Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 43 >> 

Allah satu-satunya Penebus

1Sekarang, beginilah firman TUHAN, yang menciptakan engkau, wahai Yakub, dan yang membentuk engkau, wahai Israel, “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku.

2Apabila engkau mengharungi air, Aku akan menyertaimu, dan engkau tidak akan dihanyutkan saat mengharungi sungai. Apabila engkau berjalan melalui api, engkau tidak akan dihanguskan, dan nyala api tidak akan membakarmu,

3kerana Akulah TUHAN, Allahmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, Penyelamatmu. Aku memberikan Mesir sebagai tebusanmu, Kush dan Seba sebagai gantimu.

4Kerana engkau berharga dan mulia di mata-Ku, dan Aku ini mengasihi engkau, maka Aku memberikan manusia sebagai gantimu, dan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawamu.

5Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Aku akan membawa keturunanmu dari timur dan menghimpun engkau dari barat.

6Aku akan berfirman kepada utara, ‘Berikanlah!’ dan kepada selatan, ‘Jangan tahan!’ Bawalah anak-anak lelaki-Ku dari jauh dan anak-anak perempuan-Ku dari hujung bumi,

7iaitu semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku, yang Kuciptakan untuk kemuliaan-Ku, yang Kubentuk, dan yang Kujadikan.”

Israel sebagai saksi Allah

8Bawalah ke mari bangsa yang buta sekalipun bermata, dan yang tuli sekalipun bertelinga.

9Biarlah segala bangsa berhimpun bersama-sama, dan biarlah suku-suku bangsa berhimpun. Siapakah antara mereka yang dapat memberitahukan hal ini atau mengkhabarkan hal-hal yang dahulu kepada kita? Biarlah mereka mengajukan saksi-saksi supaya mereka dapat dinyatakan benar. Biarlah orang mendengarnya dan berkata, “Itu benar.”

10“Kamulah para saksi-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “dan hamba-Ku yang telah Kupilih, supaya kamu mengenal dan mempercayai Aku serta mengerti bahawa Akulah Dia. Sebelum Aku, tidak ada tuhan terbentuk dan sesudah Aku pun tidak ada.

11Aku, Akulah TUHAN. Tidak ada penyelamat selain Aku.

12Akulah yang telah memberitahu, menyelamatkan, dan mengkhabarkan, bukan tuhan bangsa asing yang ada antara kamu. Kamulah saksi-saksi-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “dan Akulah Allah.”

13“Ya, sejak zaman dahulu Aku tetap Dia! Tidak ada yang dapat terlepas daripada tangan-Ku. Apabila Aku bertindak, siapakah yang dapat mengubahnya?”

14Beginilah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Demi kamu Aku akan mengutus orang ke Babel dan membawa mereka semua sebagai pelarian, iaitu orang Kasdim di kapal-kapal yang dibanggakan mereka.

15Akulah TUHAN, Allahmu Yang Maha Suci, Pencipta Israel, Rajamu.”

16Beginilah firman TUHAN, yang membuat jalan di laut dan lorong di air yang deras,

17yang membawa keluar rata dan kuda, bala tentera dan orang gagah – mereka rebah bersama-sama dan tidak dapat bangkit lagi, mereka mati, padam seperti sumbu –

18“Jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu, jangan perhatikan hal-hal yang silam.

19Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, sekarang hal itu sedang muncul, tidakkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di tanah tandus dan sungai-sungai di gurun.

20Binatang-binatang liar akan memuliakan Aku, serigala dan burung unta, kerana Aku mengurniakan air di tanah tandus serta sungai-sungai di gurun untuk memberikan minum umat pilihan-Ku,

21iaitu umat yang Kubentuk bagi-Ku untuk menceritakan kemasyhuran-Ku.”

Dosa Israel diampunkan

22“Tetapi engkau tidak berseru kepada-Ku, wahai Yakub, malah engkau berasa penat menghadapi Aku, wahai Israel!

23Engkau tidak membawa bagi-Ku domba korban bakaran kamu dan tidak memuliakan Aku dengan korban sembelihanmu. Aku tidak membebani kamu dengan menuntut persembahan bahan makanan, dan tidak membuatmu penat dengan menuntut kemenyan.

24Engkau tidak membeli tebu wangi bagi-Ku dengan wangmu, dan tidak memuaskan Aku dengan lemak korban sembelihanmu. Sebaliknya, engkau membebani Aku dengan dosa-dosamu, dan membuat-Ku penat dengan kesalahan-kesalahanmu.

25Aku, Akulah Dia yang menghapuskan segala pelanggaranmu demi diri-Ku sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosamu.

26Ingatkanlah Aku! Mari kita berperkara bersama-sama! Kemukakanlah perkaramu, supaya engkau dapat dinyatakan benar.

27Nenek moyangmu yang pertama telah berdosa, para pengantara kamu telah menderhaka terhadap Aku.

28Oleh sebab itu Aku akan menista para pemimpin tempat suci, Aku akan menyerahkan Yakub untuk dimusnah dan Israel untuk dihina.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 43 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran