dengan emas hingga selesai. Juga seluruh mazbah yang ada pada ruang dalaman itu disalutnya dengan emas.

23Di ruang dalaman itu dibuatnya dua kerubin daripada kayu zaitun, masing-masing setinggi sepuluh hasta.

24Sayap kerubin yang satu itu sepanjang lima hasta. Demikian juga sayap yang satu lagi itu manakala jarak dari hujung sayap yang satu sampai ke hujung sayap yang lagi satu ialah sepuluh hasta.

25Kerubin yang kedua juga sepuluh hasta tingginya. Kedua-dua kerubin itu sama ukuran dan rupanya.

26Tinggi kerubin yang satu sepuluh hasta, demikian juga kerubin yang kedua.

27Kemudian diletaknya kedua-dua kerubin itu di tengah-tengah bahagian dalam bait itu dengan sayap yang terkembang. Sayap kerubin yang satu menyentuh dinding yang satu dan sayap kerubin yang kedua menyentuh dinding yang lagi satu manakala sayap-sayap lainnya saling bersentuhan di tengah-tengah bait itu.

28Lalu disalutnya kerubin-kerubin itu dengan emas.

29Secara berkeliling pada seluruh dinding bait itu, baik di sebelah dalam mahupun di luar, dibuatnya ukiran berupa kerubin, pokok kurma, dan bunga yang mengembang.

30Lantai bait itu disalutnya dengan emas, baik di ruang sebelah dalam mahupun di luar.

31Bagi pintu masuk ke ruang dalaman itu dibuatnya daun pintu daripada kayu zaitun. Ambang dan tiangnya berbentuk segi lima.

32Pada kedua-dua daun pintu daripada kayu zaitun itu dibuatnya pula ukiran berupa kerubin, pokok kurma, dan bunga yang mengembang, lalu disalutnya dengan emas. Selanjutnya, dia melapiskan emas pada kerubin dan pada pokok kurma itu.

33Demikian juga untuk pintu ruang besar dibuatnya tiang-tiang daripada kayu zaitun berbentuk segi empat.

34Kedua-dua daun pintu itu terbuat daripada kayu sanubar, masing-masing terdiri daripada dua keping papan yang dapat dilipat.

35Pada pintu itu dibuatnya ukiran berupa kerubin, pokok kurma, dan bunga yang mengembang, dan diratakan salutan emas pada ukiran itu.

36Dibinanya laman dalam dengan tiga lajur batu pahat dan satu lajur gelegar kayu araz.

37Pada bulan Ziw pada tahun keempat, diletakkanlah asas Bait TUHAN itu.

38Kemudian pada bulan Bul, iaitu bulan kelapan, pada tahun kesebelas, selesailah bait itu dengan semua bahagiannya, selaras dengan segala perinciannya. Jadi dia membina bait itu selama tujuh tahun lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel