Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 23 >> 

Daud di Kehila

1Disampaikanlah kepada Daud demikian pada suatu hari, “Ketahuilah, orang Filistin sedang memerangi Kehila dan menjarah tempat-tempat pembantingan bijirin.”

2Maka Daud menanyakan petunjuk TUHAN, katanya, “Haruskah aku pergi dan menyerang orang Filistin itu?” Firman TUHAN kepada Daud, “Pergilah, seranglah orang Filistin itu dan selamatkanlah Kehila.”

3Tetapi anak buah Daud berkata kepadanya, “Ingat, di Tanah Yehuda di sini pun kita sudah ketakutan, apa lagi kalau kita pergi ke Kehila melawan barisan perang orang Filistin.”

4Maka sekali lagi Daud berusaha mendapatkan petunjuk TUHAN lalu TUHAN menjawabnya. Firman-Nya, “Pergilah segera ke Kehila kerana Aku akan menyerahkan orang Filistin itu ke dalam tanganmu.”

5Maka pergilah Daud dengan pasukannya ke Kehila memerangi orang Filistin itu dan merampas ternakan mereka serta menewaskan mereka secara besar-besaran. Demikianlah Daud menyelamatkan penduduk Kehila.

6Pada waktu Abyatar anak Ahimelekh melarikan diri ke tempat Daud dan menyertainya ke Kehila, dia membawa baju efod bersama-samanya.

Daud dikejar Raja Saul

7Kemudian dikhabarkanlah kepada Saul bahawa Daud datang ke Kehila. Lalu kata Saul, “Allah telah menyerahkan dia ke dalam tanganku, kerana dengan memasuki kota yang berpintu dan berpalang, dia telah mengurung dirinya.”

8Maka Saul mengerahkan seluruh rakyat pergi berperang di Kehila untuk mengepung Daud serta pasukannya.

9Apabila Daud mengetahui Saul merancang kejahatan terhadap dirinya, berkatalah dia kepada Imam Abyatar, “Bawalah baju efod itu ke mari.”

10Lalu kata Daud, “Ya TUHAN, Allah Israel, hamba-Mu telah mendengar dengan pasti bahawa Saul berikhtiar datang ke Kehila untuk memusnahkan kota ini kerana aku.

11Apakah warga Kehila ini akan menyerahkan aku ke dalam tangannya? Apakah Saul akan datang seperti yang didengar hamba-Mu? Ya TUHAN, Allah Israel, beritahulah kiranya kepada hamba-Mu ini.” Firman TUHAN, “Dia akan datang.”

12Tanya Daud, “Adakah warga Kehila ini akan menyerahkan aku dan orangku ke dalam tangan Saul?” Firman TUHAN, “Mereka akan menyerahkan kamu.”

13Maka Daud dan orangnya, kira-kira enam ratus orang banyaknya, segera keluar dari Kehila dan pergi ke mana-mana sahaja mereka dapat pergi. Saul tidak jadi pergi setelah diberitahukan kepadanya bahawa Daud telah melarikan diri dari Kehila.

14Daud tinggal di gurun, di dalam kubu-kubu pertahanan. Dia tinggal di pergunungan, di Gurun Zif. Setiap hari Saul mencari dia, tetapi Allah tidak menyerahkan Daud ke dalam tangannya.

Raja Saul mengejar Daud

15Daud menyedari bahawa Saul keluar untuk mengancam nyawanya. Ketika Daud berada di Gurun Zif, di Koresa,

16Yonatan anak Saul bergegas pergi mendapatkan Daud di Koresa lalu dia menguatkan keyakinan Daud kepada Allah.

17Kata Yonatan kepadanya, “Jangan takut. Tangan Saul, ayahku, tidak akan dapat menangkap kamu. Engkau akan menjadi raja atas orang Israel dan aku akan menjadi orang kedua di bawahmu. Saul, ayahku, tahu juga tentang hal itu.”

18Lalu kedua-duanya mengikat perjanjian di hadapan TUHAN. Setelah itu, Daud tetap tinggal di Koresa, manakala Yonatan pulang ke rumahnya.

19Namun demikian, rupanya orang Zif datang menghadap Saul di Gibea, kata mereka, “Daud menyembunyikan diri antara kami. Dia ada di kubu-kubu pertahanan di Koresa, di Bukit Hakhila, sebelah selatan gurun.

20Sekarang, ya Raja, bila-bila sahaja tuanku berkehendak untuk datang, silakan datang. Memang menjadi tanggungjawab kami untuk menyerahkan dia ke dalam tangan tuanku.”

21Kata Saul, “Semoga TUHAN memberkatimu, kerana kamu menunjukkan rasa sayangmu kepadaku.

22Sekarang pergilah, pastikan lagi. Pastikan serta amatilah tempat dia berada dan siapakah yang datang menemuinya di sana. Kononnya dia sangat cerdik.

23Amatilah dan kenal pasti segala tempat persembunyiannya. Setelah itu, kembalilah kepadaku dengan suatu kepastian, maka aku akan pergi bersama-sama kamu. Jika dia ada di negeri ini, akan kucari dia antara segala kaum orang Yehuda.”

24Mereka itu segera pergi ke Zif mendahului Saul. Pada waktu itu Daud dan pasukannya ada di Gurun Maon, Arabah, di sebelah selatan daerah Jesimon.

25Saul dan bala tenteranya pergi mencari Daud. Hal itu diberitahu kepada Daud lantas Daud berangkat ke bukit batu pejal dan tinggal di Gurun Maon. Ketika Saul mendengar hal itu, maka dia mengejar Daud ke Gurun Maon.

26Saul berjalan di sisi gunung sebelah sini, manakala Daud dan pasukannya di sisi gunung sebelah sana. Daud cepat-cepat menjauhkan diri daripada Saul. Ketika Saul dan orangnya hampir mengepung Daud berserta pasukannya untuk menangkap mereka,

27datanglah seorang utusan menghadap Saul dan berkata, “Pulanglah segera. Orang Filistin sedang menyerang negeri ini.”

28Lalu berhentilah Saul mengejar Daud dan pergi menghadapi serangan orang Filistin. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Bukit Batu Pelolosan.

29Dari situ, pergilah Daud lalu tinggal di kubu-kubu pertahanan di En-Gedi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran