Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Amsal 25 >> 

Amsal Salomo

1Ini juga amsal Salomo yang disalin oleh para pegawai Hizkia, raja Yehuda:

2Kemuliaan TUHAN adalah merahsiakan suatu perkara, tetapi kemuliaan para raja adalah menyelidiki suatu perkara.

3Seperti tingginya langit dan dalamnya bumi, demikianlah hati para raja tidak dapat diselidiki.

4Singkirkanlah tahi leburan daripada perak, maka terhasillah barang yang indah oleh tukang perak.

5Singkirkanlah orang durjana dari hadapan raja, maka takhtanya akan kukuh dalam perbenaran.

6Jangan membesarkan diri di hadapan raja, dan jangan berdiri di tempat para dif terulung,

7kerana lebih baik orang berkata kepadamu, “Naiklah ke mari,” daripada engkau direndahkan di hadapan orang mulia yang matamu telah lihat sendiri.

8Janganlah terburu-buru membawa hal ke pengadilan, kerana apakah yang dapat kaulakukan pada akhirnya jika lawanmu mengaibkan kamu?

9Bicarakanlah perkaramu dengan jiranmu, tetapi jangan buka rahsia orang lain,

10supaya engkau tidak dicela oleh orang yang mendengar, dan nama kamu buruk selama-lamanya.

11Seperti buah epal emas bertata perak, demikianlah kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya.

12Seperti anting-anting emas dan perhiasan emas, demikianlah teguran yang bijaksana bagi telinga yang mendengarnya.

13Seperti sejuk salji pada musim menuai, demikianlah duta yang setia bagi orang yang mengutusnya; dia menyegarkan hati tuannya.

14Seperti awan dan angin yang tidak ada hujan, demikianlah orang yang bercakap besar fasal hadiah yang tidak pernah diberikannya.

15Dengan kesabaran seorang penguasa pun dapat diyakinkan, dan lidah yang lembut dapat mematahkan tulang.

16Kalau engkau mendapat madu, makanlah secukupnya. Jangan sampai terlalu kenyang lalu muntah.

17Janganlah sering pergi ke rumah jiranmu, supaya jangan dia jemu lalu membencimu.

18Seperti belantan, pedang, atau anak panah yang tajam, demikianlah orang yang bersaksi dusta atas jirannya.

19Seperti gigi yang patah dan kaki yang tergeliat, demikianlah kepercayaan kepada pengkhianat pada masa kesesakan.

20Seperti orang yang menanggalkan pakaian pada hari dingin dan seperti cuka pada garam abu, demikianlah orang yang bernyanyi untuk hati yang berdukacita.

21Jika musuhmu lapar, berilah dia makan, dan jika dia dahaga, berilah dia minum,

22kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya, dan TUHAN pun akan memberimu pahala.

23Angin utara menghasilkan hujan, dan lidah fitnah menghasilkan muka marah.

24Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.

25Seperti air sejuk bagi jiwa yang lelah, demikianlah khabar baik dari negeri yang jauh.

26Seperti mata air yang kotor atau pancuran air yang cemar, demikianlah orang benar yang goyah di hadapan orang durjana.

27Tidak baik makan madu banyak-banyak, demikian juga tidak terhormat orang yang mencari kehormatan diri.

28Seperti kota terbongkar yang tidak punya tembok, demikianlah orang yang tidak mengawal dirinya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Amsal 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel