Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 29 >> 

Pentahbisan Harun dan anak-anaknya

1Hendaklah kamu lakukan ini untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya agar mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam bagi-Ku. Ambillah seekor lembu jantan muda dan dua ekor domba jantan yang langsung tidak bercacat cela.

2Sediakanlah roti yang tidak beragi, kuih tidak beragi yang dicampurkan dengan minyak, dan roti nipis tidak beragi yang dilepa minyak. Hendaklah kamu buat kesemuanya daripada tepung gandum halus.

3Hendaklah kamu letakkan semuanya di dalam sebuah bakul lalu persembahkanlah bersama dengan lembu jantan dan kedua-dua ekor domba jantan itu.

4Hendaklah kamu bawa Harun dan anak-anaknya dekat dengan Khemah Pertemuan, lalu sucikanlah mereka dengan air.

5Kemudian ambillah pakaian keimaman dan pakaikanlah Harun tunik, jubah baju efod, baju efod, dan penutup dada. Ikatlah pinggangnya dengan ikat pinggang efod yang tertenun dengan kepakaran.

6Kenakanlah serban di kepalanya dan sematkanlah mahkota suci pada serban itu.

7Seterusnya hendaklah kamu ambil minyak tahbis, curahkanlah ke atas kepalanya, dan urapilah dia.

8Dan hendaklah kamu bawa anak-anaknya lalu pakaikanlah tunik pada mereka.

9Ikatkanlah ikat pinggang pada mereka, iaitu pada Harun dan anak-anaknya, dan lilitkanlah ikat kepala di kepala mereka. Maka jawatan imam itu akan menjadi milik mereka melalui ketetapan yang berkekalan untuk selama-lamanya. Dengan cara demikianlah kamu hendaklah melantik Harun dan anak-anaknya.

10Hendaklah dibawa lembu jantan tadi ke hadapan Khemah Pertemuan, lalu Harun dan anak-anaknya harus meletakkan tangan di atas kepala lembu jantan itu.

11Sembelihlah lembu jantan itu di hadapan TUHAN, di depan pintu Khemah Pertemuan.

12Kemudian hendaklah diambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan dengan jarimu, sapukan darah itu pada tanduk-tanduk mazbah, dan hendaklah semua baki darah itu dituangkan ke kekaki mazbah.

13Hendaklah kamu juga ambil kesemua lemak yang menutupi isi perut, umbai hati, dan kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya, lalu bakarlah kesemuanya di atas mazbah.

14Tetapi daging lembu jantan itu, kulit, dan najisnya hendaklah kamu bakar sampai habis di luar perkhemahan. Itulah korban penghapus dosa.

15Hendaklah kamu ambil pula seekor domba jantan lalu Harun dan anak-anaknya hendaklah meletakkan tangan di atas kepala domba jantan itu.

16Hendaklah kamu sembelih domba jantan itu, ambil dan percikkan darahnya ke sekeliling mazbah.

17Hendaklah kamu potong domba jantan itu menjadi beberapa potongan lalu basuhlah isi perutnya dan kakinya, dan letakkan bersama dengan kepala dan potongan-potongan lainnya.

18Hendaklah kamu bakar seluruh domba jantan itu di atas mazbah. Itulah korban bakaran yang dipersembahkan kepada TUHAN yakni korban yang dibakar, yang harum di hadapan TUHAN.

19Hendaklah diambil domba jantan yang seekor lagi dan hendaklah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

20Sembelihlah domba jantan itu, ambillah sedikit darahnya lalu sapukanlah pada cuping telinga kanan Harun serta anak-anaknya, juga pada ibu jari tangan kanan dan ibu jari kaki kanan mereka. Percikkanlah darah yang selebihnya ke sekeliling mazbah.

21Hendaklah diambil sedikit darah yang ada di atas mazbah dan sedikit daripada minyak tahbis tadi, lalu percikkanlah pada Harun dan pakaiannya, juga pada anak-anaknya dan pakaian anak-anaknya. Maka disucikanlah pakaian Harun dan begitu juga pakaian anak-anaknya.

22Hendaklah diambil daripada domba jantan itu lemaknya, ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perutnya, umbai hatinya, kedua-dua buah pinggangnya dengan lemak yang melekat padanya, dan paha kanannya, kerana domba itu ialah domba jantan korban pentakdisan.

23Hendaklah diambil daripada bakul berisi roti tidak beragi di hadapan TUHAN itu, sepotong roti, sepotong kuih daripada roti yang dicampurkan minyak, dan sepotong roti nipis.

24Letakkanlah semua itu di atas telapak tangan Harun dan telapak tangan anak-anaknya, lalu unjukkanlah sebagai persembahan unjukan di hadapan TUHAN.

25Kemudian ambillah kesemuanya daripada tangan mereka dan bakarlah di atas mazbah, betul-betul di atas korban bakaran, sebagai korban yang dibakar, yang harum di hadapan TUHAN.

26Hendaklah pula diambil daging dada daripada domba jantan korban pentahbisan Harun dan unjukkanlah di hadapan TUHAN sebagai persembahan unjukan. Itulah bahagian untukmu.

27Hendaklah engkau menyucikan dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus yang dipersembahkan daripada domba jantan yang diperuntukkan bagi pentahbisan Harun dan anak-anaknya.

28Semua itu menjadi peruntukan tetap untuk seterusnya bagi Harun dan anak-anaknya daripada orang Israel, kerana itu ialah persembahan khusus dan hendaklah menjadi persembahan khusus daripada orang Israel yang diambil daripada korban kedamaian mereka. Itulah persembahan unjukan bagi TUHAN.

29Pakaian keimaman kudus Harun itu hendaklah diturunkan kepada anak-anaknya kelak. Mereka harus memakainya ketika mereka diurapi dan ditahbiskan.

30Anaknya yang menggantikannya sebagai imam hendaklah memakainya selama tujuh hari ketika dia masuk ke dalam Khemah Pertemuan untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci.

31Hendaklah diambillah domba jantan korban pentakdisan itu lalu rebuslah dagingnya di sebuah tempat yang suci.

32Hendaklah Harun dan anak-anaknya memakan daging domba jantan itu serta roti yang ada di dalam bakul itu di depan pintu Khemah Pertemuan.

33Hendaklah mereka makan apa yang telah digunakan dalam upacara pendamaian bagi pentahbisan dan penyucian mereka. Orang awam tidak boleh memakannya, kerana kesemuanya itu suci.

34Jika pada pagi hari ada lagi sisa daripada daging korban pentakdisan atau daripada roti itu, bakarlah habis sisa itu dan jangan memakannya, kerana kesemuanya itu suci.

35Maka hendaklah dilakukan demikian itu terhadap Harun dan anak-anaknya, iaitu menurut segala yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah selama tujuh hari kamu mentahbiskan mereka.

36Hendaklah setiap hari disediakan seekor lembu jantan sebagai korban penghapus dosa di samping pelbagai persembahan pendamaian lainnya. Hendaklah disucikan mazbah apabila pendamaian dilakukan. Urapilah juga mazbah itu dengan minyak demi menyucikannya.

37Hendaklah diadakan pendamaian serta penyucian untuk mazbah itu selama tujuh hari dan mazbah itu akan menjadi teramat suci. Apa-apa pun yang menyentuh mazbah itu akan menjadi suci pula.

Korban pada pagi dan petang

38Maka hendaklah kamu persembahkan ini di atas mazbah itu: dua ekor anak domba berumur setahun.

39Sediakanlah seekor anak domba pada pagi hari dan seekor lagi anak domba pada petang harinya.

40Bersama-sama seekor anak domba itu hendaklah disediakan sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hin minyak tumbuk dan seperempat hin air anggur sebagai persembahan minuman.

41Bersama dengan seekor lagi anak domba yang disediakan pada waktu senja, hendaklah disediakan persembahan bahan makanan dan persembahan minuman seperti pada pagi hari sebagai korban bakaran, yang harum di hadapan TUHAN.

42Hendaklah persembahan sedemikian menjadi korban bakaran yang tetap dipersembahkan secara turun-temurun di depan pintu Khemah Pertemuan, di hadapan TUHAN. Di situlah Aku akan bertemu dengan kamu lalu berfirman kepadamu.

43Di sana jugalah Aku akan menemui orang Israel, dan khemah itu akan disucikan oleh kemuliaan-Ku.

44Aku akan menyucikan Khemah Pertemuan dan mazbah itu. Harun dan anak-anaknya pun akan Kusucikan supaya mereka dapat menunaikan tugas keimaman untuk-Ku.

45Aku akan bersemayam di tengah-tengah orang Israel, dan Aku akan menjadi Allah mereka.

46Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka, yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, supaya Aku bersemayam di tengah-tengah mereka. Akulah TUHAN, Allah mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel