Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 22 >> 

Komplot menentang Yesus

1Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang.

2Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.

3Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas murid Yesus.

4Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka.

5Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.

6Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.

Yesus bersedia untuk makan jamuan Paskah

7Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah.

8Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.”

9Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?”

10Yesus menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya

11lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’

12Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.”

13Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.

Perjamuan Tuhan

14Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu.

15Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita.

16Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.”

17Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.

18Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.”

19Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.”

20Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu.

21Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.

22Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!”

23Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian.

Perselisihan tentang kebesaran

24Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.

25Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.

26Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain.

27Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.

28Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.

29Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.

30Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.”

Yesus memperkatakan penyangkalan Petrus

31“Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum.

32Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.”

33Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.”

34Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.”

Dompet, beg dan pedang

35Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.”

36Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.

37Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.”

38Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!”

Yesus berdoa

39Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia.

40Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.”

41Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.

42“Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.”

43Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.

44Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.

45Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih.

46Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.”

Yesus ditangkap

47Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya.

48Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?”

49Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?”

50Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya.

51Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.

52Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?

53Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.”

Petrus menyangkal Yesus

54Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh.

55Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.

56Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.”

57Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!”

58Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!”

59Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.”

60Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.

61Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.”

62Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.

Yesus diejek dan dipukul

63Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia.

64Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!”

65Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.

Yesus di hadapan Majlis Agama

66Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,

67“Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.

68Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.

69Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.”

70Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.”

71Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran