Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 11 >> 

Mengulangi seruan agar umat sentiasa taat

1Maka hendaklah kamu mengasihi TUHAN, Allahmu, dan memegang dengan teguh segala kewajipanmu kepada-Nya, juga segala ketetapan, kanun, serta perintah-Nya.

2Fahamkanlah betapa aku sekarang bukannya berbicara kepada anak-anakmu, yang tidak mengenal dan tidak mengalami didikan TUHAN, Allahmu. Kamulah yang mengetahui kebesaran-Nya, tangan-Nya yang perkasa, lengan-Nya yang terhulur,

3tanda-tanda ajaib-Nya, dan segala perbuatan yang dilakukan-Nya di Mesir terhadap Firaun, raja Mesir, serta seluruh negerinya.

4Kamu tahu apa yang dilakukan-Nya terhadap pasukan Mesir dan terhadap kuda-kuda serta segala rata mereka, bagaimana Dia membuat air Laut Merah meluap melanda mereka saat mereka mengejar kamu, dan bagaimana TUHAN melenyapkan mereka sampai hari ini.

5Kamu pun tahu apa yang dilakukan-Nya terhadap kamu di gurun hingga kamu sampai di tempat ini,

6juga apa yang dilakukan-Nya terhadap Datan dan Abiram, anak-anak Eliab keturunan Ruben, ketika bumi mengangakan mulutnya dan menelan mereka berserta keluarga mereka, khemah-khemah mereka, dan semua yang hidup yang mengikuti mereka di tengah-tengah semua orang Israel.

7Dengan matamu sendiri kamu telah melihat segala perbuatan besar yang telah dilakukan TUHAN.

Kelimpahan di tanah yang dijanjikan

8Maka hendaklah kamu berpegang teguh pada segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya kamu kuat untuk memasuki serta menduduki negeri yang akan kamu miliki setelah kamu menyeberang,

9dan supaya lanjut umurmu di tanah yang telah disumpahkan TUHAN kepada nenek moyangmu untuk memberikannya kepada mereka serta keturunan mereka, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu.

10Sesungguhnya, negeri yang akan kamu masuki dan akan kamu duduki itu tidak seperti Tanah Mesir, tempat yang telah kamu tinggalkan. Di Mesir, setelah kamu menyemai benih, kamu perlu mengairinya dengan susah payah seperti kebun sayur.

11Akan tetapi, negeri yang akan kamu masuki untuk kamu duduki itu sebuah negeri yang bergunung-gunung dan berlembah-lembah, yang menyerap air hujan dari langit.

12TUHAN, Allahmu, memelihara negeri itu; mata TUHAN, Allahmu, selalu memerhatikannya sejak awal tahun sampai akhir tahun.

13Jadi, jika kamu sungguh-sungguh mendengar perintah-perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, iaitu mengasihi TUHAN, Allahmu, serta beribadat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwamu,

14maka Dia juga akan menurunkan hujan bagi negerimu pada musimnya, baik hujan awal musim mahupun hujan akhir musim, sehingga kamu dapat mengumpulkan hasil gandummu, anggurmu, dan minyakmu.

15Dia akan menyediakan tumbuh-tumbuhan di padangmu bagi ternakanmu, dan kamu pun akan makan sampai kenyang.

16Berhati-hati, jangan sampai kamu tertipu oleh pujuk rayu sehingga kamu menyimpang lalu beribadat kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah tuhan-tuhan itu.

17Jika demikian halnya, maka akan menyala-nyalalah murka TUHAN terhadap kamu. Dia akan menutup langit sehingga tidak ada hujan, dan tanah tidak akan memberikan hasil. Kamu pun akan lenyap dengan segera dari negeri yang baik, yang dikurniakan TUHAN kepadamu.

18Letaklah perkataan-perkataanku ini dalam hati dan jiwamu, ikatkanlah sebagai suatu tanda peringatan pada tangan dan dahimu.

19Ajarkanlah perkara ini kepada anak-anakmu dan bicarakanlah ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun.

20Kemudian tuliskanlah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu.

21Dengan demikian, akan panjanglah umurmu dan umur anak-anakmu di negeri yang telah disumpahkan TUHAN untuk memberikannya kepada nenek moyangmu selama langit ada di atas bumi.

22Jika kamu benar-benar berpegang teguh pada segala perintah yang kusampaikan kepadamu dan teliti melakukannya, iaitu mengasihi TUHAN, Allahmu, hidup menurut segala jalan-Nya, dan berpaut kepada-Nya,

23maka TUHAN akan mengusir semua bangsa ini dari hadapanmu, dan kamu akan menduduki wilayah bangsa-bangsa yang lebih besar serta lebih kuat daripada kamu.

24Setiap tempat yang dipijak oleh telapak kakimu akan menjadi milikmu. Daerahmu akan terbentang dari gurun sampai Lebanon, dan dari sungai itu, iaitu Sungai Efrat, sampai laut di sebelah barat.

25Tiada seorang pun akan dapat bertahan di hadapanmu. TUHAN, Allahmu, akan mendatangkan rasa gentar dan rasa takut terhadap kamu di seluruh negeri yang akan kamu pijak, seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu.

26Lihatlah, pada hari ini aku menghadapkan kepadamu berkat dan kutukan.

27Berkat kamu terima jika kamu mendengar perintah-perintah TUHAN, Allahmu, yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.

28Kutukan kamu terima jika kamu tidak mahu mendengar perintah-perintah TUHAN, Allahmu, dan menyimpang daripada jalan yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini dengan mengikuti tuhan-tuhan lain yang tidak kamu kenal.

29Jadi, setelah TUHAN, Allahmu, membawa kamu ke negeri yang akan kaumasuki serta duduki, kamu mesti mengucapkan berkat di Gunung Gerizim dan kutukan di Gunung Ebal.

30Bukankah kedua-dua gunung itu terletak di seberang Sungai Yordan, di belakang jalan menuju ke arah matahari terbenam, dalam wilayah bani Kanaan di Araba yang berseberangan dengan Gilgal, dekat pokok-pokok oak di More?

31Kamu sudah hendak menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk dan menduduki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Setelah kamu mendudukinya dan tinggal di situ,

32lakukanlah dengan setia segala kanun dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel