Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 34 >> 

Dua keping loh batu baru

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping loh batu seperti yang dahulu. Akan Kutulis pada loh-loh batu itu firman yang ada pada loh-loh dahulu, yang telah kaupecahkan itu.

2Bersiaplah menjelang pagi hari dan pada pagi-pagi lagi dakilah Gunung Sinai. Berdirilah menghadap Aku di sana, di puncak gunung itu.

3Tiada seorang pun yang boleh naik bersama denganmu dan jangan ada seorang pun yang boleh kelihatan di seluruh gunung itu, bahkan kawanan ternakan pun tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.”

4Maka Musa memahat dua keping loh batu seperti loh batu yang dahulu itu. Pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping loh batu itu di tangannya seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

5Turunlah TUHAN dalam awan lalu hadir dan berdiri bersama-sama Musa di sana seraya menyeru nama TUHAN.

6Kemudian TUHAN melintas di hadapan Musa lalu berseru, “TUHAN, ya TUHAN, Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia;

7Allah mengukuhkan kasih abadi bagi beribu-ribu orang, mengampunkan kesalahan, pelanggaran, dan dosa, tetapi sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, serta membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya dan cucu-cucunya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.”

8Dengan segera Musa bersujud dan menyembah.

9Dia berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, maka hadirlah kiranya TUHAN menyertai kami biarpun memang bangsa ini bangsa yang keras kepala. Namun begitu, ampunkanlah kesalahan dan dosa kami, serta terimalah kami untuk menjadi milik-Mu.”

10Firman-Nya, “Ketahuilah bahawa Aku membuat satu perjanjian. Di hadapan seluruh bangsamu ini akan Kulakukan keajaiban yang belum pernah terjadi dalam kalangan bangsa mana-mana pun di seluruh bumi ini. Seluruh umat, yang kamu tinggal bersama-sama dalam kalangan mereka, akan menyaksikan pekerjaan TUHAN yang teramat hebatnya, yang akan Kulakukan denganmu.

11Maka patuhilah betul-betul apa yang Kuperintahkan kepadamu pada hari ini. Sesungguhnya, Aku akan mengusir orang Amori, orang Kanaan, orang Het, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus dari hadapanmu.

12Berhati-hatilah agar kamu tidak mengikat apa-apa perjanjian dengan penduduk negeri yang kaudatangi itu, agar mereka tidaklah menjadi jerat dalam kalangan kamu.

13Sebaliknya, robohkanlah mazbah-mazbah mereka, hancurkanlah tiang-tiang berhala mereka, dan tebanglah patung berhala Asyera mereka.

14Kamu tidak boleh sujud menyembah tuhan lain, kerana TUHAN yang nama-Nya Cemburu, ialah Allah yang cemburu.

15Jangan ikat perjanjian dengan penduduk negeri itu kerana pada waktu mereka berzina dengan mengikuti tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu dan kamu akan ikut makan korban sembelihan mereka.

16Apabila kamu mengambil anak-anak perempuan mereka menjadi isteri anak-anakmu, dan anak-anak perempuan itu berzina dengan mengikuti tuhan mereka, maka mereka akan membuat anak-anak lelakimu berzina dengan mengikuti tuhan mereka.

17Jangan buat bagi dirimu tuhan-tuhan buatan logam.

18Tetaplah merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Seperti yang Aku perintah kepadamu, tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi pada waktu yang ditetapkan dalam bulan Abib, kerana dalam bulan Abib itulah kamu keluar dari Mesir.

19Semua yang lahir pertama daripada rahim ialah milik-Ku, dan begitu jugalah semua ternakanmu yang jantan, yang lahir pertama daripada lembu atau domba.

20Anak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, kamu hendaklah mematahkan lehernya. Semua anak lelakimu yang sulung harus kamu tebus. Jangan ada seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.

21Hendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah kamu berhenti pada hari ketujuh, sekalipun pada musim membajak dan pada musim menuai.

22Rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu, begitu juga Perayaan Pengumpulan Hasil pada penghujung musim bertani.

23Tiga kali setahun, hendaklah semua warga lelaki dalam kalangan kamu datang menghadap ke hadirat Tuhanmu, TUHAN Allah Israel.

24Aku akan mengusir bangsa-bangsa dari hadapanmu dan meluaskan daerahmu. Tiada seorang pun akan mengingini negerimu ketika kamu pergi menghadap ke hadirat TUHAN, Allahmu, tiga kali setahun.

25Jangan kamu persembahkan darah daripada korban sembelihan yang diperuntukkan bagi Hari Raya-Ku dengan sesuatu yang beragi. Juga sembelihan Hari Raya Paskah tidak boleh tersisa sampai pagi.

26Bawalah yang terbaik daripada hasil pertama tanahmu ke dalam Bait TUHAN, Allahmu. Janganlah kamu merebus anak kambing atau anak domba dalam air susu induknya.”

27Firman TUHAN kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman inilah Aku telah membuat perjanjian dengan kamu dan dengan Israel.”

28Selama empat puluh hari empat puluh malam Musa berada di sana bersama-sama TUHAN, dan selama itulah dia tidak makan roti dan tidak minum air dan dia menulis firman perjanjian iaitu Sepuluh Perintah, di atas loh-loh batu itu.

29Sewaktu Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa kedua-dua loh hukum di tangannya, Musa tidak sedar yang kulit mukanya bercahaya-cahaya kerana dia telah berbicara dengan TUHAN.

30Apabila Harun dan orang Israel melihat Musa dengan kulit mukanya yang bercahaya-cahaya itu, mereka takut mendekatinya.

31Tetapi Musa memanggil mereka, lalu Harun dan semua pemimpin jemaah Israel itu kembali kepadanya, dan berbicaralah Musa kepada mereka.

32Sesudah itu seluruh orang Israel mendekatinya, lalu Musa mengamanatkan kepada mereka semua yang difirmankan TUHAN kepadanya di atas Gunung Sinai.

33Setelah Musa selesai berbicara dengan mereka, diselubungkanlah mukanya.

34Tetapi ketika Musa masuk menghadap TUHAN untuk berbicara dengan-Nya, dia menanggalkan selubung itu sehingga dia keluar semula. Setelah keluar, dia menyampaikan kepada orang Israel apa yang diperintahkan kepadanya,

35dan orang Israel melihat kulit muka Musa yang bercahaya-cahaya itu. Kemudian Musa pun menyelubungkan mukanya semula sampai dia masuk lagi untuk berbicara dengan TUHAN.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 34 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel