Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 21 >> 

Ketibaan Yesus di Yerusalem

1Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Betfage, di Bukit Zaitun, Yesus mengutus dua orang murid,

2kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Kamu akan terus melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku.

3Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dia akan terus memulangkannya.”

4Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh nabi:

5“Katakanlah kepada puteri Sion, ‘Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati, menunggang seekor keldai, seekor keldai muda.’ ”

6Kedua-dua orang murid Yesus itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya.

7Mereka membawa keldai itu bersama anak keldainya lalu mengalas keldai itu dengan jubah mereka. Yesus pun duduk di atasnya.

8Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan.

9Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Yesus berseru-seru, “Hosana bagi Anak Daud!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” “Hosana di tempat yang maha tinggi!”

10Apabila Dia masuk ke Yerusalem, seisi kota itu kagum lalu bertanya, “Siapakah ini?”

11Orang ramai itu berkata, “Inilah Yesus, nabi dari Nazaret di Galilea.”

12Setelah itu, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati.

13Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.’ ”

14Selepas itu, orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Yesus di Bait Suci, lalu Dia menyembuhkan mereka.

15Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Suci, “Hosana bagi Anak Daud!” mereka berasa marah.

16Mereka berkata kepada Yesus, “Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?” Yesus menjawab, “Ya, belum pernahkah kamu baca, ‘Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.’ ”

17Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Betania. Dia menginap di situ.

Pokok ara yang tidak berbuah

18Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Yerusalem, Dia berasa lapar.

19Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, “Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.” Serta-merta pokok itu layu dan mati.

20Apabila dilihat oleh murid-murid-Nya, mereka hairan dan bertanya, “Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?”

21Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,’ lalu hal itu akan terjadi.

22Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.”

Kuasa Yesus dicabar

23Apabila Yesus masuk ke Bait Suci, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?”

24Yesus menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu:

25Baptisan Yohanes dari manakah asalnya? Daripada syurga atau daripada manusia?” Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’

26Tetapi kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yohanes seorang nabi.”

27Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

Ibarat tentang dua orang anak

28“Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, ‘Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.’

29Anak itu menjawab, ‘Aku tidak mahu,’ tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya.

30Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, ‘Baiklah, aku pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi.

31Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?” Mereka menjawab, “Yang sulung.” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu.

32Yohanes datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah melihat hal ini pun, kamu tetap tidak menyesal dan percaya kepadanya.”

Ibarat tentang penyewa ladang

33Dengarlah satu ibarat lagi: Seorang tuan tanah menanam sebuah ladang anggur. Dia memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu pergi ke negeri lain.

34Apabila tiba musim memetik, tuan tanah itu menghantar hamba-hambanya kepada para penyewa itu meminta bahagiannya daripada hasil ladang itu.

35Tetapi para penyewa ladang menangkap hamba-hamba itu. Ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada yang direjam.

36Tuan tanah itu menghantar hamba-hamba yang lain pula, lebih banyak lagi bilangannya. Tetapi hamba-hamba itu pun diperlakukan begitu juga.

37Akhirnya tuan itu menghantar anaknya sambil berfikir, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’

38Tetapi apabila para penyewa itu melihat anak tuan itu, mereka berkata sama sendiri, ‘Marilah kita bunuh warisnya, supaya dapat kita rampas harta pusakanya.’

39Mereka pun menangkapnya, menghumbankannya ke luar ladang dan membunuhnya.

40Selepas itu Yesus bertanya, “Apabila tuan ladang anggur itu pulang, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa itu?”

41Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang yang jahat itu dan menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain yang sanggup memberikan bahagiannya daripada hasil ladang itu pada musim memetik anggur.”

42Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah kamu baca apa yang tersurat dalam Kitab Suci: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru. Inilah perbuatan Tuhan; Sungguh hebat di mata kami!’?

43“Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah.

44Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur luluh; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.”

45Apabila ketua imam dan orang Farisi mendengar ibarat-ibarat Yesus, fahamlah mereka bahawa Dia bercakap tentang mereka.

46Oleh itu, mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi mereka takut akan orang ramai yang menganggap Yesus sebagai seorang nabi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel