Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 17 >> 

Air di Masa dan di Meriba

1Kemudian seluruh jemaah Israel berangkat dari Gurun Sin lalu tahap demi tahap mereka meneruskan perjalanan mereka sebagaimana yang difirmankan oleh TUHAN. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi di sana tidak ada air untuk diminum oleh umat itu.

2Lalu berbantahlah bangsa itu dengan Musa, kata mereka, “Berilah kami air supaya kami dapat minum.” Kata Musa kepada mereka, “Mengapakah kamu berbantah dengan aku? Mengapakah kamu mencubai TUHAN?”

3Tetapi umat itu kehausan di sana dan ingin minum. Maka mereka merungut-rungut kepada Musa dan berkata, “Mengapakah engkau memimpin kami keluar dari Mesir? Hanya untuk membunuh kami, anak-anak kami, dan ternakan kami dengan kehausan?”

4Maka berserulah Musa kepada TUHAN, katanya, “Apakah yang harus kulakukan terhadap umat ini? Mereka sudah hampir-hampir mahu merejam aku.”

5Firman TUHAN kepada Musa, “Berjalanlah di depan umat itu dan bawalah beberapa orang tua-tua Israel. Bawalah di tanganmu tongkatmu yang kamu gunakan untuk memukul Sungai Nil dahulu, dan pergilah.

6Aku akan hadir di hadapanmu di atas batu pejal di Horeb. Pukullah batu pejal itu, maka air akan keluar dari dalamnya sehingga bangsa itu dapat minum.” Lalu Musa melaksanakan hal itu di hadapan mata para tua-tua Israel.

7Dinamainya tempat itu Masa dan Meriba, kerana di sana orang Israel berbantah-bantah dan mencubai TUHAN dengan berkata, “Hadirkah TUHAN dalam kalangan kita atau tidak?”

Orang Israel menewaskan orang Amalek

8Kemudian datanglah orang Amalek dan berperang melawan orang Israel di Rafidim.

9Kata Musa kepada Yosua, “Pilihlah bagi kita beberapa orang, lalu keluarlah berperang melawan orang Amalek. Esok aku akan berdiri di atas puncak bukit itu dengan tongkat Allah di tanganku.”

10Yosua pun melaksanakan apa yang dikatakan Musa kepadanya dan memerangi orang Amalek. Sementara itu Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit.

11Lalu inilah yang terjadi: apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, namun apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang.

12Akan tetapi, lama-kelamaan tangan Musa menjadi letih. Oleh sebab itu, mereka mengambil sebuah batu dan meletakkannya berdekatan dengan Musa supaya dia dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur menopang tangan Musa, seorang di sisi yang satu dan seorang lagi di sisi yang satu lagi, sehingga tangannya tetap terangkat sampai terbenamnya matahari.

13Maka Yosua melumpuhkan Amalek dan pasukannya dengan mata pedang.

14TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai peringatan, dan sampaikan kepada Yosua bahawa Aku akan menghapuskan segala kenangan tentang orang Amalek dari bawah kolong langit.”

15Maka Musa membina sebuah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan menamainya “TUHAN itu panjiku”,

16kerana katanya, “Tangan terangkat ke arah takhta TUHAN, dan TUHAN berperang melawan Amalek turun-temurun.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel