Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 32 >> 

Nyanyian Musa

1“Berikanlah perhatian, wahai langit, aku hendak berkata-kata. Dengarlah, wahai bumi, ucapan mulutku.

2Semoga pengajaranku menitik seperti hujan dan perkataanku menitis ke atas rumput muda, bagai hujan lebat ke atas tumbuh-tumbuhan.

3Aku hendak memasyhurkan nama TUHAN. Nyatakanlah keagungan Allah kita!

4Dialah Batu Pejal yang sempurna pekerjaan-Nya kerana adil segala jalan-Nya. Allah yang setia, tanpa kecurangan. Dia adil dan benar.

5Mereka berbuat kekejian terhadap Dia. Oleh sebab noda mereka, mereka bukan lagi anak-anak-Nya, suatu keturunan yang khianat dan rosak fikiran.

6Begitukah balasanmu terhadap TUHAN, wahai bangsa yang bodoh dan tidak peka? Bukankah Dia Bapamu yang menebus kamu, yang menjadikan dan mengukuhkan kamu?

7Ingatlah zaman dahulu, pertimbangkanlah tahun-tahun angkatan yang lalu. Tanyalah kepada ayahmu, maka dia akan menunjukkan kepadamu; kepada para tua-tuamu, maka mereka akan memberitahu kamu.

8Ketika Yang Maha Tinggi membahagi-bahagikan harta pusaka kepada bangsa-bangsa, ketika Dia memisah-misahkan anak manusia, Dia menetapkan daerah bangsa-bangsa menurut jumlah orang Israel.

9Tetapi bahagian TUHAN ialah umat-Nya, Yakub ialah bahagian harta pusaka-Nya.

10Didapati-Nya Yakub di daerah gurun, di gurun yang gersang, tempat binatang mengaum. Dikelilingi-Nya dia, diperhatikan-Nya, dan dijaga-Nya seperti apa yang disayangi-Nya.

11Bagai rajawali menggoncang-goncangkan sarangnya, melayang-layang di atas anak-anaknya, mengembangkan sayapnya, mengambil mereka, dan membawa mereka di atas sayapnya,

12demikianlah TUHAN sendiri menuntun dia dan tidak ada tuhan asing menyertai dia.

13Dibuat-Nya dia menunggangi tempat-tempat tinggi di bumi, sehingga dia menikmati hasil ladang. Dibuat-Nya dia menghisap madu daripada bukit batu, dan minyak dari batu pejal yang keras,

14dadih daripada kawanan lembu dan susu daripada kawanan domba, dengan lemak anak-anak domba; domba-domba jantan muda dari Basan dan kambing-kambing jantan, dengan gandum yang terbaik; juga dari buah anggur yang diperas kauminum air anggur.

15Namun Yesyurun menjadi gemuk dan menendang ke belakang. Kamu menjadi gemuk, besar, dan tambun! Dia meninggalkan Allah yang telah menjadikannya dan menghina Batu Pejal sumber penyelamatannya.

16Mereka menyebabkan Dia cemburu dengan tuhan-tuhan asing, mereka membangkitkan murka-Nya dengan tuhan-tuhan kekejian.

17Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh iblis, bukan Allah; kepada tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka, tuhan-tuhan baru yang belum lama muncul, yang tidak ditakuti oleh nenek moyangmu.

18Kamu mengabaikan Batu Pejal yang menciptakanmu, dan kamu melupakan Allah yang menjadikanmu.

19TUHAN melihat hal itu dan menolak mereka, kerana kemurkaan-Nya telah dibangkitkan oleh anak-anak-Nya baik lelaki mahupun perempuan.

20Firman-Nya, ‘Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Aku akan melihat bagaimana kesudahan mereka, kerana mereka itu angkatan yang serong, anak-anak yang tidak setia.

21Mereka menggusarkan Aku kerana menduakan Aku dengan yang bukan Allah, mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan berhala mereka. Oleh sebab itu Aku akan membuat mereka iri hati dengan yang bukan umat dan Aku akan membuat mereka marah dengan bangsa yang bodoh.

22Dalam kemurkaan-Ku api tersulut, menyala-nyala sampai ke alam kubur yang terbawah. Tanah dan hasilnya ditelannya, dan dasar-dasar gunung dihanguskannya.

23Aku akan menimbun malapetaka ke atas mereka, anak-anak panah-Ku akan Kuhabiskan melawan mereka.

24Mereka akan lemas kerana kelaparan, dimamah oleh demam dan wabak yang dahsyat. Aku akan melepaskan binatang buas yang bertaring kepada mereka serta binatang melata yang berbisa di tanah.

25Pedang di luar rumah dan kengerian di dalam bilik, akan menggugurkan baik pemuda mahupun anak dara, anak menyusu serta orang beruban.

26Seharusnya Aku berfirman, “Aku akan menyerakkan mereka. Aku akan melenyapkan kenangan tentang mereka daripada kalangan manusia.”

27Tetapi Aku mengkhuatirkan celaan musuh. Jangan sampai musuh-musuh mereka salah memahami, jangan sampai mereka berkata, “Kami kuat dan hebat! Bukan TUHAN yang mengerjakan semua ini.” ’

28Mereka ialah bangsa yang kehilangan pertimbangan, pada mereka tidak ada pengertian.

29Kalau mereka bijaksana, mereka akan mengerti hal ini dan akan memahami kesudahannya.

30Bagaimana mungkin seorang dapat mengejar seribu orang, atau dua orang dapat menyebabkan sepuluh ribu orang lari, kalau mereka tidak dijual oleh Batu Pejal mereka? TUHAN telah menyerahkan mereka!

31Batu pejal kalangan itu tidak seperti Batu Pejal kita, musuh kita pun dapat menilainya.

32Sesungguhnya, pokok anggur mereka berasal daripada pokok anggur Sodom dan dari ladang-ladang Gomora. Buah anggur mereka buah anggur yang beracun, tandan-tandannya pun pahit.

33Air anggur mereka ialah bisa ular, racun ular senduk yang ganas.

34‘Bukankah hal itu tersimpan pada-Ku, termaterai dalam perbendaharaan-Ku?

35Akulah yang berhak membalas dan mengganjar. Pada waktunya kaki mereka akan goyah, kerana hari bencana sudah dekat dan hal-hal yang sudah disiapkan bagi mereka akan segera datang.’

36TUHAN akan membela perkara umat-Nya dan berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya, apabila dilihat-Nya kekuatan mereka lenyap dan tidak ada yang terselamat, baik orang kurungan mahupun orang merdeka.

37Dia akan berfirman, ‘Di manakah tuhan mereka, batu pejal tempat mereka berlindung,

38yang memakan lemak korban sembelihan mereka dan meminum air anggur persembahan minuman mereka? Biarlah mereka bangkit menolong kamu, biarlah mereka menjadi tempat persembunyian bagimu.

39Ketahuilah sekarang, sesungguhnya Aku sendirilah Dia. Tidak ada Allah selain-Ku. Akulah yang mematikan, Aku pulalah yang menghidupkan. Aku meremukkan, dan Aku menyembuhkan. Tidak ada yang dapat melepaskan sesuatu daripada tangan-Ku.

40Sesungguhnya, Kuangkat tangan-Ku ke langit dan berfirman: Demi Aku yang hidup untuk selama-lamanya!

41Jika Aku mengasah pedang-Ku yang berkilat-kilat, dan penghukuman ada dalam tangan-Ku, maka Aku akan menuntut balas ke atas musuh-musuh-Ku dan mengganjar kalangan yang membenci Aku.

42Aku akan membuat anak-anak panah-Ku mabuk darah, sementara pedang-Ku memakan daging: darah kalangan yang terbunuh dan kalangan yang ditawan, daripada para ketua pemimpin musuh.’

43Wahai bangsa-bangsa, bersorak-sorailah bersama dengan umat-Nya, kerana Dia akan membalaskan darah hamba-hamba-Nya dan menuntut balas ke atas musuh-musuh-Nya. Dia akan mengadakan pendamaian bagi tanah-Nya dan umat-Nya.”

44Kemudian Musa berserta Yosua anak Nun datang untuk memperdengarkan semua kata nyanyian itu kepada bangsa itu.

45Setelah Musa selesai memperdengarkan semua kata itu kepada semua orang Israel,

46berkatalah dia kepada mereka, “Letaklah dalam hatimu semua kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Perintahkanlah anak-anakmu untuk mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini,

47kerana perkataan ini bukanlah perkataan yang sia-sia bagimu, melainkan kehidupanmu. Dengan perkataan ini umurmu akan lanjut di bumi yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan.”

Kematian Musa

48Pada hari itu juga, TUHAN berfirman kepada Musa,

49“Naiklah ke Gunung Abarim, iaitu Gunung Nebo di Tanah Moab, yang berseberangan dengan Yerikho, lalu pandanglah Tanah Kanaan yang Kukurniakan kepada orang Israel menjadi milik mereka.

50Kamu akan mati di atas gunung yang kamu daki itu dan akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu sebagaimana Harun, abangmu, yang telah mati di Gunung Hor dan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurnya,

51sebab kamu berdua tidak bertindak dengan setia terhadap Aku di tengah-tengah orang Israel, di mata air Meriba, Kadesh, di kawasan Gurun Zin. Kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di tengah-tengah orang Israel.

52Kamu boleh memandang negeri itu terbentang di hadapanmu tetapi tidak boleh masuk ke sana, ke negeri yang Kuberikan kepada orang Israel.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 32 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel