Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 10 >> 

Tola dan Yair

1Selepas kematian Abimelekh, Tola anak Pua anak Dodo, seorang Isakhar, yang tinggal di Samir, di pergunungan Efraim, muncul untuk menyelamatkan orang Israel.

2Dia memerintah sebagai hakim kepada orang Israel selama dua puluh tiga tahun; kemudian dia meninggal, lalu dikuburkan di Samir.

3Selepas dia, muncullah pula Yair, daripada bani Gilead, yang memerintah sebagai hakim kepada orang Israel selama dua puluh dua tahun.

4Yair mempunyai tiga puluh orang anak lelaki, yang menunggang tiga puluh ekor keldai, dan di Tanah Gilead, mereka mempunyai tiga puluh buah kota, yang sampai sekarang dipanggil Hawot-Yair.

5Kemudian Yair meninggal dan dikuburkan di Kamon.

Kemungkaran orang Israel

6Orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN dengan menyembah Baal dan Asytoret iaitu tuhan orang Aram, tuhan orang Sidon, tuhan orang Moab, tuhan bani Amon dan tuhan orang Filistin. Mereka meninggalkan TUHAN dan tidak lagi beribadat kepada-Nya.

7Menyalalah kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel, lalu Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin dan bani Amon.

8Maka pada tahun itu dan selama lapan belas tahun seterusnya, kedua-dua pihak itu menindas orang Israel yang tinggal di seberang Sungai Yordan, di Gilead, di tanah orang Amori.

9Bani Amon pula menyeberangi Sungai Yordan untuk berperang dengan bani Yehuda, bani Benyamin dan keturunan Efraim, dan akibatnya, amat terdesaklah orang Israel.

10Lalu orang Israel berseru kepada TUHAN, “Kami telah berbuat dosa terhadap Engkau dengan perbuatan kami meninggalkan Allah kami dan menyembah Baal.”

11Maka berfirmanlah TUHAN kepada orang Israel, “Bukankah Aku yang telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir, orang Amori, bani Amon, serta daripada orang Filistin?

12Juga apabila kamu ditindas oleh orang Sidon, suku Amalek dan suku Maon, kamu berseru kepada-Ku dan bukankah Aku yang menyelamatkan kamu?

13Tetapi kamu meninggalkan Aku dan menyembah tuhan lain; sebab itulah Aku tidak akan menyelamatkan kamu lagi.

14Pergilah kamu berseru kepada tuhan yang kamu pilih itu; biar mereka yang menyelamatkan kamu, pada waktu kamu terdesak.”

15Berkatalah orang Israel kepada TUHAN, “Kami telah berdosa. Buatlah kepada kami apa sahaja yang baik di mata-Mu. Tetapi mohon Engkau tolonglah kami pada hari ini!”

16Lalu mereka menyingkirkan semua tuhan asing dari tengah-tengah mereka lantas mereka beribadat kepada TUHAN. Oleh itu, TUHAN pun terharu melihat kesusahan yang dialami oleh orang Israel.

17Bani Amon dikerahkan lalu mereka berkhemah di Gilead manakala orang Israel berhimpun serta berkhemah di Mizpa.

18Maka para pemimpin umat di Gilead memperkatakan antara satu sama lain, “Siapakah yang berani memulakan peperangan untuk melawan bani Amon itu? Dialah yang akan mengepalai seluruh penduduk Gilead.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel