Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 33 >> 

Diperintahkan untuk meninggalkan daerah Sinai

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Berangkatlah dan pergilah dari tempat ini, kamu serta umat yang telah kamu pimpin keluar dari Tanah Mesir itu. Tujuilah negeri yang telah Kujanjikan dengan bersumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub dengan berfirman, ‘Kepada keturunanmu akan Aku kurniakannya

2dan akan Kuutus malaikat-Ku berjalan mendahuluimu dan akan Kuusir bani Kanaan, bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus.

3Pergilah ke negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu itu. Atas sebab kamu umat yang keras kepala, Aku sendiri tidak akan hadir menyertai kamu agar Aku tidak membinasakan kamu ketika kamu dalam perjalanan.”

4Apabila terdengar kata-kata ancaman yang mengerikan itu, berkabunglah umat itu; tiada sesiapa pun antara mereka memakai barang perhiasan.

5Firman TUHAN kepada Musa, “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Kamu ini umat yang keras kepala. Jika Aku hadir menyertai kalangan kamu walaupun sekadar sedetik sahaja, tentu Aku akan membinasakan kamu. Sekarang, tanggalkanlah perhiasanmu, dan Aku akan mempertimbangkan apa yang akan Kulakukan terhadapmu.”

6Maka bermula dari Gunung Horeb, orang Israel tidak lagi memakai barang perhiasan mereka.

Khemah Pertemuan

7Sudah kebiasaan untuk Musa mengambil sebuah khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan, agak jauh dari perkhemahan. Dia menamai khemah itu Khemah Pertemuan. Maka sesiapa pun yang mahu mendapatkan petunjuk TUHAN akan pergi ke Khemah Pertemuan, yang terletak di luar perkhemahan itu.

8Apabila Musa pergi ke khemah itu, bangkitlah seluruh warga lantas masing-masing berdiri di pintu khemahnya. Pandangan mereka mengikuti Musa sampai dia masuk ke dalam khemah itu.

9Setelah Musa masuk ke dalam khemah itu, turunlah tiang awan lalu berdiri tegak di pintu khemah itu. Kemudian TUHAN pun berfirman kepada Musa.

10Apabila seluruh umat itu melihat tiang awan berdiri di pintu khemah, mereka pun segera sujud menyembah, masing-masing di pintu khemahnya.

11Berfirmanlah TUHAN kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya. Setelah itu, kembalilah Musa ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi penolongnya, tidak meninggalkan khemah itu.

12Musa berkata kepada TUHAN, “Memang Engkau ada berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah bangsa ini,’ tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, ‘Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu.

13Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu.”

14Firman-Nya, “Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu.”

15Kata Musa kepada-Nya, “Jika hadirat-Mu tidak memimpin aku, janganlah kami dibawa pergi dari sini.

16Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?”

17Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini, kerana Aku berkenan kepadamu dan Aku mengenal namamu.”

18Kata Musa, “Tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu.”

19Firman-Nya, “Segala kegemilangan-Ku akan Kulalukan di hadapanmu dan Aku akan menyeru nama TUHAN di hadapanmu. Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.”

20Firman-Nya lagi, “Kamu tidak dapat memandang wajah-Ku, kerana tiada manusia yang dapat memandang Aku dan terus hidup.”

21Firman TUHAN, “Ada sebuah tempat dekat-Ku, dan kamu akan berdiri di atas keutuhan batu pejal itu.

22Kelak apabila kemuliaan-Ku berlalu, Aku akan meletakkan kamu di celah batu gunung itu dan Aku akan melindungi kamu dengan tangan-Ku sehingga Aku selesai melintas lalu.

23Kemudian Aku akan menarik semula tangan-Ku dan kamu akan melihat belakang-Ku, tetapi muka-Ku tidak akan terlihat.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 33 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel