1Sebuah nyanyian. Mazmur Asaf. Janganlah senyap, ya Allah; janganlah Engkau membisu, dan janganlah berdiam diri, ya Allah.
2Kerana lihatlah, musuh-Mu berbuat huru-hara, dan mereka yang membenci-Mu telah mengangkat kepala.
3Mereka berunding mengatur tipu muslihat menentang umat-Mu; dan berpakat melawan orang yang Kaulindungi.
4Mereka telah berkata, “Marilah kita hapuskan mereka sebagai suatu bangsa, supaya nama Israel akan luput dari ingatan.”
5Mereka telah berpakat dan bersatu hati; mereka telah membentuk komplot menentang-Mu –
6orang Edom dan orang Ismael, Moab dan Hagri,
7Gebal, Amon dan Amalek, Filistea dan Tirus.
8Asyur pun telah menjadi sekutu mereka; mereka membantu keturunan bani Lut. Sela
9Perlakukanlah mereka seperti Kauperlakukan orang Midian, dan Sisera serta Yabin di Sungai Kison,
10yang binasa di En-Dor dan menjadi seperti sampah di atas bumi.
11Jadikanlah para pemimpin mereka seperti Oreb dan Zeeb, ya, dan raja-raja mereka seperti Zebah dan Salmuna,
12yang telah berkata, “Marilah kita ambil padang-padang berumput Allah sebagai milik kita.”
13Ya Allahku, jadikan mereka seperti debu berterbangan, seperti sekam ditiup angin.
14Seperti api membakar hutan dan membuat gunung-ganang menyala,
15burulah mereka dengan badai-Mu dan takutkan mereka dengan ribut-Mu.
16Malukanlah mereka supaya mereka mencari nama-Mu, ya TUHAN.
17Biarlah mereka keliru dan kecewa selama-lamanya; ya, biarkanlah mereka malu dan binasa.
18Supaya mereka tahu hanya Engkau, yang bernama TUHAN – Engkaulah Yang Maha Tinggi menguasai seluruh bumi.