Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 8 >> 

1“Pada waktu itu,” demikianlah firman TUHAN, “tulang para raja Yehuda dan para pembesar, tulang para imam dan para nabi, serta tulang penduduk Yerusalem akan dikeluarkan dari kubur mereka.

2Semuanya akan diserakkan di depan matahari, bulan, dan segala benda langit yang dicintai, disembah, dan diikuti mereka, juga yang dicari mereka dan yang dipuja mereka. Semuanya tidak akan dikumpulkan dan tidak akan dikuburkan, tetapi akan menjadi baja kandang di permukaan tanah.

3Semua saki-baki orang yang masih tinggal daripada kaum yang jahat ini, iaitu orang yang masih tinggal di segala tempat ke mana Aku menghalau mereka, akan lebih suka mati daripada hidup,” demikianlah firman TUHAN alam semesta.

Dosa dan hukumannya

4Katakanlah kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Masakan orang jatuh dan tidak bangun lagi? Masakan orang berpaling dan tidak berbalik lagi?

5Mengapakah umat ini berpaling? Mengapakah Yerusalem berpaling terus-menerus? Mereka berpegang kepada tipu daya dan menolak untuk berbalik.

6Aku telah memperhatikan dan mendengar, tetapi mereka tidak berkata jujur. Tiada seorang pun menyesali kejahatannya dengan berkata, ‘Apakah yang telah kulakukan?’ Semua orang berpaling kepada jalan mereka sendiri, seperti kuda menghambur ke dalam peperangan.

7Bahkan burung ranggung di udara tahu akan musimnya. Burung tekukur, burung layang-layang, dan burung bangau tetap ingat akan masa kedatangannya, tetapi umat-Ku tidak mengetahui hukum TUHAN.

8Bagaimana mungkin kamu berkata, ‘Kami orang bijak. Kami memiliki hukum TUHAN’? Ketahuilah, pena dusta para jurutulis telah membuat hukum itu menjadi dusta.

9Orang bijak akan menjadi malu, mereka terkejut lalu tertangkap. Sesungguhnya, mereka telah menolak firman TUHAN. Kebijaksanaan apakah yang ada pada mereka?

10Oleh sebab itu Aku akan menyerahkan isteri mereka kepada orang lain, dan ladang-ladang mereka kepada orang yang akan merebutnya. Yang terkecil sampai kepada yang terbesar, semuanya mengejar laba. Baik nabi mahupun imam, semuanya melakukan penipuan.

11Mereka mengubati luka puteri umat-Ku dengan menganggapnya ringan, kata mereka, “Sejahtera, sejahtera!” Padahal tidak ada kesejahteraan.

12Adakah mereka berasa malu ketika mereka melakukan kekejian? Tidak, mereka tidak malu sama sekali! Bahkan mereka tidak menyedari aib mereka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh di antara orang yang jatuh, mereka akan tersandung pada waktu Aku menghukum mereka,” demikianlah firman TUHAN.

13“Aku akan melenyapkan hasil tanah mereka,” demikianlah firman TUHAN. “Tidak ada lagi buah pada pokok anggur. Tidak ada lagi buah pada pokok ara, dedaunan akan luruh. Apa yang Kukurniakan kepada mereka akan lenyap.”

14Mengapakah kita duduk-duduk sahaja? Berkumpullah dan marilah kita masuk ke kota-kota yang berkubu, lalu binasa di sana! TUHAN, Allah kita, telah membinasakan kita, dan memberi kita minum air beracun, kerana kita telah berdosa terhadap TUHAN.

15Kita mengharapkan kesejahteraan, tetapi tidak ada sesuatu yang baik, mengharapkan waktu penyembuhan, tetapi yang ada hanya kengerian.

16“Dengus kuda musuh terdengar dari Dan. Kerana bunyi ringkikan kuda jantan mereka, seluruh negeri gementar. Mereka datang melahap negeri itu dan segala isinya, kota dan penduduknya.

17Lihat, Aku melepaskan ular ke tengah-tengah kamu, iaitu ular berbisa yang tidak dapat dipukau, dan kamu akan dipagutnya,” demikianlah firman TUHAN.

Ratapan kerana Yehuda dan Yerusalem

18Dukaku tidak tersembuhkan, hatiku lemah.

19Dengar! Suara teriakan puteri bangsaku dari negeri yang jauh: “Adakah TUHAN tidak hadir di Sion? Tidak hadirkah Rajanya di dalamnya?” “Mengapakah mereka membangkitkan murka-Ku dengan patung-patung ukiran mereka, dengan berhala-berhala bangsa asing?”

20“Musim menuai sudah berlalu, musim panas sudah berakhir, tetapi kita belum diselamatkan juga.”

21Kerana luka puteri bangsaku, aku pun luka. Aku berkabung, kengerian mencengkam aku.

22Tidak adakah balsam di Gilead? Tidak adakah tabib di sana? Mengapa belum datang juga kesembuhan puteri bangsaku?


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel