Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 16 >> 

Daud dilantik menjadi raja

1Berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau akan berdukacita atas Saul kerana Aku telah menolak dia sebagai raja atas Israel? Isilah tabung tandukmu dengan minyak dan pergilah. Aku mengutus engkau kepada seorang Betlehem bernama Isai, kerana Aku telah memilih bagi-Ku seorang raja daripada kalangan anaknya.”

2Kata Samuel, “Masakan aku boleh pergi? Jika Saul mendengarnya, tentu dia akan membunuhku.” Firman TUHAN, “Bawalah seekor lembu betina yang muda dan katakan, ‘Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN.’

3Undanglah Isai ke upacara korban itu, dan Aku akan menunjukkan kepadamu apa yang harus kamu lakukan. Lantiklah bagi-Ku orang yang akan Kusebutkan kepadamu.”

4Samuel pun melakukan apa yang difirmankan TUHAN. Ketika dia tiba di Betlehem, tua-tua kota itu menyongsong dia dengan gementar. Tanya mereka, “Apakah tuan datang dengan damai sejahtera?”

5Jawabnya, “Ya, dengan damai sejahtera. Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN. Sucikanlah dirimu dan datanglah untuk bersama-samaku ke upacara korban ini.” Lalu dia mentahbiskan Isai dan anak-anaknya serta mengundang mereka ke upacara korban itu.

6Pada waktu mereka datang, Samuel memandang Eliab dan berfikir, “Sesungguhnya, orang yang akan dilantik TUHAN sedang berdiri di hadapan-Nya.”

7Tetapi firman TUHAN kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati.”

8Kemudian Isai memanggil Abinadab dan menyuruhnya lalu di hadapan Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.”

9Maka Isai menyuruh Syama lalu pula. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.”

10Isai menyuruh ketujuh-tujuh anaknya lalu di hadapan Samuel. Tetapi kata Samuel kepada Isai, “Mereka semua tidak dipilih TUHAN.”

11Tanya Samuel kepada Isai, “Inikah semua anakmu?” Jawabnya, “Masih ada yang bongsu, tetapi dia sedang menggembala kawanan domba.” Kata Samuel kepada Isai, “Suruhlah orang menjemput dia, kerana kita tidak akan duduk makan sebelum dia datang.”

12Maka Isai menyuruh orang menjemput anak bongsunya itu. Dia kemerah-merahan, matanya cantik, dan parasnya elok. Berfirmanlah TUHAN, “Segeralah lantik dia, kerana inilah dia.”

13Samuel mengambil tabung tanduknya yang berisi minyak itu dan melantik dia di depan abang-abangnya. Maka sejak hari itu dan seterusnya, Roh TUHAN turun atas Daud dengan penuh kuasa. Setelah itu, Samuel segera pulang ke Rama.

Daud di istana Raja Saul

14Pada waktu itu, Roh TUHAN telah menjauhi Saul, dan dia diganggu oleh roh jahat yang diizinkan TUHAN.

15Para pegawai Saul berkata kepadanya, “Sesungguhnya, ada roh jahat yang diizinkan Allah mengganggu tuanku.

16Hendaklah tuanku memerintahkan hamba-hambamu yang ada di hadapan tuanku ini untuk mencari orang yang pandai memetik kecapi. Nanti, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada tuanku, dia harus memetik kecapi sehingga tuanku berasa nyaman.”

17Kata Saul kepada para pegawainya, “Carikanlah bagiku seorang yang dapat memetik kecapi dengan baik. Bawalah dia menghadap aku.”

18Seorang daripada antara orang muda itu berkata, “Sesungguhnya, aku pernah melihat seorang anak Isai, orang Betlehem, yang pandai memetik kecapi. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa, dan juga seorang pejuang. Selain itu, dia pandai berbicara dan perawakannya bagus dan TUHAN menyertainya.”

19Maka Saul mengirim beberapa orang utusan kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang suka menggembala kawanan domba itu, menghadap aku.”

20Kemudian Isai mengambil seekor keldai. Dimuatinya keldai itu dengan roti, sebuah kantung kulit berisi air anggur, dan seekor anak kambing, lalu dikirimnya semua itu kepada Saul dengan perantaraan Daud, anaknya.

21Daud pun datang menghadap Saul dan berkhidmat kepadanya. Saul sangat mengasihi Daud, sehingga dia menjadikan Daud pembawa senjatanya.

22Lalu Saul menyuruh orang untuk menemui Isai dan berkata, “Biarlah Daud tetap berkhidmat kepadaku, kerana aku menyukainya.”

23Jadi, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada Saul, maka Daud akan mengambil kecapi dan memetiknya. Setelah itu, Saul akan berasa lega dan nyaman, lalu roh jahat itu pun menjauhinya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel