Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 24 >> 

Raja Saul dibiarkan hidup

1Apabila Saul pulang sesudah memburu orang Filistin itu, dia diberitahu, “Ketahuilah, Daud ada di Gurun En-Gedi.”

2Lalu Saul mengambil tiga ribu orang yang terpilih daripada seluruh orang Israel, untuk pergi memburu Daud dan pasukannya di batu pejal Kambing Hutan.

3Sesampainya di kandang-kandang domba di tepi jalan itu, ada gua dan Saul masuk ke dalamnya untuk membuang air, tetapi Daud dan pasukannya sedang berada di bahagian belakang gua itu.

4Lalu orang Daud berkata kepadanya, “Inilah hari yang difirmankan TUHAN kepada tuan, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu. Lakukanlah terhadap dia menurut apa yang kaupandang baik.’ ” Daud pun mendekat lalu memotong bucu jubah Saul secara diam-diam.

5Kemudian berdebar-debarlah hati Daud, kerana dia telah memotong bucu jubah Saul.

6Lalu berkatalah dia kepada anak buahnya, “TUHAN melarang aku melakukan hal sebegitu terhadap tuanku, orang yang dilantik TUHAN, atau mencederakan dia, kerana dia dilantik TUHAN.”

7Dengan kata-kata itu Daud menahan anak buahnya dan tidak mengizinkan mereka untuk menyerang Saul. Sementara itu Saul bergegas meninggalkan gua untuk melanjutkan perjalanannya.

8Kemudian bergegaslah Daud keluar dari dalam gua dan berseru dari belakang Saul, katanya, “Tuanku Raja!” Ketika Saul menengok ke belakang, Daud membongkok dan sujud memberi hormat.

9Lalu berkatalah Daud kepada Saul, “Mengapakah tuanku mendengar kata-kata kalangan yang mengatakan, ‘Ketahuilah, Daud berikhtiar mencederakan tuanku’?

10Kata Daud kepada Saul, “Sesungguhnya, pada hari ini mata tuanku sendiri melihat, bahawa TUHAN sudah menyerahkan tuanku ke dalam tangan hamba di dalam gua itu; ada orang yang mendesak hamba untuk membunuh tuanku, tetapi hamba berasa sayang kepada tuanku kerana fikir hamba: ‘Aku tidak akan menjamah tuanku itu, kerana dialah orang yang diurapi dan dilantik TUHAN.’

11Lihatlah, ayahku, lihatlah punca jubah tuanku di tangan hamba ini. Hamba mengerat punca jubah tuanku, namun tidak membunuh tuanku. Ketahuilah dan sedarilah bahawa tidak ada kejahatan atau kederhakaan daripada pihak hamba. Hamba tidak berbuat dosa terhadap tuanku, sekalipun tuanku memburu hamba untuk mencabut nyawa hamba.

12Semoga TUHAN menjadi hakim antara hamba dengan tuanku, dan semoga TUHAN membalas perbuatan tuanku terhadap hamba, namun tangan hamba tidak akan menyentuh tuanku.

13Pepatah zaman dahulu mengatakan, ‘Kefasiqan terbit daripada orang fasiq,’ tetapi tangan hamba tidak akan mencederakan tuanku.

14Siapakah sesungguhnya yang dikejar raja Israel? Siapakah sesungguhnya yang tuanku buru? Hanya anjing mati! Seekor hama sahaja!

15Oleh sebab itu semoga TUHAN menjadi hakim dan memutuskan perkara antara hamba dengan tuanku. Semoga Dia menyaksikan, membela perkara hamba, dan membebaskan hamba daripada tangan tuanku.”

16Setelah selesai Daud menyampaikan hujah itu kepada Saul, berkatalah Saul, “Adakah itu suaramu, anakku Daud?” Kemudian Saul pun menangis dengan suara nyaring.

17Katanya kepada Daud, “Engkau lebih benar daripada aku, kerana engkau telah berbuat baik terhadap aku, padahal aku berbuat jahat terhadap engkau.

18Pada hari ini telah kaunyatakan bagaimana engkau berbuat baik terhadap aku. Walaupun TUHAN menyerahkan aku ke dalam tanganmu, engkau tidak membunuh aku.

19Apabila seseorang menemukan musuhnya, jarang-jarang sekali dia akan melepaskannya pergi dengan selamat! Semoga TUHAN membalas kamu dengan kebaikan atas apa yang kaulakukan kepadaku pada hari ini.

20Oleh itu, sekarang aku yakin betapa engkau pasti menjadi raja dan jawatan raja Israel akan tetap kukuh dalam tanganmu.

21Sekarang bersumpahlah kepadaku demi TUHAN, bahawa engkau tidak akan melenyapkan keturunanku dan tidak akan menghapuskan namaku daripada keluargaku.”

22Lalu bersumpahlah Daud kepada Saul. Kemudian pulanglah Saul ke rumahnya manakala Daud dan anak buahnya pergi ke kubu tempat persembunyian mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 24 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran