Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 15 >> 

Saul ditolak sebagai raja

1Berkatalah Samuel kepada Saul, “Aku telah diutus oleh TUHAN untuk menobatkan engkau menjadi raja atas Israel, umat-Nya; oleh itu, dengarlah firman TUHAN.

2Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku akan membalas apa yang dilakukan orang Amalek terhadap orang Israel, kerana orang Amalek mengadang mereka di jalan setelah mereka keluar dari Mesir.

3Sekarang pergilah, seranglah orang Amalek. Tumpaskanlah segala sesuatu yang ada pada mereka. Jangan sayangi mereka, tetapi musnahkanlah lelaki dan perempuan, anak-anak dan bayi-bayi yang menyusu, lembu dan domba, unta dan keldai.’ ”

4Maka Saul mengerahkan rakyat dan menghitung mereka di Telaim. Jumlahnya dua ratus ribu pasukan berjalan kaki dan sepuluh ribu orang Yehuda.

5Saul pergi ke kota orang Amalek dan menyiapkan pasukannya yang menunggu untuk menyerang musuh mereka di lembah.

6Kepada orang Keni, Saul berkata, “Pergi, menyingkirlah. Jauhkan diri kamu daripada orang Amalek, supaya jangan kamu kulenyapkan bersama-sama mereka, kerana kamu telah menunjukkan keihsanan kepada seluruh orang Israel setelah mereka keluar dari Mesir.” Maka orang Keni pun menyingkir daripada kalangan Amalek.

7Kemudian Saul menumpaskan orang Amalek mulai Hawila sampai Syur, yang di sebelah timur Mesir.

8Ditawannya hidup-hidup Agag, raja orang Amalek, tetapi seluruh rakyat Agag ditumpaskannya dengan mata pedang.

9Saul dan pasukannya menyelamatkan Agag, kawanan domba dan kawanan lembu yang terbaik, ternakan dan anak domba yang gemuk-gemuk, serta segala sesuatu yang berharga. Dia tidak mahu menumpaskan seluruhnya. Tetapi segala haiwan yang tidak berharga dan yang buruk, itulah yang ditumpaskan mereka.

10Lalu datanglah firman TUHAN kepada Samuel, demikian,

11“Aku masyghul, kerana Aku telah menjadikan Saul raja, kerana dia telah berbalik daripada Aku dan tidak melaksanakan firman-Ku.” Maka amat kesallah Samuel dan dia berseru-seru kepada TUHAN semalam-malaman.

12Lalu Samuel bangun pagi-pagi untuk bertemu dengan Saul, tetapi dia diberitahu demikian, “Saul telah pergi ke Karmel tadi dan mendirikan sebuah tugu peringatan bagi dirinya di situ. Kemudian dia berangkat dan menuju Gilgal.”

13Ketika Samuel sampai di tempat Saul, berkatalah Saul kepadanya, “Semoga engkau diberkati TUHAN! Aku telah melaksanakan firman TUHAN.”

14Tetapi kata Samuel, “Kalau begitu apakah bunyi domba, yang sampai ke telingaku, dan bunyi lembu-lembu yang kudengar itu?”

15Jawab Saul, “Semua itu dibawa daripada orang Amalek. Rakyat menyelamatkan kawanan domba dan kawanan lembu yang terbaik untuk dipersembahkan sebagai korban di hadapan TUHAN, Allahmu. Tetapi yang selebihnya sudah kami bunuh.”

16Kata Samuel kepada Saul, “Sudahlah! Aku akan memberitahukan kepadamu apa yang telah difirmankan TUHAN kepadaku malam tadi.” Kata Saul kepadanya, “Katakanlah.”

17Kata Samuel, “Meskipun engkau kecil menurut pandanganmu sendiri, bukankah engkau telah dilantik untuk menjadi ketua suku-suku Israel? TUHAN telah melantik engkau menjadi raja atas orang Israel,

18dan TUHAN menyuruh engkau menjalankan suatu tugas, firman-Nya, ‘Pergilah, tumpaskanlah orang berdosa itu, iaitu orang Amalek. Perangilah mereka sehingga mereka binasa.’

19Mengapa engkau tidak mematuhi firman TUHAN, tetapi malah menyambar jarahan itu dan melakukan kejahatan di mata TUHAN?”

20Jawab Saul kepada Samuel, “Aku sudah mematuhi firman TUHAN dan menjalankan apa yang ditugaskan TUHAN kepadaku. Aku menawan Agag, raja Amalek itu, sedangkan orang Amalek kutumpaskan.

21Tetapi daripada rampasan itu rakyat mengambil kawanan domba dan kawanan lembu terbaik daripada semua yang harus ditumpaskan, untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allahmu, di Gilgal.”

22Kata Samuel, “Adakah korban bakaran dan korban sembelihan yang lebih disukai TUHAN daripada mendengar suara TUHAN? Sesungguhnya, mematuhi itu lebih baik daripada korban sembelihan dan memperhatikan itu lebih baik daripada lemak domba jantan.

23Sebab penderhakaan sama seperti dosa bertenung dan kedegilan sama seperti penyembahan berhala. Kerana engkau telah menolak firman TUHAN, maka Dia juga telah menolak engkau sebagai raja.”

24Kata Saul kepada Samuel, “Aku telah berdosa, kerana aku telah melanggar firman TUHAN dan kata-katamu. Aku takut kepada rakyat sehingga kata-kata mereka kuturuti.

25Sekarang, ampunkanlah kiranya dosaku dan kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN.”

26Kata Samuel kepada Saul, “Aku tidak mahu kembali bersamamu, kerana engkau telah menolak firman TUHAN dan TUHAN pun telah menolak engkau sebagai raja atas orang Israel.”

27Apabila Samuel berpaling hendak pergi, Saul memegang punca jubah Samuel, tetapi terkoyak.

28Kemudian berkatalah Samuel kepadanya, “TUHAN telah mengoyakkan daripadamu jawatan raja atas Israel pada hari ini dan telah memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada engkau.

29Apatah lagi, Yang Maha Mulia, yang disembah orang Israel, tidak berdusta dan tidak menyesal, kerana Dia bukan manusia yang harus menyesal.”

30Kata Saul, “Aku telah berdosa. Tetapi sekarang, mohon hormati aku di hadapan para tua-tua rakyatku dan di hadapan orang Israel. Kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN, Allahmu.”

31Maka kembalilah Samuel mengikuti Saul, dan Saul pun beribadat kepada TUHAN.

32Kemudian Samuel berkata, “Bawalah ke mari Agag, raja orang Amalek itu.” Agag pun datang kepadanya dengan gembira. Fikir Agag, “Tentulah pahitnya maut sudah berlalu.”

33Kata Samuel, “Sebagaimana pedangmu membuat perempuan-perempuan kehilangan anak, demikianlah antara perempuan, ibumu akan kehilangan anak.” Lalu Samuel mencencang Agag di hadapan TUHAN di Gilgal.

34Sesudah itu Samuel pulang ke Rama, sedangkan Saul pulang ke rumahnya di Gibea, kota Saul.

35Samuel tidak melihat Saul lagi sampai hari kematiannya, kerana Samuel berdukacita atas Saul. Hati TUHAN pun masyghul kerana Dia telah mengangkat Saul untuk menjadi raja atas orang Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel