Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 20 >> 

Kasih dan hukuman Allah dalam sejarah Israel

1Pada tahun ketujuh, tepatnya pada hari kesepuluh dalam bulan kelima, beberapa orang tua-tua Israel datang untuk mencari petunjuk TUHAN, lalu mereka duduk di hadapanku.

2Maka datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

3‘Wahai anak manusia, berbicaralah dengan golongan tua-tua Israel dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Adakah kamu datang untuk mencari petunjuk-Ku? Demi Aku yang hidup, Aku tidak sudi kamu mencari petunjuk-Ku, demikianlah firman Tuhan ALLAH.”

4Mahukah engkau menghakimi mereka, wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi mereka? Beritahulah mereka tentang segala kekejian nenek moyang mereka

5dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Pada waktu Aku memilih Israel, Aku bersumpah kepada keluarga Yakub dan menyatakan diri kepada mereka di Tanah Mesir. Demikianlah sumpah-Ku kepada mereka, ‘Akulah TUHAN, Allahmu.’

6Pada waktu itu pun Aku bersumpah kepada mereka bahawa Aku akan membawa mereka keluar dari Tanah Mesir ke tanah yang Kupilih bagi mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, termulia antara semua negeri.

7Firman-Ku kepada mereka, ‘Setiap orang harus membuang berhala kejijikan yang dipujanya dan tidak boleh menajiskan diri dengan berhala-berhala Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu.’

8Akan tetapi, mereka menderhaka dan tidak mahu mendengar Aku. Tiada seorang pun mahu membuang berhala kejijikan yang dipujanya atau meninggalkan berhala-berhala Mesir. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan amarah-Ku ke atas mereka dan melampiaskan murka-Ku kepada mereka di tengah-tengah Tanah Mesir.

9Namun demikian, demi nama-Ku, Aku tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa tempat mereka berada. Di hadapan mata bangsa-bangsa itu dahulu Aku telah menyatakan diri kepada orang Israel dengan membawa mereka keluar dari Tanah Mesir.

10Aku menuntun mereka keluar dari Tanah Mesir dan membawa mereka ke gurun.

11Kuberikan ketetapan-ketetapan-Ku kepada mereka dan Kuberitahukan peraturan-peraturan-Ku kepada mereka, kerana orang yang melakukan semua itu akan hidup.

12Aku juga memberi mereka hari-hari Sabat-Ku sebagai suatu tanda antara Aku dengan mereka, supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN, yang menyucikan mereka.

13Namun demikian, keturunan kaum Israel menderhaka terhadap Aku di gurun. Mereka tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan menolak peraturan-peraturan-Ku, padahal orang yang melakukan semua itu akan hidup. Mereka pun sangat mencemari hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan murka-Ku ke atas mereka di gurun serta menghancurkan mereka.

14Namun demikian, demi nama-Ku, Aku tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa yang menyaksikan ketika Aku membawa mereka ke luar.

15Aku pun bersumpah kepada mereka di gurun bahawa Aku tidak akan membawa mereka masuk ke tanah yang telah Kukurniakan kepada mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, termulia antara segala negeri,

16kerana mereka menolak peraturan-peraturan-Ku, tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku, dan mencemari hari-hari Sabat-Ku. Hati mereka mengikuti berhala-berhala mereka.

17Meskipun demikian, Aku berasa hiba kepada mereka sehingga Aku tidak membinasakan mereka dan tidak mematikan mereka di gurun.

18Kepada anak-anak mereka di gurun Aku berfirman, ‘Jangan hidup menurut ketetapan-ketetapan nenek moyangmu, jangan memegang peraturan-peraturan mereka, dan jangan najiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka.

19Akulah TUHAN, Allahmu. Hiduplah menurut ketetapan-ketetapan-Ku. Peganglah teguh peraturan-peraturan-Ku dan lakukanlah itu.

20Jagalah kesucian hari-hari Sabat-Ku. Hari-hari itu adalah tanda antara Aku dengan kamu, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.’

21Akan tetapi, anak-anak mereka pun menderhaka terhadap Aku. Mereka tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan tidak melakukan dengan setia peraturan-peraturan-Ku, padahal orang yang melakukan semua itu akan hidup. Mereka juga mencemari hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku berfirman bahawa Aku hendak mencurahkan amarah-Ku ke atas mereka untuk melampiaskan murka-Ku kepada mereka di gurun.

22Namun demikian, demi nama-Ku, Aku menahan tangan-Ku dan tidak bertindak demikian supaya jangan nama itu dicemarkan di hadapan mata bangsa-bangsa yang menyaksikan ketika Aku membawa mereka ke luar.

23Aku juga bersumpah kepada mereka di gurun bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka di antara bangsa serta menyerakkan mereka di pelbagai negeri

24kerana mereka tidak melakukan peraturan-peraturan-Ku, menolak ketetapan-ketetapan-Ku, mencemari hari-hari Sabat-Ku, dan tetap memuja berhala-berhala nenek moyang mereka.

25Aku pun memberikan kepada mereka ketetapan-ketetapan yang tidak baik dan peraturan-peraturan yang tidak akan membuat mereka hidup.

26Aku membiarkan mereka menjadi najis sehubungan dengan persembahan-persembahan mereka, iaitu dengan membiarkan mereka mempersembahkan semua yang lahir pertama dari rahim sebagai korban yang dibakar, supaya Kubinasakan mereka. Dengan demikian mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

27Oleh sebab itu berbicaralah kepada keturunan kaum Israel, wahai anak manusia, dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Dalam hal ini pun nenek moyangmu telah menghujah Aku, iaitu dengan berbuat mungkar terhadap Aku.

28Sesudah Aku membawa mereka masuk ke negeri yang Kusumpah untuk dikurniakan kepada mereka, mereka memandang setiap bukit yang tinggi juga setiap pokok yang rendang, lalu di sana mereka mempersembahkan korban sembelihan dan di sana mereka mempersembahkan persembahan yang membangkitkan murka-Ku. Di sana mereka membuat semerbak bauan persembahan yang harum, dan di sana mereka mencurahkan persembahan minuman.

29Firman-Ku kepada mereka, ‘Bukit pemujaan apa yang kamu datangi itu?’ Maka namanya disebut Bukit Pengorbanan sampai hari ini.”

30Oleh sebab itu katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Adakah kamu mahu menajiskan diri dengan perilaku nenek moyangmu dan berbuat kafir dengan mengikuti tuhan mereka yang menjijikkan?

31Sampai hari ini pun kamu menajiskan diri dengan segala berhalamu ketika kamu membawa persembahan-persembahanmu, iaitu ketika kamu mempersembahkan anak-anakmu sebagai korban yang dibakar. Masakan Aku sudi kamu mencari petunjuk-Ku, wahai keturunan kaum Israel? Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, Aku tidak sudi kamu mencari petunjuk-Ku.

32Apa yang muncul dalam hatimu seperti yang kamu katakan, ‘Kami ingin menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti kaum di pelbagai negeri, yang beribadat kepada kayu dan batu,’ sama sekali tidak akan terjadi.

33Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya Aku akan memerintah kamu dengan tangan yang perkasa, dan lengan yang terhulur serta dengan murka yang tercurah.

34Akan Kubawa kamu keluar dari antara bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur, serta dengan murka yang tercurah.

35Aku akan membawa kamu ke gurun bangsa-bangsa dan di sana Aku akan menghakimi kamu berhadap-hadapan.

36Seperti Aku menghakimi nenek moyangmu di gurun Tanah Mesir, begitulah Aku akan menghakimi kamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

37Aku akan membuat kamu berlalu di bawah tongkat gembala dan membawa kamu memasuki ikatan perjanjian.

38Aku akan membersihkan orang yang memberontak dan menderhaka terhadap Aku daripada kalangan kamu. Akan Kubawa mereka keluar dari negeri tempat mereka tinggal sebagai pendatang, tetapi mereka tidak akan masuk ke Tanah Israel. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

39Mengenai kamu, wahai keturunan kaum Israel, beginilah firman Tuhan ALLAH, “Pergilah beribadat kepada berhalamu masing-masing. Tetapi nanti, kamu pasti mendengar Aku dan tidak lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan persembahan-persembahanmu dan berhala-berhala kamu.

40Sebabnya di atas gunung-Ku yang suci, iaitu di atas gunung Israel yang tinggi di tanah itu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, di sanalah seluruh keturunan kaum Israel akan beribadat kepada-Ku. Di sana Aku akan menerima mereka, dan di sana pulalah Aku akan menuntut persembahan-persembahan khususmu serta pemberian hasil pertamamu dengan segala sesuatu yang telah kamu takdiskan.

41Aku akan menerima kamu seperti Aku menerima bauan persembahan yang harum ketika Aku membawa kamu keluar daripada bangsa-bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan. Aku akan menyatakan kesucian-Ku kepadamu di hadapan mata bangsa-bangsa.

42Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN pada waktu Aku membawa kamu masuk ke Tanah Israel, ke negeri yang Kusumpah untuk dikurniakan kepada nenek moyangmu.

43Di sana kamu akan teringat akan perilakumu dan segala perbuatanmu yang telah menjadikan kamu najis. Kamu akan muak kepada dirimu sendiri kerana segala kejahatan yang telah kamu lakukan.

44Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN pada waktu Aku berbuat demikian terhadapmu demi nama-Ku, dan bukan menurut perilakumu yang jahat atau perbuatanmu yang merosakkan, wahai keturunan kaum Israel, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’

Api dari tanah selatan

45Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

46‘Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu ke arah selatan dan bertuturlah menentang tanah selatan. Bernubuatlah menentang daerah hutan di Tanah Negeb,

47dan katakan kepada hutan di Tanah Negeb itu: Dengarlah firman TUHAN. Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketahuilah, Aku akan menyalakan api yang akan melahap semua pokok di kawasanmu, baik yang segar mahupun yang kering. Nyala api itu tidak akan padam dan semua muka dari selatan sampai ke utara akan terbakar kepanasan olehnya.

48Setiap makhluk akan menyedari bahawa Aku, TUHAN, telah menyalakannya, dan api itu tidak akan padam.’

49Lalu aku berkata, ‘Aduh, ya Tuhan ALLAH, mereka berkata tentang aku, “Bukankah dia hanya menyampaikan cerita ibarat?” ’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel