Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 41 >> 

Allah membangkitkan seorang pembebas

1“Berdiam dirilah di hadapan-Ku, wahai pulau-pulau! Biarlah bangsa-bangsa mendapat kekuatan baru! Biarlah mereka mendekati dan kemudian berbicara. Biarlah kita tampil bersama-sama untuk berbahas!

2Siapakah yang membangkitkan dia dari timur, yang dalam perbenaran memanggil dia menghadap diri-Nya, yang menyerahkan bangsa-bangsa ke hadapannya dan membuat dia memerintah raja-raja? Pedangnya membuat mereka seperti debu dan busur panahnya membuat mereka seperti tunggul jerami yang diterbangkan angin.

3Dia mengejar mereka dan memintas dengan selamat di jalan yang belum pernah ditempuh kakinya.

4Siapakah yang mengerjakan dan melakukan hal itu, yang menyuruh bangkit seluruh keturunan sejak yang terdahulu? Aku, TUHAN, adalah yang terdahulu, dan bagi mereka yang terkemudian Aku tetap Dia!”

5Pulau-pulau melihatnya dan ketakutan, gementarlah hujung-hujung bumi. Mereka mendekati dan datang.

6Setiap orang membantu jirannya dan berkata kepada saudaranya, “Kuatkanlah hatimu!”

7Si tukang menguatkan hati tukang emas, orang yang memipihkan logam dengan palu menguatkan hati orang yang menempa di atas landasan. Dia berkata tentang pematerian, “Itu baik,” kemudian menguatkannya dengan paku agar tidak boleh digerakkan.

Israel hamba Allah

8“Tetapi engkau, wahai Israel, hamba-Ku, wahai Yakub, yang telah Kupilih, keturunan Abraham, sahabat-Ku,

9yang telah Kuambil dari hujung-hujung bumi dan Kupanggil dari penjuru-penjurunya, Aku berkata kepadamu, ‘Engkaulah hamba-Ku, Aku sudah memilih engkau dan tidak menolak engkau.

10Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.’

11Sesungguhnya, semua orang yang marah kepadamu akan menjadi malu dan mendapat aib. Orang yang berbantah-bantah dengan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan binasa.

12Apabila engkau mencari orang yang bertengkar dengan engkau, kau tidak akan menemui mereka. Orang yang berperang melawan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan hampa,

13kerana Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Jangan takut, Aku akan menolong engkau.’

14Jangan takut, wahai si ulat Yakub, wahai orang Israel. Aku akan menolong engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel.

15“Sesungguhnya, Aku menjadikan engkau tukul pengirik yang tajam, baru, dan bergerigi. Engkau akan membanting gunung-gunung dan melumatkannya, engkau akan menjadikan bukit-bukit seperti sekam.

16Engkau akan menampi mereka, lalu angin akan menerbangkan mereka dan badai akan menghamburkan mereka. Engkau akan bergembira kerana TUHAN dan bermegah kerana Yang Maha Suci, Allah Israel.

17Fakir miskin dan orang sesak mencari air tetapi tidak ada, lidah mereka kering kerana dahaga. Aku, TUHAN, akan menjawab mereka. Allah Israel, tidak akan meninggalkan mereka.

18Aku akan membuat sungai-sungai memancar di atas bukit-bukit yang gondol, dan mata air di tengah-tengah lembah. Aku akan membuat gurun menjadi kolam air dan tanah tandus menjadi pancaran air.

19Di tanah tandus Aku akan menanam pokok araz, pokok akasia, pokok murad, dan pokok zaitun. Di gurun Aku akan menumbuhkan pokok sanubar, pokok damar laut, dan pokok pinus sekali gus,

20supaya orang dapat melihat dan mengetahui, memperhatikan dan memahami bersama-sama, bahawa tangan TUHAN telah membuat hal itu, dan Yang Maha Suci, Allah Israel, telah menciptakannya.

Allah menantang berhala-berhala

21“Ajukanlah perkaramu,” demikianlah firman TUHAN. “Kemukakanlah alasan-alasanmu,” demikianlah firman Raja, Allah Yakub.

22Biarlah mereka membawa berhala mereka untuk memberitahu kita apa yang akan terjadi. Beritahukanlah apa erti hal-hal yang dahulu, supaya kami memperhatikannya dan mengetahui kesudahannya. Atau, khabarkanlah hal-hal yang akan datang kepada kami.

23Nyatakanlah hal-hal yang akan datang kemudian, sehingga kami tahu bahawa kamu betul-betul tuhan! Ya, berbuat baiklah atau berbuat jahatlah, supaya kami sama-sama terperanjat melihatnya.

24Sesungguhnya, kamu tidak ada apa-apanya dan pekerjaan-pekerjaanmu hampa adanya. Kejilah orang yang memilih kamu!

25“Aku telah membangkitkan seorang dari sebelah utara, dan dia telah datang. Dari arah terbitnya matahari dia akan menyeru nama-Ku. Dia akan memijak-mijak para penguasa seperti lumpur, seperti tukang tembikar menginjak-injak tanah liat.”

26Siapakah yang memberitahukan hal itu sejak mula sehingga kita mengetahuinya, dan sejak dahulu sehingga kita mengatakan, “Dia benar!”? Sungguh, tidak ada yang memberitahukannya, tidak ada yang mengkhabarkannya, tidak ada yang mendengar perkataanmu.

27“Akulah yang mula-mula mengatakan kepada Sion, ‘Lihat, lihatlah semua itu!’ Aku memberikan seorang pembawa khabar baik kepada Yerusalem!

28Aku mengamati, tetapi tidak ada seorang pun. Antara mereka tidak ada seorang penasihat pun yang dapat memberikan jawab apabila Aku menanyai mereka.

29Sesungguhnya, mereka semua tidak berguna! Pekerjaan-pekerjaan mereka hampa, patung-patung tuangan mereka hanyalah angin dan kesia-siaan.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 41 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel