Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 23 >> 

Peraturan tentang tanggungjawab awam

1“Jangan sebarkan khabar dusta. Jangan tolong orang fasiq dengan menjadi saksi yang tidak benar.

2Jangan mengikut orang ramai melakukan kejahatan. Jika kamu menjadi saksi dalam suatu perkara, jangan menyimpang dengan mengikut orang ramai yang memutarbalikkan apa yang benar.

3Jangan berpihak kepada orang miskin dalam tujuannya.

4Jika kamu menemui lembu musuhmu atau keldainya yang tersesat, kamu hendaklah mengembalikan binatang itu kepadanya.

5Jika kamu melihat keldai milik orang yang membencimu rebah kerana berat tanggungannya, jangan enggan menolongnya. Tolonglah orang itu dan juga keldainya.

6Jangan merampas hak orang miskin untuk mendapatkan keadilan.

7Jauhkanlah dirimu daripada perkara dusta dan jangan kamu hukum mati orang yang tidak bersalah dan orang benar kerana Aku tidak akan membenarkan orang yang fasiq.

8Jangan menerima rasuah kerana suap membutakan mata orang yang melihat dan memutarbalikkan kata-kata orang benar.

9Jangan kamu menganiaya seorang pendatang. Kamu sendiri tahu bagaimana rasanya menjadi pendatang kerana kamu pun dahulunya pendatang di Tanah Mesir.

Peraturan tentang Sabat dan perayaan

10Selama enam tahun kamu hendaklah mengusahakan tanahmu dan mengumpulkan hasilnya,

11tetapi pada tahun yang ketujuh kamu hendaklah membiarkannya dan meninggalkannya begitu sahaja supaya orang miskin antara bangsamu dapat makan, dan sisa ditinggalkan mereka dapat dimakan oleh binatang liar. Demikian jugalah harus kamu lakukan terhadap kebun anggurmu dan kebun zaitunmu.

12Selama enam hari hendaklah kamu lakukan pekerjaanmu, tetapi pada hari ketujuh hendaklah kamu berhenti. Dengan demikian, lembumu serta keldaimu dapat beristirahat dan anak hamba perempuanmu serta para pendatang dapat melepaskan lelah.

13Ikuti baik-baik segala hal yang Kufirmankan kepadamu. Jangan menyebut nama tuhan lain, dan jangan biarkan nama itu terdengar lantaran terkeluar daripada mulutmu.

14Tiga kali dalam setahun kamu harus mengadakan perayaan bagi-Ku.

15Tetaplah rayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah kamu lakukan hal itu pada waktu yang ditetapkan, iaitu dalam bulan Abib, kerana dalam bulan itulah kamu keluar dari Mesir. Jangan seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.

16Tetaplah rayakan Perayaan Penuaian, iaitu penuaian hasil pertama daripada apa yang telah kamu usahakan di ladang. Selain itu, tetaplah rayakan Perayaan Pengumpulan Hasil pada akhir tahun, sewaktu kamu mengumpulkan hasil pekerjaanmu dari ladang.

17Tiga kali setahun semua lelaki hendaklah menghadap ke hadirat Tuhan ALLAH.

18Jangan kamu persembahkan kepada-Ku darah daripada korban sembelihan bersama dengan roti yang beragi. Lemak korban hari raya-Ku pun tidak boleh kaubiarkan bermalam sampai pagi.

19Yang terbaik daripada hasil pertama tanahmu hendaklah kamu bawa ke dalam Bait TUHAN, Allahmu. Jangan kamu rebus anak kambing di dalam air susu ibunya.”

Penaklukan Tanah Kanaan dijanjikan

20“Sesungguhnya, Aku mengutus malaikat-Ku berjalan di hadapanmu untuk melindungimu di jalan dan untuk membawamu ke tempat yang telah Kusediakan.

21Dengarlah dan patuhilah kata-katanya kerana nama-Ku ada dalam dia. Maka jangan menderhaka kepadanya kerana dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu.

22Tetapi jika kamu betul-betul mentaati kata-katanya dan melakukan semua yang Kufirmankan, maka Aku akan memusuhi para musuhmu dan melawan para lawan-lawanmu.

23Malaikat-Ku akan berjalan di depanmu dan membawamu ke negeri bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Kanaan, bani Hewi, serta bani Yebus, dan Aku akan memusnahkan mereka sama sekali.

24Jangan sujud menyembah tuhan mereka atau beribadat kepadanya, dan jangan ikuti kelakuan mereka. Sebaliknya, kamu hendaklah meruntuhkan semua itu sama sekali juga menghancurkan semua tiang berhala mereka.

25Beribadatlah kepada TUHAN, Allahmu, maka Dia akan memberkati rotimu dan airmu. Aku akan menyingkirkan penyakit dari antara kamu.

26Tidak akan ada seorang perempuan pun yang keguguran atau yang mandul di negerimu. Aku akan menggenapkan jumlah umurmu.

27Kengerian terhadap diri-Ku akan Kukirim mendahuluimu dan Aku akan mengacau-bilaukan semua bangsa yang kamu datangi. Aku akan membuat semua musuhmu lari membelakangimu.

28Aku akan melepaskan serangga penyengat untuk mendahuluimu supaya bani Hewi, bani Kanaan, dan bani Het dihalau dari hadapanmu.

29Aku tidak akan mengusir mereka dari hadapanmu dalam satu tahun, supaya jangan negeri itu menjadi sunyi sepi dan binatang liar bertambah banyak melebihi kamu.

30Sedikit demi sedikit akan Kuusir mereka dari hadapanmu, sampai kamu beranak cucu dan memiliki negeri itu.

31Aku akan menentukan batas daerahmu, iaitu dari Laut Merah sampai Laut Filistin, dan dari gurun sampai ke Sungai Efrat. Aku akan menyerahkan penduduk negeri itu ke dalam tanganmu, dan kamu akan mengusir mereka dari hadapanmu.

32Jangan mengikat perjanjian dengan mereka atau dengan tuhan mereka.

33Jangan biarkan mereka tinggal di negerimu supaya jangan mereka membuat kamu berdosa terhadap Aku, kerana akan terjebak jika kamu beribadat kepada tuhan mereka.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel