Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Tawarikh 29 >> 

Sumbangan untuk pembinaan Bait Suci

1Kemudian berkatalah Raja Daud kepada seluruh jemaah itu, “Anakku Salomo, satu-satunya yang dipilih Allah, masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan pekerjaan itu besar, kerana bait ini bukanlah untuk manusia melainkan untuk TUHAN Allah.

2Dengan segenap kemampuanku, aku telah mengadakan persediaan untuk bait Allahku, iaitu emas untuk barang-barang emas, perak untuk barang-barang perak, gangsa untuk barang-barang gangsa, besi untuk barang-barang besi, kayu untuk barang-barang kayu, batu unam dan permata tatahan, batu serawak dan batu warna-warni, segala jenis batu permata dan batu pualam.

3Tambahan pula, kerana cintaku kepada bait Allahku, aku memberikan emas dan perak daripada harta benda aku sendiri bagi bait Allahku sebagai tambahan pada semua yang telah kusiapkan untuk Bait Suci itu:

4itu termasuk tiga ribu talenta emas daripada emas Ofir dan tujuh ribu talenta perak yang dimurnikan untuk menyalut dinding-dinding bait itu;

5emas untuk barang-barang emas dan perak untuk barang-barang perak, serta untuk segala pekerjaan yang akan dikerjakan oleh para tukang. Siapakah lagi yang ingin memberikan persembahan kepada TUHAN dengan ikhlas pada hari ini?”

6Maka para pemimpin kaum keluarga, para pemimpin suku Israel, para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, serta para pegawai yang mengurus keperluan raja memberikan persembahan dengan ikhlas.

7Untuk ibadat di Rumah Allah, mereka menyerahkan lima ribu talenta emas, sepuluh ribu dirham emas, sepuluh ribu talenta perak, lapan belas ribu talenta gangsa, dan seratus ribu talenta besi.

8Mereka yang mempunyai batu-batu permata menyerahkannya untuk perbendaharaan Bait TUHAN di bawah pengawasan Yehiel, orang Gerson itu.

9Bangsa itu bersuka ria kerana para pemimpin telah memberikan persembahan dengan ikhlas, kerana dengan tulus hati mereka memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN. Raja Daud pun sangat bergembira.

Nyanyian pujian Raja Daud

10Lalu Daud memuji TUHAN di hadapan mata seluruh jemaah itu. Kata Daud, “Segala puji bagi-Mu, ya TUHAN, Allah nenek moyang kami Israel, dari selama-lamanya sampai selama-lamanya.

11Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kebesaran, keperkasaan, kemuliaan, kejayaan, dan kemegahan, kerana Engkaulah yang empunya segala sesuatu di langit dan di bumi. Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kerajaan dan Engkau ditinggikan sebagai ketua atas segala sesuatu.

12Kekayaan dan hormat berasal daripada-Mu, dan Engkaulah yang menguasai segala sesuatu. Memang dalam tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan. Memang dalam tangan-Mu kuasa untuk membesarkan dan menguatkan segala sesuatu.

13Sekarang, kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Allah kami, dan kami memuji nama-Mu yang mulia itu.

14Sebab siapakah aku dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini? Kerana segala sesuatu berasal daripada Engkau, dan daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu.

15Kami ialah pendatang dan perantau di hadapan-Mu, sama seperti semua nenek moyang kami. Hari-hari kami di bumi seperti bayang-bayang dan tidak ada harapan.

16Ya TUHAN, Allah kami, semua kelimpahan bahan yang kami sediakan untuk membangunkan sebuah bait bagi nama-Mu yang suci itu berasal daripada tangan-Mu juga dan segala sesuatu ialah milik-Mu.

17Aku tahu, ya Allahku, bahawa Engkaulah yang menguji hati dan berkenan kepada ketulusan. Maka aku mempersembahkan semua itu dengan ikhlas dan dengan setulus hati. Sekarang, dengan gembira telah kulihat umat-Mu yang hadir di sini memberikan pula persembahan sukarela kepada-Mu.

18Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, nenek moyang kami, teguhkanlah hal ini untuk selama-lamanya dalam maksud hati serta fikiran umat-Mu, dan arahkanlah hati mereka kepada-Mu.

19Kurniakanlah kepada anakku Salomo hati yang tulus supaya dia berpegang teguh pada segala perintah-Mu, peraturan-Mu, serta ketetapan-Mu, dan supaya dia melaksanakan semua itu serta membina bait yang persediaannya telah kulakukan.”

20Kemudian Daud berkata kepada seluruh jemaah itu, “Pujilah TUHAN, Allahmu!” Maka seluruh jemaah memuji TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Mereka tunduk lalu sujud menyembah TUHAN dan memberi hormat kepada raja.

Salomo menjadi raja

21Keesokan harinya mereka mempersembahkan korban sembelihan dan korban bakaran kepada TUHAN, iaitu seribu ekor lembu, seribu ekor domba jantan, dan seribu ekor domba muda, berserta persembahan minumannya, juga banyak korban sembelihan demi seluruh Israel.

22Pada hari itu mereka makan dan minum di hadapan TUHAN dengan sukacita yang besar. Lalu mereka menobatkan Salomo anak Daud untuk kali kedua sebagai raja dan melantik dia bagi TUHAN sebagai pemimpin, serta Zadok sebagai imam.

23Kemudian Salomo duduk sebagai raja di atas takhta kerajaan yang ditetapkan TUHAN menggantikan Daud, ayahnya. Dia dikurniai kejayaan, sehingga semua orang Israel menuruti perintahnya.

24Semua pembesar, para kesateria, bahkan semua anak Raja Daud mengakui kekuasaan Raja Salomo.

25TUHAN membuat Salomo luar biasa besar di hadapan mata semua orang Israel, dan mengurniakan kepadanya kemegahan kerajaan yang belum pernah ada pada raja mana pun di Israel sebelum dia.

Raja Daud mati

26Demikianlah Daud anak Isai bertakhta atas seluruh Israel.

27Selama empat puluh tahun dia bertakhta atas orang Israel, tujuh tahun di Hebron dan tiga puluh tiga tahun di Yerusalem.

28Dia mati ketika sudah sangat tua, lanjut umur, penuh kekayaan dan kemuliaan. Lalu Salomo, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

29Sesungguhnya, riwayat Raja Daud dari awal hingga akhir tertulis dalam riwayat Samuel, pelihat itu, dalam riwayat Nabi Natan, dan dalam riwayat Gad, pelihat itu.

30Di situ ditulis pula seluruh pemerintahannya dan kejayaannya, juga keadaan zaman yang dialaminya, dialami Israel dan juga semua kerajaan di negeri-negeri lain.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Tawarikh 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel