Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 7 >> 

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Lihatlah, Aku telah menjadikan engkau bagaikan Allah kepada Firaun, dan Harun abangmu seolah-olah nabi untukmu.

2Engkau hendaklah mengatakan semua yang Kuperintahkan kepadamu, dan Harun abangmu hendaklah mengatakan kepada Firaun bahawa dia hendaklah mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.

3Akan tetapi, Aku akan mengeraskan hati Firaun dan melipatgandakan tanda serta mukjizat-Ku di Tanah Mesir.

4Firaun tidak akan mempedulikan kata-kata kamu, maka Aku akan menunjukkan kuasa-Ku atas Mesir dan membawa keluar rombongan umat-Ku, iaitu orang Israel, dari Tanah Mesir dengan mengenakan pelbagai hukuman yang berat.

5Warga Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN, apabila Aku menghulurkan tangan-Ku terhadap Mesir serta membawa orang Israel keluar daripada tengah-tengah mereka.”

6Maka Musa dan Harun melaksanakan sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepada mereka.

7Umur Musa lapan puluh tahun manakala Harun lapan puluh tiga tahun sewaktu mereka berbicara kepada Firaun.

8TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun demikian,

9“Apabila Firaun berkata kepada kamu begini, ‘Tunjukkanlah suatu mukjizat,’ maka haruslah kamu katakan kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan campakkanlah di hadapan Firaun, kemudian tongkat itu akan menjadi ular.”

10Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu mereka melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya, lalu tongkat itu menjadi ular.

11Kemudian Firaun memanggil orang berilmu serta para ahli sihir. Mereka, iaitu para ahli ilmu sihir Mesir itu, menggunakan ilmu mereka lalu turut membuat perkara yang sama.

12Masing-masing mencampakkan tongkatnya, lalu tongkat-tongkat itu menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka.

13Meskipun begitu, hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN.

Azab pertama: air menjadi darah

14Firman TUHAN kepada Musa, “Memang degil hati Firaun. Dia tidak membenarkan orang Israel pergi.

15Temuilah Firaun pada pagi hari ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Nantikanlah dia di tepi Sungai Nil dan bawalah di tanganmu tongkat yang pernah berubah menjadi ular itu.

16Katakanlah kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah mengutus aku kepadamu dengan firman, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku di gurun.” Tetapi sampai sekarang engkau tidak mahu mendengar.

17Oleh sebab itu, beginilah firman TUHAN, “Dengan hal yang berikut ini engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Lihat, dengan tongkat di tanganku ini akan kupukul air Sungai Nil, dan air itu akan berubah menjadi darah.

18Ikan-ikan dalam Sungai Nil akan mati sehingga Sungai Nil berbau busuk, dan warga Mesir akan jijik meminum air daripada Sungai Nil.”

19Firman TUHAN lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan hulurkanlah tanganmu ke atas perairan di Mesir, iaitu ke atas sungai-sungainya, segala terusannya, segala kolamnya, dan ke atas setiap penampungan airnya, maka semua itu akan berubah menjadi darah. Dengan demikian, akan ada darah di seluruh Tanah Mesir, baik di dalam tahang kayu mahupun di dalam tempayan batu.”

20Lalu Musa dan Harun melaksanakan seperti yang diperintahkan oleh TUHAN. Di hadapan Firaun serta para pegawainya, Harun mengangkat tongkatnya dan memukulkannya pada air di Sungai Nil. Maka seluruh air di Sungai Nil berubah menjadi darah.

21Ikan-ikan di Sungai Nil mati sehingga Sungai Nil berbau busuk, dan warga Mesir tidak dapat meminum air daripada Sungai Nil itu. Ada darah di seluruh Tanah Mesir.

22Tetapi para ahli ilmu sihir Mesir membuat hal yang sama dengan ilmu mereka, maka hati Firaun tetap keras. Dia tidak mahu mendengar apa yang dikatakan oleh kedua-dua mereka sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN.

23Firaun berpaling lalu masuk ke istananya tanpa mahu memperhatikan hal itu.

24Semua warga Mesir menggali-gali kawasan di sekitar Sungai Nil demi mencari air yang dapat diminum, kerana mereka tidak dapat meminum air Sungai Nil.

25Maka berlalulah tujuh hari sesudah pukulan TUHAN terhadap Sungai Nil itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel