Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 33 >> 

Tugas Yehezkiel sebagai penjaga; Nubuat pengharapan bagi Israel

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, berbicaralah kepada orang sebangsa denganmu dan katakanlah kepada mereka, “Seandainya Aku mendatangkan pedang terhadap sebuah negeri lalu rakyat negeri itu memilih seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi penjaga.

3Orang ini kemudian melihat pedang mendatangi negeri itu dan meniup sangkakala untuk memberikan amaran kepada umat.

4Jika seseorang mendengar bunyi sangkakala itu tetapi tidak mengendahkan peringatan itu sehingga pedang datang merenggut nyawanya, maka darahnya tertanggung atas dirinya sendiri.

5Atas sebab dia mendengar bunyi sangkakala namun tidak mengendahkan amaran itu, maka darahnya tertanggung kepada dirinya sendiri. Seandainya dia mengendahkan peringatan itu, tentu nyawanya terselamat.

6Sebaliknya, seandainya penjaga itu melihat pedang datang namun dia tidak meniup sangkakala lantas umat tidak mendapat amaran yang sepatutnya, maka ketika pedang datang merenggut nyawa seorang daripada kalangan mereka, orang itu akan dibinasakan dalam kesalahannya, tetapi darahnya akan Kutuntut daripada tangan penjaga itu.

7Wahai anak manusia, engkau telah Kutetapkan untuk menjadi penjaga bagi keturunan kaum Israel. Oleh sebab itu dengarlah firman daripada-Ku dan peringatkanlah mereka atas nama-Ku.

8Jika Aku berfirman kepada orang fasiq, ‘Wahai orang fasiq, engkau pasti mati,’ tetapi engkau tidak berbicara untuk mengingatkan orang fasiq itu mengenai jalan hidupnya, maka orang fasiq itu akan mati dalam kesalahannya. Namun begitu, darahnya akan Kutuntut daripada tanganmu.

9Sebaliknya, jika engkau mengingatkan orang fasiq itu supaya bertaubat daripada jalan hidupnya tetapi dia tidak mahu bertaubat daripada jalan hidupnya, maka dia akan mati dalam kesalahannya. Akan tetapi, engkau telah menyelamatkan nyawamu.

10Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Kamu berkata demikian, ‘Pelanggaran dan dosa kami sudah tertanggung atas kami sehingga kami hancur lumat olehnya. Bagaimanakah kami dapat tetap hidup?’

11Katakanlah kepada mereka, ‘Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, Aku tidak menyukai kematian orang fasiq. Aku mahu agar orang fasiq bertaubat daripada perilakunya, supaya dia hidup. Bertaubatlah! Bertaubatlah daripada perilakumu yang jahat itu! Mengapakah kamu harus mati, wahai keturunan kaum Israel?’ ”

12Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada orang sebangsa denganmu, ‘Orang benar tidak akan diselamatkan oleh perbenarannya ketika dia melakukan pelanggaran, dan orang fasiq tidak akan dijatuhkan oleh kefasiqannya pada waktu dia bertaubat daripada kefasiqannya. Orang benar tidak akan dapat hidup kerana perbenarannya pada waktu dia berbuat dosa.

13Kalau Aku berfirman kepada orang benar, “Engkau pasti hidup,” tetapi dia meyakini kebenarannya lalu melakukan kezaliman, maka segala perbuatannya yang benar tidak akan diingat lagi. Dia harus mati dalam kezaliman yang dilakukannya.

14Sebaliknya, kalau Aku berfirman kepada orang fasiq, “Engkau pasti mati,” tetapi dia bertaubat daripada dosanya dan menegakkan apa yang adil serta yang benar –

15orang fasiq itu mengembalikan gadaian orang, membayar ganti rugi rampasannya, hidup menurut ketetapan-ketetapan yang mendatangkan kehidupan, dan tidak melakukan kezaliman – maka dia pasti hidup dan tidak akan mati.

16Segala dosa yang dilakukannya tidak akan diingat lagi. Dia pasti hidup, kerana dia telah menegakkan apa yang adil dan benar.

17Akan tetapi, orang sebangsa denganmu berkata, “Jalan Tuhan tidak adil.” Padahal, jalan merekalah yang tidak adil.

18Kalau orang benar berbalik daripada kebenarannya dan melakukan kezaliman, dia akan mati kerananya.

19Sebaliknya, kalau orang fasiq berbalik daripada kefasiqannya dan menegakkan apa yang adil serta benar, dia akan hidup kerananya.

20Walaupun demikian, kamu berkata, “Jalan Tuhan tidak adil.” Oleh itu, Aku akan menghakimi kamu menurut perilaku masing-masing, wahai keturunan kaum Israel.’

Berita kejatuhan Yerusalem

21Pada tahun kedua belas masa pembuangan kami, tepatnya pada hari kelima dalam bulan kesepuluh, seorang yang terselamat dari Yerusalem datang kepadaku. Katanya, ‘Kota itu telah dikalahkan!’

22Malam hari sebelum kedatangan orang yang terselamat itu kuasa TUHAN meliputi aku, lalu pagi hari ketika orang itu datang kepadaku TUHAN membuka mulutku. Demikianlah mulutku terbuka dan aku tidak kelu lagi.

Israel berkeras hati di negerinya dan dalam pembuangan

23Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

24‘Wahai anak manusia, penghuni reruntuhan kota di Tanah Israel ini berkata, “Abraham seorang sahaja dan dapat memusakai negeri ini, sedangkan kita ramai. Tentulah negeri itu dikurniakan kepada kita sebagai milik.”

25Oleh sebab itu katakanlah kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kamu makan daging berserta darahnya, memuja berhala-berhalamu, dan menumpahkan darah orang – masakan kamu dapat memiliki tanah ini?

26Kamu menaruh harapan kepada pedangmu, melakukan kekejian, dan masing-masing menodai isteri jirannya – masakan kamu dapat memiliki negeri ini?”

27Katakanlah hal ini kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Demi Aku yang hidup, sesungguhnya orang yang tinggal di reruntuhan-reruntuhan akan tewas oleh pedang, orang yang tinggal di padang terbuka akan Kuserahkan kepada binatang liar sebagai makanan, dan orang yang tinggal di kubu serta gua akan mati oleh wabak penyakit.

28Negeri itu akan Kujadikan sunyi sepi dan tandus. Kekuatan yang dibanggakannya akan lenyap. Gunung-ganang Israel akan menjadi sunyi sehingga tidak ada yang melintasinya.

29Ketika Aku menjadikan negeri itu sunyi sepi dan tandus kerana segala kekejian yang dilakukan mereka itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

30Mengenai engkau, wahai anak manusia, orang sebangsa denganmu berbicara tentang engkau berdekatan dengan tembok dan di pintu-pintu rumah. Kata mereka satu sama lain, masing-masing kepada temannya, “Mari kita dengar firman yang akan disampaikan TUHAN.”

31Mereka pun datang kepadamu berduyun-duyun lalu duduk di hadapanmu sebagai umat-Ku. Mereka mendengar perkataanmu, tetapi tidak melakukannya. Dengan mulut mereka menyatakan kasih, tetapi hati mereka mengejar laba haram.

32Sesungguhnya, bagi mereka engkau seperti orang yang menyanyikan lagu cinta dengan suara merdu dan orang yang bermain kecapi dengan baik, kerana mereka mendengar perkataanmu tetapi tidak melakukannya.

33Pada waktu semua itu terjadi – ya, pasti terjadi – mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi di tengah-tengah mereka.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 33 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel