Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 29 >> 

Yakub menikahi Lea dan Rahel

1Maka berangkatlah Yakub meneruskan perjalanannya ke negeri orang di sebelah timur.

2Dia meninjau keadaan sekeliling dan terlihat ada sebuah perigi di padang dengan tiga kawanan domba yang berbaring di sisi perigi itu. Dari perigi itulah orang memberikan minum kepada kawanan ternakan mereka. Ada sebuah batu besar yang menutupi mulut perigi itu.

3Apabila seluruh kawanan ternakan siap terkumpul di sana, barulah para gembala akan menggolekkan batu itu daripada mulut perigi lalu memberikan minum kepada kawanan domba mereka. Setelah selesai kerja itu, batu berkenaan dialihkan semula ke tempatnya di mulut perigi itu.

4Yakub bertanya kepada warga di situ, “Saudara-saudaraku, dari manakah kamu ini?” Jawab mereka, “Kami ini dari Haran.”

5Tanya Yakub pula kepada mereka, “Adakah kamu mengenali Laban, cucu Nahor?” Jawab mereka, “Kenal.”

6Tanyanya kepada mereka, “Apa khabar dia?” Jawab mereka, “Baik! Lihat, itu Rahel, anak perempuannya, datang dengan kawanan dombanya!”

7Kata Yakub, “Hari masih siang, belum waktunya ternak dikumpulkan. Jadi, berilah kawanan kambing dombamu minum lalu gembalakanlah lagi.”

8“Tidak boleh,” jawab mereka. “Sesudah seluruh kawanan ternak dikumpulkan dan batu digulingkan daripada mulut perigi, barulah kami boleh memberikan minum kepada kawanan domba kami.”

9Sewaktu Yakub sedang bercakap dengan mereka itu, Rahel tiba bersama-sama kawanan domba ayahnya yang digembalainya.

10Maka Yakub yang melihat ketibaan Rahel, anak perempuan Laban berserta kawanan domba Laban pun pergi menggolekkan batu daripada mulut perigi itu lalu diberinya minum kepada kawanan domba Laban, saudara ibunya itu.

11Lalu Yakub mencium Rahel dan menangis dengan suara nyaring.

12Yakub memberitahu Rahel bahawa dia anak Ribka, saudara kepada ayah Rahel. Maka berlarilah Rahel memberitahu hal itu kepada ayahnya.

13Lalu setelah Laban mendengar khabar tentang Yakub, anak saudaranya, berlarilah dia menyambutnya. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawanya masuk ke rumahnya. Kemudian Yakub menceritakan segala hal ehwalnya kepada Laban.

14Kata Laban kepadanya, “Sesungguhnya, kamu memang darah dagingku.” Maka tinggallah Yakub bersama-samanya selama sebulan penuh.

15Maka berkatalah Laban kepada Yakub, “Patutkah kamu bekerja denganku secara percuma hanya kerana kamu saudaraku? Katakanlah kepadaku apakah upah yang patut bagimu?”

16Laban mempunyai dua orang anak perempuan, yang lebih tua bernama Lea manakala yang muda bernama Rahel.

17Lea bermata kuyu, tetapi Rahel elok perawakannya dan cantik parasnya.

18Yakub jatuh cinta kepada Rahel lalu dia berkata, “Aku akan bekerja dengan pak cik selama tujuh tahun lama demi mendapatkan Rahel, anak pak cik yang lebih muda itu.”

19Jawab Laban, “Lebih baik kuberikan dia kepadamu daripada memberikannya kepada orang lain. Tinggallah bersama-samaku.”

20Maka bekerjalah Yakub selama tujuh tahun demi Rahel. Namun begitu, kepadanya tujuh tahun itu bagaikan beberapa hari sahaja kerana cintanya kepada Rahel.

21Kemudian berkatalah Yakub kepada Laban, “Berikanlah bakal isteriku kerana waktuku sudah tiba. Aku mahu menikahinya.”

22Maka Laban mengundang semua orang di tempat itu dan mengadakan kenduri.

23Akan tetapi, pada malam hari dia mengambil Lea, anaknya, dan membawanya kepada Yakub lalu Yakub menidurinya.

24Laban juga memberikan seorang hamba perempuannya bernama Zilpa kepada Lea, anaknya itu, untuk menjadi hambanya.

25Pada pagi harinya, ternyatalah kepada Yakub bahawa perempuan itu Lea! Lalu berkatalah Yakub kepada Laban, “Apakah yang pak cik lakukan terhadap aku ini? Bukankah aku bekerja dengan pak cik demi mendapatkan Rahel? Mengapakah pak cik menipuku?”

26Jawab Laban, “Di tempat kami ini tiada orang yang memberikan anak yang lebih muda mendahului anak sulungnya.

27Genapkan dahulu tujuh hari pernikahanmu dengan anakku ini, kemudian anakku yang muda itu akan kuberikan juga kepadamu dengan syarat kamu bekerja denganku selama tujuh tahun lagi.”

28Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan pula Rahel, anaknya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya.

29Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan, bernama Bilha untuk menjadi hambanya.

30Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun.

Keluarga Yakub anak Ishak

31TUHAN melihat betapa Lea tidak dicintai. Maka Dia membuka rahim Lea, tetapi Rahel mandul.

32Lea pun mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Ruben kerana katanya, “Sesungguhnya, TUHAN melihat akan kesusahanku dan pastinya kini aku akan dicintai oleh suamiku.”

33Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN mendengar bahawa aku tidak dicintai, maka dikurniakan-Nya pula anak ini kepadaku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Simeon

34Selanjutnya dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini suamiku akan bertambah erat lagi denganku kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Lewi.

35Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini aku hendak memuji TUHAN.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Yehuda. Setelah itu, dia tidak melahirkan anak lagi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran