Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 28 >> 

Pakaian imam

1Hendaklah kamu suruh abangmu Harun dan anak-anaknya, iaitu Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar, tampil daripada kalangan orang Israel untuk menunaikan tugas sebagai para imam bagi-Ku.

2Hendaklah kamu buat pakaian peribadatan yang suci untuk Harun, abangmu, sebagai lambang kemuliaan dan kehormatan.

3Hendaklah kamu berbicara kepada semua warga bijaksana yang telah Kukurniai kemahiran dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun agar dia ditahbiskan untuk menunaikan tugas sebagai imam.

4Inilah pakaian yang harus dibuat mereka: penutup dada, baju efod, jubah, jubah bersulam, serban, dan ikat pinggang. Hendaklah dibuat mereka pakaian suci itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam.

5Hendaklah digunakan mereka kain berwarna biru, ungu, merah menyala, kain benang emas dan kain linen halus.

6Hendaklah dibuat mereka baju efod daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, buatan seorang pereka bentuk yang mahir.

7Hendaklah pada baju efod itu dijahit dua tali penutup bahu yang bersambung di kedua-dua hujungnya sehingga baju efod itu tersambung.

8Hendaklah disulam juga ikat pinggang daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal yang bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu.

9Hendaklah kamu ambil dua biji batu permata oniks dan ukirkanlah nama anak-anak Israel,

10enam nama di atas batu permata yang satu dan enam lagi nama selebihnya pada batu permata yang kedua, menurut urutan kelahiran mereka.

11Ukirkanlah nama anak-anak Israel di atas kedua-dua batu permata itu sebagaimana tukang permata mengukir materai, lalu lilitlah batu permata itu dengan ikatan emas.

12Letakkanlah kedua-dua batu permata itu pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan bagi anak-anak Israel, dan Harun hendaklah membawa nama mereka ke hadirat TUHAN di atas kedua-dua tali penutup bahunya sebagai tanda peringatan.

13Ikatannya hendaklah dibuat daripada emas

14dan dua untai rantai daripada emas tulen, terjalin seperti tali. Setelah itu, pasangkan jalinan rantai itu pada ikatan batu permata tadi.

Penutup dada

15Hendaklah kamu secara mahir membuat penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Sama dengan baju efod, penutup dada itu hendaklah dibuat daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.

16Hendaklah bentuknya empat persegi, berlapis dua, sepanjang sejengkal, dan selebar sejengkal.

17Di penutup dada itu hendaklah dipasangkan empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud;

18di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan;

19dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung.

20Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis. Kesemuanya hendaklah diikatkan bertatah emas.

21Hendaklah batu permata itu sejumlah dua belas biji, sejajar dengan nama-nama anak Israel. Hendaklah masing-masing diukir seperti materai dengan nama setiap satu daripada dua belas suku itu.

22Untuk penutup dada itu hendaklah dibuat beberapa urat rantai berjalin kemili daripada emas tulen.

23Buatlah juga dua urat gelang emas dan pasanglah kedua-dua urat gelang itu pada kedua-dua hujung penutup dada.

24Kemudian pasanglah kedua-dua jalinan rantai emas itu di kedua-dua urat gelang di hujung penutup dada itu.

25Pasanglah hujung-hujung lain daripada kedua-dua jalinan itu pada dua ikatan batu permata yang terpasang di tali-tali penutup bahu baju efod di bahagian depannya.

26Hendaklah dibuat dua urat gegelang emas dan pasanglah pada kedua-dua hujung penutup dada itu di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod.

27Buatlah juga dua gegelang emas lagi dan pasanglah pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod di bahagian bawah sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran.

28Maka gegelang penutup dada hendaklah diikatkan pada gegelang baju efod dengan benang biru agar penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran itu agar ia tidak terungkai daripada baju efod itu.

29Maka Harun yang masuk ke dalam Tempat Suci itu akan membawa nama anak-anak Israel tepat di depan jantungnya, iaitu pada penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum, hingga menjadi peringatan yang tetap di hadapan TUHAN.

30Hendaklah kamu letakkan Urim dan Tumim di dalam penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Kedua-duanya hendaklah berada tepat di depan jantung Harun ketika dia masuk menghadap TUHAN. Dengan demikian, di hadapan TUHAN Harun akan sentiasa membawa keputusan-keputusan hukum bagi bani Israel.

Pakaian keimaman keseluruhan

31Hendaklah dibuat keseluruhan jubah baju efod daripada kain biru,

32dengan lubang untuk kepala betul-betul di tengah-tengahnya. Di sekeliling tepi lubang itu hendaklah diikat dengan sulaman sebagaimana dengan lubang pada baju zirah, supaya tidak koyak.

33Di birai kaki jubah itu hendaklah dibuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dengan kerincing emas yang berselang-seli di antaranya,

34iaitu satu kerincing emas lalu sebiji buah delima, kemudian satu kerincing emas lagi diikuti sebiji buah delima, demikianlah seterusnya di sekeliling birai kaki jubah itu.

35Jubah itu hendaklah dipakai oleh Harun ketika dia menyelenggarakan peribadatan, maka bunyinya hendaklah terdengar ketika dia masuk ke dalam Tempat Suci di hadapan TUHAN dan ketika dia keluar, supaya terbukti yang dia tidak mati.

36Hendaklah dibuat perhiasan kepala daripada emas tulen dan ukirkanlah tulisan ‘Dikuduskan bagi TUHAN padanya, seperti ukiran materai.

37Pasanglah perhiasan itu di sebelah depan serban dengan benang biru.

38Perhiasan itu hendaklah ada pada dahi Harun, dan Harun hendaklah menanggung akibat kesalahan terhadap barang-barang kudus yang disucikan oleh orang Israel sebagai persembahan suci mereka. Perhiasan itu hendaklah sentiasa ada pada dahinya, supaya mereka diterima di hadapan TUHAN.

39Hendaklah ditenun tunik daripada kain linen halus lalu buatlah serban daripada kain linen halus juga berserta ikat pinggang berhiaskan sulaman.

40Hendaklah dibuatkan juga beberapa tunik serta ikat pinggang untuk anak-anak Harun. Selain itu, buatlah ikat kepala untuk mereka sebagai tanda kemuliaan dan kehormatan.

41Semua itu hendaklah kamu pakaikan pada abangmu Harun dan anak-anaknya. Kemudian kamu hendaklah mengurapi mereka, melantik serta mentahbiskan mereka, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku.

42Hendaklah dibuatkan untuk mereka seluar daripada kain linen untuk menutupi aurat mereka. Seluar itu hendaklah dari pinggang sampai ke paha.

43Pada waktu Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam Khemah Pertemuan, atau pada waktu mereka menghampiri mazbah untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci, mereka hendaklah memakainya supaya jangan mereka mendatangkan kesalahan atas diri mereka sendiri lalu mati. Itulah ketetapan yang berkekalan baginya dan keturunannya untuk selama-lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel