Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 35 >> 

Peraturan hari Sabat

1Musa mengumpulkan seluruh jemaah Israel dan berkata kepada mereka, “Inilah hal-hal yang diperintahkan TUHAN dan hendaklah kamu lakukannya.

2Hendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah ada untuk kamu hari yang suci pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, hari istirahat penuh takzim yang dikhususkan untuk TUHAN. Sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu hendaklah dihukum mati.

3Janganlah kamu nyalakan api di seluruh tempat tinggalmu pada hari Sabat.”

Persembahan khusus untuk Khemah Suci

4Musa berkata kepada seluruh jemaah Israel, “Inilah hal yang diperintahkan oleh TUHAN,

5‘Bawalah persembahan khusus daripada harta bendamu kepada TUHAN. Setiap orang yang ikhlas hatinya hendaklah membawa persembahan khusus kepada TUHAN berupa emas, perak, dan gangsa,

6serta kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, bulu kambing,

7kulit domba jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia,

8minyak untuk pencahayaan, rempah-ratus untuk minyak tahbis dan untuk dupa harum,

9serta batu permata oniks dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada.

10Setiap orang antara kamu yang memiliki kepakaran hendaklah tampil untuk membuat semua yang diperintahkan oleh TUHAN:

11Khemah Suci dengan khemah dan penudungnya, cangkuk-cangkuk pengancingnya, papan-papannya, kayu-kayu palangnya, tiang-tiangnya, serta lesung-lesung pasaknya;

12tabut dengan kayu pengusungnya, penutup pendamaian, dan tabir penudung;

13meja dengan kayu pengusungnya, segala kelengkapannya, dan roti persembahan;

14kaki pelita untuk tatacahaya dengan kelengkapannya, pelitanya, dan minyak untuk pencahayaan;

15mazbah pendupaan dengan kayu pengusungnya, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai pintu untuk pintu Khemah Suci;

16mazbah korban bakaran dengan kekisi gangsanya, kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan alasnya;

17kain yang memagari laman dalam, tiang-tiangnya, alas-alasnya, dan tirai pintu gerbang laman dalam;

18pasak-pasak Khemah Suci dan pasak laman dalam dengan talinya;

19pakaian yang halus tenunannya untuk menyelenggarakan peribadatan di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam.”

20Kemudian pergilah seluruh jemaah Israel dari hadapan Musa.

21Sesudah itu datanglah semua orang yang tergerak hati mereka dan semua orang yang ikhlas jiwa mewakafkan persembahan khusus kepada TUHAN untuk pengerjaan Khemah Pertemuan, untuk seluruh peribadatannya, dan untuk pakaian suci.

22Setiap orang yang ikhlas hatinya, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa anting-anting hidung, anting-anting telinga, cincin mohor, dan gelang tangan iaitu segala jenis barang emas permata. Mereka semua mewakafkan persembahan unjukan daripada emas kepada TUHAN.

23Selain itu, setiap orang yang mempunyai kain biru, kain ungu, kain merah menyala, kain linen halus, bulu kambing, kulit domba jantan yang dicelup merah, dan kulit anjing laut, datang membawanya.

24Setiap orang yang dapat mempersembahkan persembahan khusus daripada perak atau gangsa, mewakafkannya sebagai persembahan khusus kepada TUHAN, dan setiap orang yang mempunyai kayu akasia untuk segala pekerjaan peribadatan datang pula membawanya.

25Setiap perempuan yang ahli dalam hal memintal dengan tangannya sendiri datang membawa barang yang dipintalnya, iaitu kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus.

26Kemudian setiap perempuan yang tergerak hatinya kerana memiliki keahlian itu pun memintal bulu kambing.

27Para pemimpin membawa batu permata unam dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada,

28rempah-ratus dan minyak untuk pencahayaan, untuk minyak tahbis, dan untuk dupa harum.

29Semua lelaki dan perempuan yang ikhlas hati membawa sesuatu bagi segala pekerjaan yang harus dilakukan, selaras dengan apa yang diperintahkan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa. Orang Israel datang mewakafkan semuanya sebagai persembahan sukarela kepada TUHAN.

Pembinaan Khemah Suci

30Musa berkata kepada orang Israel, “Lihat, TUHAN telah memanggil Bezaleel anak Uri anak Hur, daripada suku Yehuda.

31Dia sudah memenuhi Bezaleel dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala kepandaian

32supaya dia merancang pengerjaan emas, perak, dan gangsa,

33pengukiran batu permata untuk ditatah, serta pengukiran kayu, dan supaya semua rancangan itu dapat dikerjakannya.

34Allah telah mengurniakan dalam hatinya kemahiran untuk mengajar orang lain, dan begitu jugalah dalam hati Aholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan.

35Mereka itu telah dipenuhi-Nya dengan kemahiran untuk mengerjakan segala pekerjaan tukang, pekerjaan pakar, pekerjaan menyulam kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, serta pekerjaan tukang tenun. Jadi, mereka semua pelaksana segala jenis pekerjaan serta pereka bentuk yang mahir.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 35 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel