Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 51 >> 

Kata-kata penghibur untuk Sion

1“Dengarlah Aku, wahai kamu yang mengejar perbenaran, wahai kamu yang mencari hadirat TUHAN! Pandanglah batu pejal tempat asal kamu terpahat dan lubang galian tempat asal kamu digali.

2Pandanglah Abraham, nenek moyangmu, dan Sarah yang melahirkan kamu. Aku memanggil Abraham apabila dia seorang diri. Aku memberkati dia dan meramaikan keturunannya.

3Sungguh, TUHAN akan menghiburkan Sion. Dia akan menghiburkan segala reruntuhannya. Dia akan menjadikan tanah gersangnya seperti Eden dan gurunnya seperti taman TUHAN. Kegirangan dan kesukaan akan didapati di dalamnya, begitu jugalah ucapan syukur dan bunyi muzik.

4Berikanlah perhatian dan lihat Aku, wahai umat-Ku! Pasanglah telingamu, wahai bangsa-Ku! Penghakiman akan keluar daripada-Ku dan Aku menetapkan keadilan-Ku menjadi cahaya bagi bangsa-bangsa.

5Perbenaran daripada-Ku sudah dekat, penyelamatan daripada-Ku sudah terbit, dan tangan-Ku akan menghakimi bangsa-bangsa. Pulau-pulau menantikan Aku, mereka mengharapkan tindakan tangan-Ku.

6Layangkanlah pandangan ke langit dan tengoklah bumi di bawah. Langit akan lenyap seperti asap, bumi akan menjadi usang seperti pakaian, dan penduduknya akan mati seperti nyamuk, tetapi penyelamatan daripada-Ku kekal adanya dan kebenaran daripada-Ku tidak akan berakhir.

7Dengarlah Aku, wahai kamu yang mengetahui kebenaran, wahai umat yang menaruh hukum-Ku dalam hatinya! Jangan takut terhadap celaan manusia dan jangan kecut hati terhadap hujahan mereka,

8kerana gegat akan memakan mereka seperti pakaian dan gegat akan memakan mereka seperti bulu domba, tetapi perbenaran daripada-Ku kekal adanya dan penyelamatan daripada-Ku tetap turun-temurun.”

9Bangunlah, bertindaklah! Gunakanlah kekuatanmu, wahai tangan TUHAN! Bertindaklah seperti pada zaman dahulu, pada zaman angkatan purbakala! Bukankah Engkau yang mencencang Rahab, yang menikam naga itu?

10Bukankah Engkau yang mengeringkan laut, air samudera raya; yang membuat lautan dalam menjadi jalan, supaya orang yang ditebus dapat menyeberang?

11Orang yang ditebus TUHAN akan pulang dan memasuki Sion dengan sorak-sorai. Kesukaan kekal akan menghiasi kepala mereka. Mereka akan memperoleh kesukaan dan kegembiraan, sedangkan dukacita dan keluh-kesah akan menghilang.

12“Aku, Akulah yang menghiburkan kamu. Siapakah engkau sehingga engkau takut kepada manusia yang akan mati, kepada anak manusia yang seperti rumput belaka?

13Engkau melupakan TUHAN yang menjadikan kamu, yang membentangkan langit, dan yang meletakkan dasar bumi. Engkau terus ketakutan sepanjang hari kerana amarah si penganiaya, apabila dia merancangkan kemusnahan. Tetapi di manakah gerangan amarah si penganiaya itu?

14Tawanan yang meringkuk itu akan segera dilepaskan. Dia tidak akan mati di lubang tutupan dan tidak akan kekurangan makanan.

15Akulah TUHAN, Allahmu, yang menggelorakan laut sehingga gelombangnya menderu-deru. TUHAN alam semesta ialah nama-Nya.

16Aku telah memberitahukan firman-Ku kepadamu dan melindungi engkau di bawah naungan tangan-Ku supaya Aku kembali membentangkan langit dan meletakkan dasar bumi, sambil berfirman kepada Sion, ‘Engkaulah umat-Ku.’ ”

17Bangunlah, bangunlah! Bangkitlah, wahai Yerusalem, yang telah meminum daripada tangan TUHAN cawan berisi murka-Nya. Engkau telah meminum habis isi cawan yang memabukkan itu.

18Antara semua anak yang dilahirkannya, tidak ada yang membimbing dia. Antara semua anak yang dibesarkannya, tidak ada yang memegang tangannya.

19Dua perkara inilah yang telah menimpa engkau – siapakah yang akan berdukacita kerana engkau? Kemusnahan dan kehancuran, bencana kebuluran dan pedang – siapakah yang akan menghiburkan engkau?

20Anak-anakmu lemah lesu, mereka rebah di setiap hujung jalan seperti antelop yang terjebak. Mereka kenyang dengan murka TUHAN, dengan herdikan Allahmu.

21Oleh sebab itu semoga kamu dengarlah hal ini, wahai kamu yang tertindas, wahai kamu yang mabuk tetapi bukan oleh air anggur!

22Beginilah firman Tuhanmu TUHAN, Allahmu yang memperjuangkan perkara umat-Nya, “Lihat, Aku telah mengambil dari tanganmu cawan yang memabukkan itu, isi cawan murka-Ku. Engkau tidak akan meminumnya lagi.

23Sebaliknya, Aku hendak menaruhnya di tangan orang yang menindasmu, yang telah berkata kepada kepadamu, ‘Tunduklah, supaya kami menginjak-injak di atas kamu.’ Engkau telah menjadikan punggungmu sebagai tanah, sebagai jalan untuk diinjak-injak.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 51 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel