Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ibrani 12 >> 

Teguh dalam iman

1Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita.

2Marilah kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah.

3Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati.

4Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu.

5Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: “Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu,

6kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak.”

7Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya?

8Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu ialah anak haram dan bukanlah anak yang sah.

9Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup?

10Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya.

11Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan buah perbenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya.

12Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah,

13serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh.

Amaran terhadap mereka yang menolak Tuhan

14Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan.

15Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar.

16Janganlah ada di antaramu pencabul atau menjadi durjana seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan.

17Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata.

18Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan,

19dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka.

20Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: “Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah.”

21Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, “Aku amat ketakutan dan menggeletar.”

22Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Yerusalem yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya,

23kepada perhimpunan besar dan kepada jemaah anak sulung yang didaftarkan di syurga, kepada Allah Hakim ke atas sekaliannya, kepada roh-roh orang benar yang telah disempurnakan,

24kepada Yesus, Pengantara perjanjian baru, dan kepada darah renjisan yang menuturkan perkara-perkara yang lebih baik daripada darah Habel.

Kerajaan yang tidak dapat diruntuhkan

25Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga.

26Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: “Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga.”

27“Sekali lagi” ini bermaksud bahawa segala yang digoncang, iaitu semua benda buatan akan dihapuskan manakala segala yang tidak dapat digoncang akan tetap wujud.

28Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat beribadat kepada Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia.

29Allah kita adalah api yang menghanguskan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ibrani 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel