Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 36 >> 

1Bezaleel, Aholiab, juga setiap warga berkemahiran yang dianugerahi kebijaksanaan dan pengertian oleh TUHAN agar mereka tahu bagaimana mengerjakan segala jenis pekerjaan untuk peribadatan di tempat suci, hendaklah bekerja sebagaimana yang TUHAN perintahkan.”

2Kemudian Musa memanggil Bezaleel, Aholiab, serta setiap warga yang berkemahiran dianugerahi TUHAN kebijaksanaan, iaitu setiap orang yang tergerak hatinya untuk datang memikul pekerjaan itu.

3Daripada tangan Musa, mereka menerima kesemua persembahan khusus yang dibawa oleh orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan pembinaan tempat suci. Sementara itu, tiap-tiap pagi orang masih terus membawa persembahan sukarela kepada Musa.

4Maka tampillah semua warga yang berkemahiran iaitu para tukang, masing-masing meninggalkan pekerjaan yang sedang dikerjakannya, untuk melaksanakan segala pekerjaan pembinaan tempat suci itu.

5Berkatalah mereka kepada Musa, “Lebih daripada cukup bahan yang dibawa oleh umat demi pelaksanaan pekerjaan yang diperintahkan oleh TUHAN itu.”

6Lalu Musa memerintahkan supaya diuar-uarkan di perkhemahan bahawa: “Jangan lagi ada lelaki atau perempuan yang membuat sesuatu untuk dijadikan persembahan khusus bagi tempat suci.” Maka umat itu dicegah daripada membawa persembahan lagi,

7kerana bahan yang diperlukan mereka untuk melakukan segala pekerjaan itu sudah cukup, bahkan berlebihan.

Khemah Suci

8Lalu semua tukang dalam kalangan pelaksana pekerjaan Khemah Suci itu membuat sepuluh helai tabir dewangga daripada linen halus yang dipintal serta daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dilengkapi dengan sulaman arca kerubin hasil kerja pereka bentuk yang mahir.

9Setiap helai tabir itu sepanjang dua puluh lapan hasta dan selebar empat hasta, kesemuanya sama ukurannya.

10Lima helai tabir itu dicantumkan antara satu sama lain, dan demikian jugalah lima helai lagi tabir itu.

11Mereka membuat gegelung pengancing daripada kain biru di tepi tabir terhujung cantuman yang pertama, demikian pula di tepi tabir terhujung cantuman kedua,

12lima puluh gegelung pengancing pada tabir yang pertama dan lima puluh gegelung pengancing di tepi tabir kedua. Gegelung-gegelung pengancing itu saling berhadapan.

13Setelah itu, mereka membuat lima puluh cangkuk pengancing emas dan menyambungkan tabir-tabir Khemah Suci itu antara satu sama lain dengan cangkuk-cangkuk pengancing tersebut sehingga terbentuklah satu Khemah Suci.

14Selanjutnya mereka juga membuat sebelas helai tabir daripada bulu kambing untuk dijadikan atap khemah yang menutupi Khemah Suci.

15Kesebelas-sebelas tabir itu sama ukurannya iaitu sepanjang tiga puluh hasta dan selebar empat hasta.

16Lalu mereka jahit untuk mencantumkannya lima tabir menjadi satu tabir cantuman tersendiri dan enam helai tabir lagi dijahit dan dicantumkan juga menjadi tabir cantuman tersendiri.

17Mereka membuat lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman pertama, dan lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman yang kedua.

18Lalu mereka membuat pula lima puluh cangkuk pengancing gangsa untuk mengancing tabir-tabir itu agar menjadi satu kesatuan berupa sebuah khemah.

19Selain itu, mereka juga membuat penudung daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan daripada kulit anjing laut, untuk melapisi bahagian atas khemah itu.

20Kemudian mereka membuat rangka papan-papan tegak daripada kayu akasia untuk Khemah Suci.

21Panjang setiap keping papan sepuluh hasta dan satu setengah hasta lebarnya.

22Pada setiap papan ada dua pasak yang membolehkan papan-papan itu saling dihubungkan antara satu sama lain. Mereka melakukan itu terhadap semua papan Khemah Suci.

23Mereka membuat dua puluh papan bagi sisi sebelah selatan Khemah Suci,

24dan mereka juga membuat empat puluh lesung pasak daripada perak untuk dipasangkan di bawah kesemua dua puluh papan itu, dua lesung pasak di bawah setiap papan, masing-masing untuk dipasangkan dengan kedua-dua pasak setiap papan itu.

25Bagi sisi kedua Khemah Suci, iaitu di sebelah utara, mereka membuat dua puluh rangka papan

26lengkap dengan kesemua empat puluh rongga peraknya, dua lesung pasak di bawah setiap papan.

27Untuk bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat, mereka membuat enam rangka papan.

28Selain itu, mereka juga membuat dua rangka papan bagi bahagian sudut belakang Khemah Suci itu.

29Kedua-dua rangka papan bahagian sudut itu dua kali ganda tebalnya dari situ sampai bawah dan muat betul-betul ke dalam gegelang pertama. Demikianlah yang dilakukan mereka bagi kedua-dua papan di kedua-dua sudut itu.

30Jadi, ada lapan rangka papan lengkap dengan enam belas lesung pasaknya daripada perak, iaitu dua lesung pasak di bawah setiap papan.

31Mereka juga membuat palang-palang daripada kayu akasia: lima batang untuk rangka papan pada satu sisi Khemah Suci,

32dan lima batang untuk rangka papan pada sisi kedua, dan lima batang lagi untuk rangka papan pada bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat.

33Mereka membuat kayu palang di bahagian tengah melintang dari hujung ke hujung, setinggi setengah rangka papan itu.

34Lalu mereka menyalut papan-papan itu dengan emas dan membuat gegelang-gegelang daripada emas sebagai tempat memasukkan kayu palang itu. Kayu-kayu palang itu mereka saluti juga dengan emas.

35Setelah itu, mereka membuat tabir daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, lengkap dengan sulaman arca kerubin hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir.

36Untuk tabir itu mereka membuat empat batang tiang daripada kayu akasia dan menyalutnya dengan emas. Mereka juga membuat cangkuk-cangkuk daripada emas untuk tiang itu, serta membuat lesung pasak leburan daripada perak.

37Kemudian mereka membuat tirai untuk pintu khemah itu daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, siap dengan sulamannya.

38Untuk tirai itu dibuat lima batang tiang lengkap dengan cangkuk-cangkuknya. Mereka menyalut kepalanya dan pengancingnya dengan emas, manakala kelima-lima lesung pasaknya dibuat daripada gangsa.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 36 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel