Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 31 >> 

1Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu; selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu.

2Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku.

3Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku.

4Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku.

5Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku; Engkau telah menebusku, Ya TUHAN, Allah yang setia.

6Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna; aku percaya kepada TUHAN.

7Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku.

8Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang.

9Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku kian musnah oleh kesedihan, ya, seluruh jiwa ragaku.

10Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh.

11Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku – sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.

12Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah.

13Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku.

14Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN; aku berkata, “Engkaulah Allahku.”

15Usiaku berada dalam tangan-Mu; selamatkanlah aku daripada segala musuhku dan daripada mereka yang memburuku.

16Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu.

17Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN, kerana aku telah berseru kepada-Mu; biarlah orang zalim ditimpa malu biarlah mereka membisu dalam kubur.

18Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar.

19Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu.

20Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia.

21Segala puji bagi TUHAN, kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung.

22Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, “Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!” Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu.

23Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak! Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia, dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh.

24Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada TUHAN.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel