Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ezra 6 >> 

1Setelah itu, Raja Darius mengeluarkan perintah lalu carian dibuat di dalam perbendaharaan, tempat tersimpannya perbendaharaan di Babel.

2Maka di Ahmeta, di dalam istana di wilayah Media itu dijumpai segulungan naskhah yang tertulis sedemikian di dalamnya: “Piagam.

3Pada tahun pertama dalam zaman pemerintahan Raja Kores, raja memberikan perintah mengenai Rumah Allah di Yerusalem: Biarlah bait itu dibina semula sebagai tempat mempersembahkan korban, dan biarkan asasnya diletakkan dengan teguh. Hendaklah ketinggiannya enam puluh hasta dan lebarnya enam puluh hasta

4dengan tiga lajur batu yang besar-besar dan satu lajur kayu. Hendaklah pembiayaannya ditanggung oleh perbendaharaan raja.

5Juga, segala alat kelengkapan daripada emas dan perak milik Rumah Allah yang dahulunya diambil oleh Nebukadnezar dari Bait Suci di Yerusalem lalu dibawa ke Babel, hendaklah dikembalikan dan dibawa pulang ke tempat asalnya semula iaitu di Bait Suci di Yerusalem. Hendaklah kamu meletakkan setiap kelengkapan di tempatnya di dalam Rumah Allah itu.â€

6“Oleh yang demikian, wahai Tatnai, pembesar daerah seberang Sungai Efrat, serta Syetar-Boznai dan para rakanmu, iaitu para penghulu yang tinggal di daerah seberang Sungai Efrat, jauhkan diri dari sana.

7Biarkanlah pembinaan Rumah Allah itu dikerjakan. Biarkanlah pembesar orang Yahudi dan tua-tua orang Yahudi membina semula Rumah Allah itu di tempat asalnya.

8Tambahan pula, dengan ini aku memberikan perintah tentang bagaimana kamu harus membantu tua-tua orang Yahudi itu membina semula Bait Allah itu: perbelanjaan mereka itu hendaklah dibiayai sepenuhnya daripada perbendaharaan kerajaan tanpa berlengah, iaitu cukai yang terpungut dari daerah seberang Sungai Efrat.

9Apa-apa sahaja yang diperlukan mereka, iaitu anak lembu, domba jantan, dan anak domba sebagai korban bakaran untuk dipersembahkan kepada Allah semesta langit, juga gandum, garam, air anggur, dan minyak zaitun, menurut petunjuk para imam di Yerusalem, hendaklah diberikan kepada mereka setiap hari tanpa lalai,

10supaya mereka dapat mempersembahkan korban yang diperkenan Allah semesta langit dan mendoakan kesejahteraan raja serta anak-anak lelakinya.

11Selanjutnya, aku juga memerintahkan bahawa sekiranya ada sesiapa yang mengingkari perintah ini, maka sebatang tiang hendaklah dicabut dari rumahnya lalu orang itu diangkat serta disulakan di atas tiang itu. Selain itu, hendaklah rumahnya dijadikan tempat menimbuni kotoran atas sebab perbuatannya itu.

12Semoga Allah, yang telah membuat nama-Nya bersemayam di sana, menjatuhkan mana-mana raja atau orang yang mengingkari perintah ini dan menghancurkan Rumah Allah di Yerusalem itu. Aku, Darius, memberikan perintah ini. Hendaklah perintah ini dilaksanakan tepat mengikut setiap perkataannya.â€

Pekerjaan selesai dan Bait Allah ditakdiskan

13Kemudian Tatnai, pembesar daerah seberang Sungai Efrat, berserta Syetar-Boznai dan para rakan mereka melaksanakan perintah Raja Darius itu dengan saksama.

14Para tua-tua orang Yahudi pun meneruskan pembinaan itu dengan baik, di bawah sokongan nubuat Nabi Hagai dan Zakharia anak Ido. Mereka terus membina dan menyelesaikan bait itu menurut perintah Allah Israel, serta menurut ketetapan para raja Parsi, iaitu Kores, Darius, dan Artahsasta.

15Maka selesailah pembinaan semula bait itu pada hari ketiga pada bulan Adar, dalam tahun keenam pemerintahan Raja Darius.

16Kemudian orang Israel, para imam, bani Lewi, dan semua yang lain yang pulang daripada pembuangan merayakan perasmian Rumah Allah itu dengan gembira.

17Untuk perasmian Rumah Allah itu mereka mempersembahkan seratus ekor lembu jantan, dua ratus ekor domba jantan, dan empat ratus ekor anak domba, serta dua belas ekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa bagi semua orang Israel, menurut jumlah suku Israel.

18Mereka melantik secara rasmi para imam menurut regu mereka dan bani Lewi menurut regu mereka untuk beribadat kepada Allah yang bersemayam di Yerusalem, seperti yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa.

Perayaan Hari Paskah

19Kalangan umat yang pulang daripada pembuangan itu merayakan Hari Paskah pada hari keempat belas pada bulan pertama.

20Para imam dan bani Lewi bersama-sama menyucikan diri, sehingga sucilah mereka semua. Kemudian bani Lewi menyembelih korban Paskah bagi semua yang pulang daripada pembuangan, bagi saudara-saudara mereka, iaitu para imam, dan bagi diri mereka sendiri.

21Orang Israel yang kembali daripada pembuangan memakan korban itu, demikian juga semua orang yang meninggalkan segala kenajisan penduduk di negeri itu dan bergabung dengan mereka untuk beribadat kepada TUHAN, Allah Israel.

22Mereka juga merayakan Hari Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari dengan sukacita, kerana TUHAN telah membuat mereka bersukacita dan mengubah hati raja Asyur terhadap mereka, sehingga dia membantu mereka dalam pekerjaan membina semula Rumah Allah yakni Allah Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ezra 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel