Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 31 >> 

Yosua mengganti Musa

1Kemudian Musa pergi menyampaikan kata-kata ini kepada semua orang Israel.

2Katanya kepada mereka, “Hari ini aku berusia seratus dua puluh tahun. Aku tidak dapat giat lagi memimpinmu. Apatah lagi, TUHAN telah berfirman kepadaku, ‘Kamu tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini.’

3TUHAN, Allahmu, Dia sendirilah yang akan maju di hadapanmu. Dia akan memusnahkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu sehingga kamu dapat menakluki mereka, dan Yosua akan memimpin kamu menyeberang, seperti yang difirmankan TUHAN.

4TUHAN akan memperlakukan mereka sebagaimana Dia memperlakukan Sihon dan Og, raja-raja bani Amori, dan juga negeri mereka ketika Dia memusnahkan mereka.

5TUHAN akan menyerahkan mereka kepadamu dan hendaklah kamu memperlakukan mereka selaras dengan segala perintah yang kusampaikan kepadamu.

6Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu. Jangan takut dan jangan gementar dengan mereka, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu.”

7Kemudian Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan mata semua orang Israel, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana kamulah yang akan menyertai bangsa ini memasuki negeri yang telah TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyang mereka. Kamu juga akan memimpin mereka mewarisinya.

8TUHAN sendiri akan memimpin kamu, dan Dia pulalah yang akan menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu. Jangan takut dan jangan kecut hati.”

Pembacaan hukum Taurat setiap tujuh tahun

9Musa menuliskan hukum Taurat ini dan menyerahkannya kepada para imam bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian TUHAN, dan kepada semua tua-tua Israel.

10Kemudian Musa memberikan perintah kepada mereka demikian, “Pada akhir setiap tujuh tahun, iaitu pada Perayaan Pondok Daun dalam tahun pembebasan hutang,

11ketika semua orang Israel datang menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih-Nya, bacakanlah hukum Taurat ini di depan semua orang Israel.

12Kumpulkanlah umat, baik lelaki, perempuan, anak-anak, mahupun pendatang yang ada di kota-kotamu, agar mereka mendengarkannya dan belajar supaya takut kepada TUHAN, Allahmu, serta mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini.

13Dengan demikian anak-anak mereka yang belum pernah mengetahuinya akan dapat mendengarkannya dan belajar supaya takut kepada TUHAN, Allahmu, selama kamu hidup di tanah yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan.”

Yosua ditauliahkan untuk memimpin orang Israel

14Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Ketahuilah, ajalmu hampir tiba. Panggillah Yosua dan hadirkanlah diri bersama-sama di Khemah Pertemuan. Aku akan mentauliahkan dia.” Maka pergilah Musa dan Yosua, lalu hadir di Khemah Pertemuan.

15Kemudian TUHAN menampakkan diri di Khemah itu dalam tiang awan, dan tiang awan itu berdiri di pintu Khemah.

16Firman TUHAN kepada Musa, “Ketahuilah, kamu akan dibaringkan bersama dengan nenek moyangmu. Kemudian bangsa ini akan melakukan kemungkaran kafir dengan mengikuti tuhan bangsa asing di negeri yang akan dimasuki mereka. Lalu mereka akan meninggalkan Aku dan mengingkari perjanjian-Ku yang Kuikat dengan mereka.

17Pada waktu itu murka-Ku akan menyala-nyala terhadap mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Mereka akan dimakan habis dan ditimpa banyak malapetaka serta kesesakan. Pada waktu itu mereka akan berkata, ‘Bukankah malapetaka ini menimpa kita kerana Allah kita tidak lagi hadir di tengah-tengah kita?’

18Pada waktu itu Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku sama sekali kerana segala kejahatan yang dilakukan mereka, iaitu kerana mereka berpaling dan menyembah tuhan-tuhan lain.

19Sekarang, tuliskanlah nyanyian ini dan ajarkanlah kepada orang Israel. Kemudian latihlah mereka, supaya nyanyian ini menjadi saksi bagi-Ku terhadap orang Israel,

20bahawa setelah Aku membawa mereka masuk ke tanah yang telah Kusumpah untuk memberikannya kepada nenek moyang mereka, iaitu tanah yang berlimpah susu dan madu, dan setelah mereka makan sehingga kenyang lalu menjadi gemuk, mereka berpaling kepada tuhan-tuhan lain dan beribadat menyembah tuhan-tuhan itu. Mereka menista Aku dan mengingkari perjanjian-Ku.

21Oleh itu, apabila banyak malapetaka dan kesesakan menimpa mereka, nyanyian ini akan menjadi saksi di hadapan mereka, kerana nyanyian ini tidak akan dilupakan oleh keturunan mereka. Sesungguhnya, sebelum Aku membawa mereka masuk ke negeri yang telah Kusumpah untuk memberikan kepada mereka, sudah Kuketahui niat yang dirancangkan mereka pada hari ini.”

22Pada hari itu juga Musa menuliskan nyanyian ini lalu mengajarkannya kepada orang Israel.

23Kemudian TUHAN mentauliahkan Yosua anak Nun, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana kamu akan membawa orang Israel ke negeri yang telah Kusumpah untuk memberikan kepada mereka. Aku akan menyertai kamu.”

24Setelah Musa selesai menuliskan perkataan hukum Taurat ini sampai akhir dalam sebuah kitab,

25Musa memberikan perintah kepada bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian TUHAN,

26“Ambillah Kitab Suci Taurat ini dan letakkanlah di samping tabut perjanjian TUHAN, Allahmu. Kitab itu akan ada di situ sebagai saksi terhadap kamu,

27kerana aku tahu betapa derhaka dan keras kepalanya kamu ini. Sekarang sahaja, semasa aku masih hidup bersama-sama kamu pun sudah kamu begitu menderhaka terhadap TUHAN apatah lagi setelah kematianku kelak.

28Suruhlah semua tua-tua sukumu dan para pengatur pasukanmu berkumpul di depanku. Aku akan menyampaikan kata-kata ini kepada mereka serta memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap mereka,

29kerana aku tahu bahawa setelah aku mati, kamu akan berlaku sangat keji dan menyimpang dari jalan yang kuperintahkan kepadamu. Pada kemudian hari malapetaka akan menimpamu, kerana kamu akan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya dengan perbuatan tanganmu.”

30Kemudian Musa memperdengarkan perkataan nyanyian ini sehingga selesai kepada seluruh jemaah Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel