Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hagai 2 >> 

Kemuliaan yang mendatang

1Pada hari kedua puluh satu dalam bulan ketujuh itu, datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai:

2“Katakanlah begini kepada pembesar Yehuda, Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar, Yosua anak Yozadak, dan kepada warga bangsa itu yang selebihnya:

3Adakah antara kamu yang pernah melihat Bait ini dalam kemegahannya yang terdahulu? Pada pandangan kamu, bagaimanakah keadaannya sekarang? Bukankah di matamu, keadaannya sekarang langsung tidak bererti sebagaimana keadaan terdahulunya?

4Namun begitu, kuatkanlah hatimu, wahai Zerubabel, demikianlah firman TUHAN; kuatkanlah hatimu, wahai Yosua anak Yozadak, imam besar; kuatkanlah hatimu, wahai semua warga negeri sekalian, demikianlah firman TUHAN; berusahalah, kerana Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta.

5Ini sejajar dengan ikatan perjanjian Aku dengan kamu sewaktu kamu keluar dari Mesir. Maka Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!

6Sebabnya beginilah firman TUHAN alam semesta: Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat.

7Aku akan menggoncangkan segala bangsa, sehingga akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan, firman TUHAN alam semesta.

8Perak itu milik-Ku dan emas itu milik-Ku, demikianlah firman TUHAN alam semesta.

9Adapun bagi Bait ini, kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya, firman TUHAN alam semesta, dan di tempat ini akan Kuberikan damai sejahtera, demikianlah firman TUHAN alam semesta.”

10Pada hari kedua puluh empat dalam bulan kesembilan sewaktu tahun kedua pemerintahan Raja Darius, datanglah firman TUHAN seperti yang berikut kepada Nabi Hagai:

11“Beginilah firman TUHAN alam semesta: Tanyakan para imam apakah peraturannya.

12Jika seseorang membawa daging suci dalam lipatan bajunya, lalu lipatan itu pula menyentuh roti atau sesuatu masakan atau air anggur atau minyak atau sesuatu barang makanan, apakah suci jadinya barang yang disentuh itu?” Lalu para imam itu menjawab, kata mereka: “Tidak!”

13Berkatalah pula Hagai: “Jika seseorang yang terkena najis daripada mayat menyentuh semua barang yang tersebut itu, adakah menjadi najis barang yang disentuh itu?” Lalu para imam itu menjawab, kata mereka: “Tentunya menjadi najis semuanya.”

14Maka berbicaralah Hagai, katanya: “Begitu jugalah dengan umat ini dan dengan bangsa di hadapan-Ku ini, demikianlah firman TUHAN, dan begitu jugalah halnya segala yang dibuat tangan mereka; dan apa yang dipersembahkan mereka di sana ialah najis belaka.”

15“Maka sekarang, perhatikanlah bagaimana keadaan kamu mulai hari ini dan selanjutnya sebelum orang meletakkan batu demi batu untuk pembinaan Bait TUHAN!

16Semenjak itu dan seterusnya, satu timbunan hasil bijirin yang seharusnya sebanyak dua puluh sukatan, hanya ada sepuluh; dan ketika seseorang ke tempat pemerasan anggur untuk mencedok lima puluh sukatan air anggur, hanya ada dua puluh sukatan.

17Aku timpakan petaka ke atas segala daya usaha kamu, iaitu bala penyakit bijirin dan melalui hujan batu; namun kamu tidak berbalik berdoa memohon bantuan-Ku, demikianlah firman TUHAN.

18Perhatikanlah mulai hari ini dan selanjutnya iaitu dari hari kedua puluh empat bulan kesembilan, mulai hari peletakan asas Bait TUHAN ini, perhatikanlah.

19Adakah benih semaian masih tersimpan di dalam bangsal? Ya, setakat ini pokok anggur dan pokok ara, pokok delima dan pokok zaitun belum lagi mengeluarkan buah. Namun bermula dari hari ini, Aku akan memberkati kamu!”

20Maka datanglah firman TUHAN buat kali keduanya kepada Hagai pada hari kedua puluh empat dalam bulan itu yang berbunyi:

21“Katakanlah begini kepada Zerubabel, pembesar Yehuda: Aku akan menggoncangkan langit dan bumi.

22Dan Aku akan menggulingkan raja-raja dari takhta mereka; Aku akan memusnahkan kekuasaan kerajaan bangsa-bangsa dan akan menterbalikkan rata dan pengendalinya; kuda dan pengendalinya akan rebah dan mati, masing-masing oleh pedang temannya.

23Pada waktu itu, demikianlah firman TUHAN alam semesta, Aku akan mengambil engkau, wahai Zerubabel anak Sealtiel, hamba-Ku, demikianlah firman TUHAN, dan akan menjadikan engkau seperti cincin mohor; kerana Aku telah memilih kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hagai 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran