Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 8 >> 

Penglihatan Daniel tentang domba jantan dan kambing jantan

1Pada tahun ketiga dalam zaman pemerintahan Raja Belsyazar, tampaklah kepadaku, Daniel, suatu penglihatan selepas penglihatan yang kulihat sebelumnya.

2Aku melihat dalam penglihatan itu bahawa ketika aku mengamati, aku berada di puri Susan, yang terletak di Wilayah Elam. Aku melihat juga dalam penglihatan itu bahawa aku berada di tepi Sungai Ulai.

3Ketika aku menujukan pandang dan mengamati, tampaklah seekor domba jantan yang bertanduk dua berdiri di tepi sungai itu. Kedua-dua tanduknya panjang, tetapi yang satu lebih panjang daripada yang lain. Tanduk yang lebih panjang itu tumbuh di belakang tanduk yang pendek.

4Aku melihat domba jantan itu menanduk ke arah barat, utara, dan selatan. Tiada haiwan yang dapat bertahan di hadapannya dan tidak ada yang dapat melepaskan diri daripada kekuasaannya. Dia berbuat sesuka hati dan membesarkan diri.

5Sementara aku memikirkan hal itu, tiba-tiba datanglah seekor kambing jantan dari arah barat, melintasi seluruh permukaan bumi tanpa menyentuh tanah. Kambing jantan itu mempunyai sebatang tanduk yang tampak ketara sekali di antara matanya.

6Ia mendatangi domba jantan bertanduk dua yang kulihat berdiri di tepi sungai itu, lalu berlari ke arahnya dengan amarah yang begitu marak sekali.

7Aku melihat ia mendekati domba jantan itu dan begitu marah kepadanya. Lalu dihentamnya domba jantan itu dan dipatahkan kedua-dua tanduknya. Tidak ada kuasa pada domba jantan itu untuk bertahan di hadapannya. Kambing itu menghempaskannya ke bumi dan menginjak-injaknya. Tidak ada yang dapat melepaskan domba jantan itu daripada kuasanya.

8Kambing jantan itu terlalu membesarkan diri. Tetapi sesudah ia menjadi teramat kuat, tanduknya yang besar itu patah. Sebagai gantinya tumbuhlah empat batang tanduk yang menanjak ke arah empat mata angin.

9Daripada salah satu tanduk itu keluarlah sebatang tanduk kecil yang menjadi sangat besar ke arah selatan, ke arah timur, dan ke arah Tanah Yang Mulia.

10Ia semakin besar sehingga mencapai benda-benda langit. Ia menjatuhkan ke bumi sebahagian daripada benda-benda langit itu, yakni daripada bintang-bintang, lalu menginjak-injaknya.

11Malah ia membesarkan diri terhadap Penguasa benda-benda langit. Ia merampas korban sehari-hari daripada-Nya dan merobohkan tempat suci-Nya.

12Kerana pemberontakan, tentera diserahkan kepadanya bersama dengan korban sehari-hari. Kebenaran dicampakkannya ke bumi dan apa-apa pun yang dilakukannya berhasil.

13Kemudian kudengar seorang suci berbicara, dan seorang suci lainnya berkata kepada orang yang berbicara tadi, “Berapa lamakah tempoh waktu penglihatan tentang korban sehari-hari, pemberontakan yang mendatangkan kebinasaan, tempat suci yang diserahkan, dan tentera yang diinjak-injak itu?”

14Lalu dia berkata kepadaku, “Sampai dua ribu tiga ratus petang dan pagi, barulah tempat suci itu akan disucikan.”

Tafsiran penglihatan Daniel

15Sewaktu aku, Daniel, sedang melihat penglihatan itu dan berusaha memahaminya, tiba-tiba berdirilah di hadapanku sesuatu yang serupa manusia.

16Lalu di antara dua tebing Sungai Ulai itu aku mendengar suara manusia yang berseru demikian, “Hai Gabriel, jelaskanlah kepada orang ini erti penglihatan itu!”

17Maka dia datang mendekati tempat aku berdiri. Kedatangannya membuat aku takut lalu aku sujud memberi hormat. Katanya kepadaku, “Fahamilah, wahai anak manusia, bahawa penglihatan itu adalah tentang akhir zaman.”

18Semasa dia berbicara denganku, aku jatuh pengsan dengan muka menelungkup ke tanah. Tetapi dia menyentuh aku dan membuat aku bangkit berdiri tegak.

19Dia berkata, “Ketahuilah, aku akan memberitahukan kepadamu apa yang akan terjadi pada masa murka yang terakhir ini, kerana hal itu berkaitan dengan akhir zaman yang sudah ditentukan.

20Domba jantan bertanduk dua yang kaulihat itu ialah raja-raja Media dan Parsi.

21Kambing jantan yang berbulu panjang itu ialah raja Yunani. Tanduk besar di antara dua matanya ialah raja yang pertama.

22Tanduk itu patah, dan empat batang tanduk yang muncul menggantikannya ialah empat kerajaan yang akan muncul daripada bangsa itu, tetapi tidak sekuat yang terdahulu.

23Menjelang penghujung pemerintahan kerajaan mereka, ketika kejahatan orang derhaka sudah memuncak, akan muncul seorang raja yang bermuka garang dan licik.

24Kuasanya akan menjadi besar, tetapi bukan oleh kekuatannya sendiri. Dia akan membuat kerosakan yang luar biasa dan berhasil dalam apa-apa pun yang dilakukannya. Dia akan membinasakan orang kuat dan umat yang suci.

25Kerana kepandaiannya, tipu daya yang dilakukannya akan berhasil dan dalam hatinya dia akan membesarkan diri. Dia membinasakan ramai orang, dan dia bangkit melawan Penguasa segala penguasa. Tetapi dia akan dipatahkan bukan oleh tangan manusia.

26Penglihatan mengenai petang dan pagi yang telah disebutkan itu benar adanya. Tetapi engkau, rahsiakanlah penglihatan itu, kerana hal itu berkaitan dengan masa yang masih jauh.”

27Aku, Daniel, menjadi lemah dan sakit selama beberapa hari. Setelah itu, aku bangun semula dan melaksanakan urusan raja. Aku kehairanan dengan penglihatan itu dan tidak dapat memahaminya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Daniel 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel