Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 14 >> 

Yonatan mengalahkan orang Filistin

1Pada suatu hari Yonatan anak Saul berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Mari kita menyeberang ke tempat pasukan orang Filistin di sebelah sana.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada ayahnya.

2Ketika itu Saul tinggal di pinggiran daerah Gibea, di gua pokok delima di Migron dengan disertai kira-kira enam ratus orang.

3Ahia anak Ahitub, saudara Ikabod anak Pinehas anak Eli, imam TUHAN di Silo, ialah orang yang memakai baju efod pada waktu itu. Maka rakyat juga tidak mengetahui bahawa Yonatan telah pergi.

4Di antara genting yang dicari Yonatan untuk menyeberang ke kawasan pasukan Filistin itu ada ceracak batu di sebelah sana dan di sebelah sini, yang satu bernama Bozes dan yang lagi satu bernama Sene.

5Ceracak yang menjulang di sebelah utara berhadapan dengan Mikhmas manakala yang satu lagi itu di sebelah selatan berhadapan dengan Geba.

6Yonatan berkata kepada pembantu pembawa senjatanya, “Ayuh kita menyeberang untuk mendatangi pasukan umat yang tidak bersunat itu. Barangkali TUHAN akan bertindak membantu kita, kerana memang TUHAN sanggup menyelamatkan baik orang yang ramai mahupun yang sedikit dan tiada yang dapat mencegah-Nya.”

7Maka kata pembawa senjatanya itu kepadanya, “Lakukanlah segala yang tuan niatkan. Majulah. Hamba menyertai tuan dengan seluruh jiwa raga hamba.”

8Kata Yonatan, “Perhatikan, kita menyeberang ke arah mereka itu dan akan memperlihatkan diri kepada mereka.

9Jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Tunggulah, kami akan datang kepadamu,’ maka kita akan tetap berdiri di tempat kita, dan tidak naik menemui mereka.

10Tetapi jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Naiklah ke tempat kami,’ maka kita akan naik. Itu bererti TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kita. Itulah tandanya bagi kita.”

11Lalu kedua-duanya memperlihatkan diri kepada pasukan barisan orang Filistin. Berkatalah orang Filistin, “Tengok! Orang Ibrani itu keluar dari lubang-lubang tempat mereka menyembunyikan diri.”

12Lalu anggota pasukan itu berkata kepada Yonatan dan kepada pembawa senjatanya, “Naiklah ke tempat kami. Kami akan menunjukkan sesuatu kepadamu.” Maka Yonatan berkata kepada pembawa senjatanya, “Naiklah, ikuti aku. TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel.”

13Maka naiklah Yonatan merangkak ke atas, dengan diikuti oleh pembawa senjatanya. Tewaslah anggota pasukan itu diparang oleh Yonatan, sementara pembawa senjatanya membunuh mereka dari belakangnya.

14Serangan pertama oleh Yonatan dengan pembawa senjatanya itu membunuh kira-kira dua puluh orang dalam jarak kira-kira setengah alur di kawasan seluas satu ekar tanah.

15Maka timbullah huru-hara di perkhemahan, di padang dan dalam kalangan pasukan itu. Seluruh barisan itu juga menjadi gementar, dan bumi bergegar sehingga berlakunya hiruk-pikuk yang besar.

16Sementara itu, para peninjau Saul di Gibea-Benyamin melihat bahawa pasukan musuh tampaknya bertempiaran ke sana ke mari.

17Maka Saul berkata kepada pasukan yang menyertainya, “Hitunglah dan periksalah, siapa daripada kalangan kita yang pergi.” Setelah mereka menghitung, ternyata Yonatan dan pembawa senjatanya tidak ada.

18Kata Saul kepada Ahia, “Bawalah ke mari tabut Allah.” Pada waktu itu tabut Allah sememangnya pergi bersama-sama orang Israel.

19Tetapi sementara Saul berbicara dengan imam itu, huru-hara di perkhemahan orang Filistin semakin bertambah besar. Saul pun berkata kepada imam, “Tak perlu lagi.”

20Lalu Saul dan seluruh pasukan yang menyertainya berkumpul. Ketika mereka masuk ke medan perang, tampak pedang setiap orang mengenai kawannya. Huru-hara itu sangat besar.

21Mana-mana orang Ibrani yang sebelumnya menyertai orang Filistin dan maju bersama-sama orang Filistin ke perkhemahan itu dari daerah sekitar, berpaling lalu turut pula bergabung dengan orang Israel yang menyertai Saul dan Yonatan.

22Begitu jugalah semua orang Israel yang bersembunyi di Efraim mendengar bahawa orang Filistin telah melarikan diri, lalu mereka pun turut mengejar musuh itu dalam peperangan.

23Demikianlah TUHAN menyelamatkan orang Israel pada hari itu. Peperangan itu meluas sampai Bet-Awen.

Sumpah terburu-buru oleh Saul

24Pada hari itu orang Israel ditimpa kesusahan kerana Saul mengucapkan sumpahan atas rakyat, katanya, “Terkutuklah orang yang makan makanan apa-apa pun sebelum waktu maghrib, sebelum aku membalas dendam atas musuh-musuhku.” Oleh sebab itu tiada seorang pun dalam pasukan menjamah apa-apa makanan.

25Apabila kesemua mereka sampai di sebuah hutan, terdapat di sana ada madu di atas tanah.

26Ketika umat itu sampai di hutan itu, tampaklah di sana madu meleleh, tetapi tidak ada seorang pun yang mencedoknya ke mulutnya dengan tangan atas sebab mereka takut akan sumpahan tadi.

27Tetapi Yonatan tidak mendengar, bahawa ayahnya telah menyuruh rakyat bersumpah. Dihulurkannya tongkat yang ada di tangannya dan mencelupkan hujungnya ke dalam sarang madu; kemudian dia mencedoknya ke mulutnya dengan tangan, lalu matanya menjadi terang lagi.

28Kemudian seorang daripada anggota pasukan itu berkata, “Ayah tuan sungguh-sungguh telah mengucapkan sumpahan atas rakyat dengan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan makanan apa-apa pun pada hari ini.’ Itulah sebabnya pasukan menjadi letih lesu.”

29Kata Yonatan, “Ayahku telah menyusahkan negeri ini. Lihat, betapa terangnya mataku setelah kukecap madu itu sedikit sahaja.

30Terlebih lagi jika pada hari ini rakyat boleh makan dengan bebas daripada hasil rampasan musuh yang didapati mereka. Jika tidak, pastilah lebih ramai orang Filistin yang kita tewaskan.”

31Pada hari itu mereka menyerang orang Filistin dari Mikhmas sampai Ayalon tetapi selepas itu pasukan itu tersangat letih lesu.

32Maka mereka menyerbu jarahan, mengambil kawanan domba, lembu dan juga anak lembu, lalu menyembelih semua itu di tanah. Dagingnya dimakan mereka berserta dengan darahnya.

33Kemudian kepada Saul dikhabarkan demikian, “Ketahuilah, rakyat berdosa terhadap TUHAN kerana mereka memakan daging dan juga darahnya.” Katanya, “Kamu telah berbuat khianat. Gulingkanlah ke mari sebuah batu besar sekarang juga.”

34Kata Saul pula, “Bersebarlah antara rakyat dan katakan pada mereka, ‘Bawa ke mari lembu dan domba masing-masing, lalu sembelihlah di sini dan makanlah. Janganlah berdosa terhadap TUHAN dengan makan daging dengan darahnya.’ ” Maka pada malam itu seluruh rakyat membawa lembu masing-masing dan menyembelihnya di sana.

35Kemudian Saul membangunkan sebuah mazbah untuk TUHAN. Itulah mazbah yang mula-mula dibangunkannya bagi TUHAN.

36Saul berkata, “Mari kita pergi mengejar orang Filistin malam-malam dan menjarah mereka sampai fajar menyingsing. Jangan kita biarkan seorang pun antara mereka yang terselamat.” Jawab umat itu, “Lakukanlah segala sesuatu yang dipandang baik oleh tuanku.” Tetapi imam berkata, “Marilah kita menghadap Allah dahulu di sini.”

37Saul pun menanyakan petunjuk Allah, “Dapatkah aku pergi mengejar orang Filistin? Akankah Kauserahkan mereka ke dalam tangan orang Israel?” Tetapi pada hari itu Dia tidak menjawabnya.

38Maka kata Saul, “Datanglah ke mari, wahai semua pemimpin pasukan. Carilah dan periksalah bagaimanakah dosa ini terjadi pada hari ini.

39Demi TUHAN yang hidup, yang menyelamatkan orang Israel, sekalipun dosa itu dilakukan oleh Yonatan, anakku, dia pasti dihukum mati.” Akan tetapi, tiada seorang pun daripada seluruh pasukan itu memberinya jawapan.

40Kemudian dia berkata kepada orang Israel, “Kamu berdiri di sebelah sana. Aku dan Yonatan, anakku, berdiri di sebelah sini.” Jawab rakyat kepada Saul, “Lakukanlah apa yang dipandang baik oleh tuanku.”

41Lalu berkatalah Saul, “Ya, TUHAN, Allah Israel, nyatakanlah mengapa Engkau tidak menjawab hamba-Mu pada hari ini. Jika kesalahan itu ada padaku atau pada anakku Yonatan, ya TUHAN, Allah Israel, tunjukkanlah kiranya Urim; tetapi jika kesalahan itu ada pada umat-Mu Israel, tunjukkanlah Tumim.” Ternyata jawapan TUHAN menunjukkan Saul dan Yonatan maka ternyata rakyat tidak bersalah.

42Lalu berkatalah Saul, “Buanglah undi antara aku dengan Yonatan, anakku.” Lalu Yonatan terkena undi.

43Kata Saul kepada Yonatan, “Beritahulah kepadaku apa yang telah kaulakukan.” Lalu Yonatan memberitahu dia, katanya, “Aku memang telah mengecap sedikit madu dengan hujung tongkat yang ada di tanganku ini. Ya, aku harus mati.”

44Kata Saul, “Engkau memang harus mati, Yonatan. Jika tidak, Allah akan menjatuhkan azab kepadaku, bahkan lebih lagi.”

45Akan tetapi, rakyat berkata kepada Saul, “Haruskah Yonatan dihukum mati, padahal dia telah melakukan penyelamatan yang besar dalam kalangan orang Israel? Jangan sekali-kali hal itu terjadi! Demi TUHAN yang hidup, sehelai rambut kepalanya pun tidak akan jatuh ke tanah, kerana pada hari ini dia telah bertindak bersama-sama Allah.” Demikianlah rakyat melepaskan Yonatan sehingga dia tidak dihukum mati.

46Selepas itu, Saul berhenti mengejar orang Filistin lalu orang Filistin pun pulang ke tempat mereka.

Raja Saul menentang musuh-musuh orang Israel

47Setelah Saul menjadi raja Israel, dia memerangi kesemua musuhnya di segala penjuru. Dilawannya Moab, bani Amon, Edom, raja-raja Zoba, dan orang Filistin. Ke mana-mana pun dia pergi, dibuatnya mereka susah.

48Gagah perkasa sekali segala perbuatannya menyerang orang Amalek, dan melepaskan orang Israel daripada tangan mana-mana pihak yang menjarah mereka.

49Anak-anak Saul ialah Yonatan, Yiswi, dan Malkisua manakala dua orang anak perempuannya ialah Merab, yang sulung, dan Mikhal, yang lebih muda.

50Isteri Saul bernama Ahinoam anak Ahimaas, dan panglima tenteranya bernama Abner, anak Ner, iaitu bapa saudara Saul.

51Kish, ayah Saul dan Ner, ayah Abner ialah anak Abiel.

52Peperangan yang sengit melawan orang Filistin terjadi seumur hidup Saul. Saul sentiasa mengambil kesateria atau orang yang gagah perkasa untuk menjadi orangnya apabila dia menemui orang sedemikian.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel