Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 28 >> 

Nubuat terhadap Samaria

1Malangnya mahkota kemegahan para pemabuk Efraim dan bunga layu yang amat mulia keindahan, yang ada di kepala lembah subur, tempat orang tersungkur oleh air anggur!

2Lihat, pada Tuhan ada seorang yang kuat dan tegap. Seperti angin ribut disertai hujan batu, iaitu badai yang membinasakan, seperti angin ribut disertai air bah yang meluap-luap, dia akan menghempaskan mereka ke bumi dengan tangannya.

3Mahkota kemegahan para pemabuk Efraim akan diinjak-injak orang.

4Bunga layu, iaitu perhiasannya yang indah, yang ada di atas kepala lembah subur itu, akan menjadi seperti buah ara yang masak sebelum musim panas. Sebaik sahaja orang melihat dan mengamatinya, buah itu segera dipetik dan ditelan.

5Pada waktu itu TUHAN alam semesta, akan menjadi seperti mahkota yang mulia dan seperti perhiasan kepala yang indah bagi saki-baki umat-Nya.

6Dia akan menjadi roh keadilan bagi orang yang duduk mengadili, dan menjadi kekuatan bagi orang yang menangkis serangan di pintu gerbang.

Terhadap pemimpin-pemimpin sesat di Yerusalem

7Mereka ini pun terhuyung-hayang kerana air anggur dan tersandung kerana minuman keras: baik imam mahupun nabi terhuyung-hayang kerana minuman keras. Mereka kacau oleh air anggur, mereka terhuyung-huyung oleh minuman keras. Mereka terhuyung-hayang apabila menerima penglihatan, goyah pergerakan mereka ketika memberikan keputusan.

8Sungguh, semua meja penuh dengan muntah dan kotoran, sehingga tidak ada lagi tempat yang bersih.

9“Kepada siapa dia mengajarkan pengetahuan? Kepada siapa dia menjelaskan pesannya? Kepada anak yang baru disapih, kepada anak yang baru cerai susu?

10Kerana ada perintah demi perintah, perintah demi perintah, baris demi baris, baris demi baris, sedikit di sini, sedikit di sana.”

11Kalau begitu, Dia akan berfirman kepada bangsa ini dengan bibir orang asing dan dengan bahasa asing.

12Dia berfirman kepada mereka, “Inilah tempat peristirahatan, berikanlah istirahat kepada orang yang lelah. Inilah tempat penyegaran!” Tetapi mereka tidak mahu mendengar.

13Jadi, firman TUHAN kepada mereka, “Perintah demi perintah, perintah demi perintah, baris demi baris, baris demi baris, sedikit di sini, sedikit di sana,” supaya mereka pergi dan jatuh terlentang, terluka, terjerat, dan tertangkap.

14Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN, wahai kalangan pencemuh, yang memerintah rakyat di Yerusalem ini!

15Kamu berkata, “Kami sudah mengikat perjanjian dengan maut, dan dengan alam kubur jua kami sudah membuat persetujuan. Meskipun cambuk yang mendera itu datang, kami tidak akan kena, kerana kami jadikan dusta sebagai perlindungan kami, dan di balik kebohongan kami bersembunyi.”

16Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Lihat, Aku meletakkan batu asas di Sion, sebuah batu yang teruji, sebuah batu penjuru yang berharga untuk asas yang teguh. Sesiapa yang percaya tidak akan berasa cemas.

17Aku akan membuat keadilan jadi tali pengukur dan perbenaran jadi tali ladung. Hujan batu akan menyapu perlindungan dusta itu dan air bah akan meliputi persembunyianmu.

18Perjanjianmu dengan maut akan dimansuhkan dan persetujuanmu dengan alam kubur tidak akan tetap berlaku. Apabila cambuk yang mendera itu datang, kamu akan dilindas olehnya.

19Setiap kali cambuk itu datang, kamu akan dikenakannya, kerana pagi demi pagi ia akan datang, siang ataupun malam. Memahami pesan itu hanya akan menjadi suatu kengerian belaka.”

20Tempat tidur terlalu pendek untuk berlunjur, dan selimut terlalu kecil untuk dipakai untuk menyelubungi diri.

21Sesungguhnya, TUHAN akan bertindak seperti di Gunung Perasim, Dia akan murka seperti di Lembah Gibeon, untuk melakukan perbuatan-Nya, perbuatan-Nya yang aneh, dan untuk melaksanakan pekerjaan-Nya, pekerjaan-Nya yang ganjil.

22Sekarang, jangan mencemuh, supaya tali pengikatmu tidak ditegangkan. Sesungguhnya, aku mendengar tentang kesudahan yang telah ditentukan, yang berasal daripada Tuhan, ALLAH alam semesta, bagi seluruh bumi.

Kebijaksanaan Allah

23Pasanglah telinga dan dengarlah suaraku! Perhatikanlah dan dengarlah kata-kataku!

24Adakah pembajak tanah membajak setiap hari untuk menyemai benih? Adakah ia terus mencangkul dan menyisir tanahnya?

25Bukankah setelah meratakan permukaan tanah, ia menaburkan jintan hitam dan menebarkan jintan putih, menaruh gandum berderet-deret, barli pada tempatnya, dan sekoi di pinggirnya?

26Dia diajar cara yang tepat, Allahnya mengarahkan dia.

27Jintan hitam tidak diirik dengan pengirik, dan roda pedati tidak digunakan untuk mengisar jintan putih, tetapi jintan hitam dipukul-pukul dengan tongkat dan jintan putih dengan batang kayu.

28Gandum roti harus dilumatkan, kerana orang tidak akan mengiriknya terus-menerus. Sekalipun orang mengenderai roda pedati dan kudanya di atas gandum itu, ia tidak akan menggilingnya.

29Hal ini pun datangnya daripada TUHAN alam semesta. Dia ajaib dalam nasihat-Nya dan agung dalam hikmah-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel