Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 44 >> 

Israel yang terpilih TUHAN

1“Tetapi sekarang dengarlah, wahai Yakub, hamba-Ku, wahai Israel yang telah Kupilih.

2Beginilah firman TUHAN yang menjadikan engkau, yang membentuk engkau sejak dalam kandungan, dan yang akan menolong engkau, ‘Jangan takut, wahai hamba-Ku Yakub, wahai Yesyurun yang telah Kupilih,

3kerana Aku akan mencurahkan air ke atas tanah yang gersang dan aliran air ke atas tanah yang kering. Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas keturunanmu dan berkat-Ku atas anak cucumu.

4Mereka akan bercambah dan menanjak antara rumput, seperti pokok-pokok gandarusa di tepi aliran air.

5Yang satu akan berkata, ‘Aku milik TUHAN,’ yang lain akan menyebut dirinya dengan nama Yakub, dan yang lain lagi akan menulis, ‘Milik TUHAN,’ dengan tangannya serta menggelar dirinya dengan nama Israel.

6Beginilah firman TUHAN, Raja dan Penebus Israel, TUHAN alam semesta: Akulah yang pertama dan Akulah yang terakhir, tidak ada Allah selain Aku.

7Siapakah seperti Aku? Biarlah dia mengisytiharkan dakwaannya, menguar-uarkannya, dan memaparkannya kepada-Ku sejak Aku menetapkan umat purbakala itu. Apa yang akan datang dan yang akan terjadi, biarlah dia menghebahkannya!

8Jangan gentar dan jangan takut. Bukankah sejak dahulu Aku sudah mengkhabarkan dan memberitahu hal itu kepadamu? Kamulah saksi-saksi-Ku. Adakah Allah selain Aku? Tidak ada Batu Pejal yang lain! Tidak Kukenal!’ ”

Kebodohan pemujaan patung

9Sia-sia sahaja semua orang yang membentuk patung ukiran. Benda-benda kegemaran mereka itu tidak berfaedah. Para pemujanya tidak melihat dan tidak tahu apa-apa, sehingga mereka akan berasa malu.

10Siapakah yang membentuk susuk tuhan atau menuang patung ukiran yang tidak berfaedah itu?

11Sesungguhnya, semua pengikutnya akan mendapat malu. Tukang-tukangnya ialah manusia belaka. Biarlah mereka semua berkumpul lalu berdiri! Mereka akan berasa takut dan malu bersama-sama.

12Tukang besi mengambil sepotong logam dan membentuknya di atas bara api. Dibentuknya besi itu dengan penukul dan dikerjakannya dengan tangannya yang kuat. Ya, dia menahan lapar sehingga kekuatannya hilang. Dia tidak minum air sehingga menjadi letih.

13Tukang kayu merentangkan tali pengukur, lalu menandakannya dengan kapur merah. Dibentuknya kayu itu dengan pahat dan ditandainya dengan alat pengukur. Dibuatnya susuk manusia, seperti seorang manusia yang tampan, untuk ditempatkan di dalam kuil.

14Ditebangnya pokok-pokok araz, atau dipilihnya pokok cemara atau pokok oak. Dipeliharanya semua itu di antara pokok hutan, atau ditanamnya pokok salam yang kemudian tumbuh oleh hujan.

15Kayunya menjadi kayu bakar untuk manusia. Diambilnya sebahagian untuk menghangatkan diri, bahkan dinyalakannya untuk membakar roti. Namun demikian, dikerjakannya juga kayu itu menjadi susuk tuhan lalu disembahnya. Dia membuatnya menjadi patung ukiran lalu sujud kepadanya.

16Separuh daripada kayu itu dibakarnya dalam api. Di atas yang separuh itu dia mengolah daging. Dipanggangnya daging lalu makan sampai kenyang. Dia bahkan menghangatkan dirinya sambil berkata, “Ah, aku berasa hangat! Aku sudah melihat api!”

17Kayu yang selebihnya dibuatnya jadi berhala, iaitu patung ukirannya, lalu dia sujud menyembah dan berdoa kepadanya, katanya, “Tolonglah aku, kerana engkaulah tuhanku.”

18Orang seperti itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak mengerti apa-apa. Mata mereka tertutup sehingga tidak dapat melihat dan hati mereka tertutup sehingga tidak dapat memahami apa-apa.

19Tidak ada yang mempertimbangkannya dalam hati, tidak ada pula pengetahuan atau pengertian untuk berkata, “Separuh kayu itu sudah kubakar dalam api, bahkan di atas baranya sudah kubakar roti, kupanggang daging, lalu kumakan. Masakan dari kayu selebihnya kubuat berhala kekejian? Masakan aku sujud kepada batang kayu?”

20Orang seperti itu hanya makan abu sahaja! Dia disesatkan oleh hatinya yang tertipu sehingga tidak dapat melepaskan diri atau berkata, “Bukankah dusta yang ada di tangan kananku ini?”

TUHAN Penebus Israel

21“Ingatlah hal-hal ini, wahai Yakub, kerana engkaulah hamba-Ku, wahai Israel. Aku telah membentukmu, engkau hamba-Ku! Wahai Israel, engkau tidak akan Kulupakan.

22Aku sudah menghilangkan segala pelanggaranmu seperti awan dan dosa-dosamu seperti kabus. Kembalilah kepada-Ku, kerana Aku sudah menebus engkau.”

23Bersorak-sorailah, wahai langit, kerana TUHAN telah melakukan hal itu! Bersorak rianglah, wahai bahagian-bahagian bumi yang terbawah! Bergembiralah dengan sorak-sorai, wahai gunung-gunung, wahai hutan dan segala pokok di dalamnya, kerana TUHAN telah menebus Yakub dan memuliakan diri-Nya di Israel.

24Beginilah firman TUHAN, Penebusmu, yang membentuk engkau sejak dalam kandungan: Akulah TUHAN, yang menjadikan segala sesuatu, yang secara bersendirian membentangkan langit, dan yang menghamparkan bumi. Siapakah yang mendampingi Aku?

25Akulah yang meniadakan tanda para penenung pembohong dan membuat para penenung jadi gila. Aku yang membuat orang bijak mundur ke belakang dan membuat pengetahuan mereka jadi kebodohan.

26Aku meneguhkan kata-kata hamba-Ku dan melaksanakan rancangan yang diberitakan para utusan-Ku. Aku yang berkata tentang Yerusalem, ‘Ia akan dihuni,’ dan tentang kota-kota Yehuda, ‘Ia akan dibangunkan kembali.’ Puing-puingnya akan Kudirikan kembali.

27Akulah yang berfirman kepada jurang lautan, ‘Jadilah kering! Aku akan mengeringkan sungai-sungaimu.’

28Akulah yang berfirman tentang Kores, ‘Dialah gembala-Ku. Dia akan melaksanakan segala kehendak-Ku.’ Tentang Yerusalem ia akan berkata, “Kota itu akan dibangunkan kembali,” dan tentang Bait Suci, “Dasarnya akan diletakkan.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 44 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel