Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 78 >> 

1Renungan Asaf. Dengarlah hai umatku, ajaran tentang hukum; pasang telingamu untuk mendengar kata-kataku.

2Aku akan membuka mulut menggunakan ibarat; aku akan menuturkan kata-kata zaman dahulu yang penuh rahsia –

3yang telah kita dengar dan ketahui, dan telah disampaikan oleh nenek moyang kita.

4Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak cucu mereka; kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang pujian untuk TUHAN, dan kekuatan-Nya, serta hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan.

5Kerana Dia telah menetapkan peraturan pada Yakub dan mengadakan hukum baru bagi Israel, yang diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita supaya diberitahu kepada anak-anak mereka,

6agar keturunan akan datang mengetahuinya, anak-anak yang bakal lahir, dan mereka akan bangkit mengisytiharkannya kepada anak-anak mereka.

7Dengan demikian mereka akan menyandarkan harapan kepada Allah dan tidak melupakan hasil kerja Allah serta mematuhi perintah-perintah-Nya.

8Maka tidaklah mereka menjadi seperti nenek moyang mereka – keturunan yang degil dan memberontak, Keturunan yang tidak membetulkan hatinya, dan yang rohnya tidak setia kepada Allah.

9Kaum Efraim yang bersenjatakan panah, berundur pada hari pertempuran;

10mereka tidak berpegang kepada perjanjian Allah; mereka tidak mahu hidup mengikut hukum-Nya.

11Dan melupakan hasil kerja-Nya, serta keajaiban yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka.

12Perbuatan yang menakjubkan telah dilakukan-Nya di hadapan nenek moyang mereka di Tanah Mesir, di padang Zoan.

13Dia telah membelah laut dan membolehkan mereka menyeberanginya; Dia menegakkan air seperti tembok.

14Pada waktu siang Dia memandu mereka dengan awan dan sepanjang malam dengan cahaya api.

15Dia membelah batu pejal di gurun dan memberi mereka minuman sebanyak-banyaknya air di lautan dalam;

16Dia memancarkan air dari batu pejal dan membuatnya mengalir seperti sungai.

17Tetapi mereka semakin berdosa terhadap-Nya, dengan menderhaka terhadap Yang Maha Tinggi di gurun.

18Dan mereka menguji Allah dalam hati mereka dengan meminta makanan yang diingini.

19Ya, mereka bercakap menentang Allah, mereka berkata, “Dapatkah Allah menyediakan jamuan di gurun?

20Lihatlah, Dia memukul batu pejal supaya air memancut keluar, dan sungai melimpah. Dapatkah Dia memberi roti juga? Dapatkah Dia membekalkan daging kepada umat-Nya?”

21TUHAN mendengar kata-kata ini lalu murka; maka api dinyalakan menyerang kaum Yakub, dan kemarahan-Nya menimpa kaum Israel,

22kerana mereka tidak percaya akan Allah, dan tidak yakin akan penyelamatan-Nya.

23Namun Dia memerintahkan awan dan membuka pintu langit;

24menghujani mereka dengan manna untuk makanan mereka, dan memberi mereka gandum syurga.

25Manusia makan makanan malaikat; Dia menghantar mereka makanan melimpah-limpah.

26Dia meniupkan angin timur di langit dan dengan kuasa-Nya membawakan angin selatan.

27Dia juga menghujani mereka dengan daging sebanyak debu, burung sebanyak pasir di tepi laut.

28Dia menjatuhkan semua itu di tengah-tengah perkhemahan mereka, di sekeliling tempat tinggal mereka.

29Lalu mereka makan sekenyang-kenyangnya, kerana Dia memberikan kehendak mereka.

30Keinginan mereka tidak dipuaskan, ketika makanan masih di dalam mulut mereka,

31Kemurkaan Allah menimpa mereka; meragut nyawa yang paling gagah antara mereka, dan menumpangkan orang Israel yang paling istimewa.

32Namun demikian mereka terus berbuat dosa; dan tidak percaya akan mukjizat-Nya.

33Oleh itu, Dia menjadikan hidup mereka sia-sia dan sepanjang usia mereka dalam ketakutan.

34Apabila Dia membunuh sebilangan mereka, maka mereka berpaling kepada-Nya; mereka kembali mencari Allah dengan bersungguh-sungguh.

35Ketika itu mereka ingat bahawa Allah Batu Pejal mereka, dan Allah Yang Maha Tinggi Penebus mereka.

36Tetapi mulut mereka memberi-Nya puji palsu, dan lidah mereka berdusta kepada-Nya;

37kerana hati mereka tidak teguh kepada-Nya, dan mereka tidak setia kepada perjanjian dengan-Nya.

38Namun Dia, yang penuh belas kasihan; mengampunkan dosa mereka dan tidak memusnahkan mereka. Ya, berkali-kali Dia memalingkan kemarahan-Nya daripada mereka dan tidak membiarkan kemurkaan-Nya menyala.

39Kerana Dia ingat bahawa mereka hanyalah manusia, sehembus nafas yang berlalu dan tidak muncul lagi.

40Betapa kerapnya mereka berontak terhadap Dia ketika di gurun dan menyedihkan-Nya semasa di padang pasir!

41Ya, berkali-kali mereka menduga Allah; dan membatasi Yang Kudus, Allah Israel.

42Mereka tidak ingat akan kuasa-Nya – hari Dia menyelamatkan mereka daripada musuh,

43apabila Dia melakukan mukjizat-Nya di Mesir, dan perbuatan-Nya yang menakjubkan di padang Zoan.

44Menukarkan air sungai mereka menjadi darah, juga anak-anak air mereka; maka mereka tidak dapat minum.

45Dia menghantar lalat yang banyak untuk memakan mereka, dan katak untuk memusnahkan mereka.

46Dia menyebabkan tanaman mereka dimakan ulat, dan hasil usaha mereka dimakan belalang.

47Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu dan pokok-pokok ara mereka dengan air batu.

48Dia membiarkan ternakan mereka mati ditimpa hujan batu, dan kawanan domba mereka disambar kilat.

49Dia melemparkan kepada mereka kemarahan, kemurkaan, keberangan, dan kesusahan – dengan menghantar para malaikat pemusnah dalam kalangan mereka.

50Dia membuat lorong untuk kemarahan-Nya; Dia tidak mengecualikan jiwa mereka daripada maut tetapi membiarkan wabak penyakit meragut nyawa mereka.

51Dan memusnahkan semua anak lelaki sulung orang Mesir, kekuatan pertama mereka di perkhemahan Ham.

52Tetapi Dia membolehkan umat-Nya pergi seperti domba; dan memandu mereka di gurun seperti satu kawanan.

53Dan Dia memandu mereka dengan selamat, maka mereka tidak takut; sedangkan laut menenggelamkan musuh mereka.

54Lalu Dia membawa mereka ke sempadan-Nya yang suci, gunung ini yang telah diambil-Nya dengan tangan kanan-Nya.

55Dia mengusir bangsa-bangsa dari tempat yang didatangi umat-Nya dan membahagikan tanah sebagai warisan pusaka mereka; serta menyuruh suku-suku Israel tinggal di khemah mereka.

56Namun demikian, mereka berontak dan menguji Allah Yang Maha Tinggi; dan tidak mematuhi peraturan-Nya.

57Mereka berpaling tadah dan berkelakuan tidak setia seperti nenek moyang mereka, mereka menyeleweng seperti busur yang bengkok.

58Mereka membuat Dia marah dengan bukit-bukit pemujaan; dan membuat Dia cemburu dengan patung-patung yang diukir.

59Apabila Allah mendengarnya, Dia amat murka; dan sangat membenci kaum Israel.

60Sehingga Dia meninggalkan khemah Silo, yang telah diletakkan-Nya dalam kalangan mereka.

61Dan membiarkan kekuatan-Nya ditawan, dan kemuliaan-Nya jatuh ke tangan musuh.

62Dia membiarkan umat-Nya musnah di hujung pedang; Dia amat murka akan warisan-Nya.

63Api membakar pemuda-pemuda mereka, maka gadis-gadis mereka tidak dijodohkan;

64imam-imam mereka gugur di hujung pedang, dan balu-balu mereka tidak meratap.

65Kemudian Tuhan mengejutkan kita daripada tidur, seperti seorang gagah yang bertempik kerana air anggur.

66Dan Dia mengusir musuh-Nya; Dia memalukan mereka selama-lamanya.

67Juga Dia menolak khemah Yusuf, dan tidak memilih suku Efraim;

68tetapi memilih suku Yehuda, Bukit Sion yang dicintai-Nya.

69Dan Dia membina tempat suci-Nya seperti di syurga, seperti bumi yang telah ditapakkan-Nya untuk selama-lamanya.

70Dia juga memilih Daud hamba-Nya dan mengambilnya dari kawanan domba;

71daripada mengikuti domba beranak kecil Allah membawanya untuk menjadi gembala umat-Nya Yakub, dan warisan-Nya Israel.

72Maka dia menggembalakan mereka menurut keikhlasan hatinya; dan memandu mereka dengan kemahiran tangannya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 78 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel